KUALA LUMPUR, 13 Feb — Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Diraja Mahdzir Khalid bakal mengetuai delegasi Malaysia yang diundang Arab Saudi sebagai negara ASEAN pertama menjadi Negara Tetamu Kehormat atau Guest of Honour di Riyadh International Book Fair 2017 yang akan berlangsung di Riyadh selama 10 hari bermula 8 hingga 17 Mac depan.

Undangan tersebut disampaikan oleh Kementerian Kebudayaan dan Penerangannya kepada Kedutaan Malaysia di Arab Saudi yang selanjutnya dipanjangkan kepada Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk diselaraskan empat agensi berkaitan, iaitu Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dan Perbadanan Kota Buku (PKB). Turut bekerjasama menjayakan misi ini ialah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Tourism Malaysia.

Mengalu-alukan perkara tersebut, satu kenyataan telah dikeluarkan Menteri Kebudayaan dan Penerangannya, Dr. Adel Zaid al-Toraifi yang antara lainnya dipetik menyebut bahawa pemilihan Malaysia sebagai Negara Tetamu Kehormat dibuat sebagai refleksi hubungan erat antara kedua-dua kerajaan, baik membabitkan politik, ekonomi, budaya dan pelancongan.

Selain negara ASEAN pertama, Malaysia adalah negara ke-10 di dunia atau negara Asia ketiga selepas Jepun dan India ditawarkan sebagai Negara Tetamu Kehormat di pesta buku terpenting Arab Saudi ini yang merekodkan kehadiran lebih 900 penerbit dan lebih dua juta pengunjung dari 29 negara seluruh dunia.

Selain ITBM, DBP, MBKM, dan PKB, delegasi Malaysia akan disertai lebih 10 penerbit, antaranya penerbit universiti (melalui Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia [MAPIM]), IBFIM, dan Ana Muslim yang akan mempromosikan buku khususnya dalam genre penerbitan kanak-kanak, kebudayaan, kewangan dan bidang berkaitan Islam.

Sebagai pengisian kepada acara, beberapa tokoh tempatan turut diundang membentangkan kertas kerja berkaitan idea strategik dalam pembangunan tertentu (khususnya modal insan dan ekonomi), dan mereka ini antaranya termasuklah Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir; pakar ekonomi syariah, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar; dan kartunis nasional, Datuk Muhamad Nor Khalid atau Lat.

Selain itu, Pavilion Malaysia seluas 72 meter persegi akan turut dimeriahkan pelbagai aktiviti, antaranya persembahan Zapin dan muzik Ghazal pelajar Sekolah Seni Johor (SSJ), selain bacaan puisi dan demonstrasi karya oleh Jaafar Taib, Dr. Siti Zainon Ismail dan Dr. Ramzah Dambul.

Turut diilhamkan sebagai kelainan ialah usaha menampilkan Naim Hamid Hamidin, artis cilik berusia 13 tahun dari SSJ yang akan menghasilkan ilustrasi secara langsung pada dinding Pavilion Malaysia sepanjang 10 hari acara sebagai simbolik ekspresi kreativiti generasi muda negara.

RIBF bakal menjadi pengalaman ketiga Malaysia sebagai Negara Tetamu Kehormat di pesta buku antarabangsa. Kali pertama ialah di Tokyo International Book Fair pada 2014, diikuti Pesta Buku Antarabangsa Indonesia pada 2016, sekali gus memperlihatkan keyakinan pemain utama industri buku dunia terhadap keseriusan Malaysia mengantarabangsakan karya tempatan.

Status Negara Tetamu Kehormat memberi banyak kelebihan, termasuk kali ini apabila penganjur RIBF telah menyatakan komitmen mempertemukan delegasi Malaysia dengan 10 penerbit terbesar Arab Saudi bagi memulakan usaha rundingan urus niaga penerbitan. Dengan tema “Young Readers – Limitless Future Project”, Malaysia akan berkampung di Riyadh International Convention & Exhibition Center (RICEC) bermula 8 hingga 17 Mac depan dan Mahdzir selalu ketua delegasi negara akan berucap pada acara perasmiannya yang akan disempurnakan Menteri Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi, Dr. Adel al-Toraifi.

 

Comments

comments