PADA masa kini, landskap Malaysia dalam senario transformasi perbukuan mengkhusus kepada pembangunan bahan digital dan juga pemasaran. Beberapa kaedah dijalankan untuk menghasilkan produk e-buku dan membandingkannya dengan inisiatif luar negara. Di samping itu, terdapat juga ulasan dan kajian perspektif terhadap pemasaran, serta rintangan-rintangan yang perlu dihadapi di Malaysia.

Terdapat beberapa faktor yang menjadikan aspirasi tamadun moden sentiasa mengarah kepada penghasilan industri buku digital. Pertama, tanpa cetak iaitu melibatkan kos yang lebih rendah untuk menyampaikan maklumat. Kedua, kurang emisi karbon yang bersifat lebih mesra alam. Ketiga, mudah dan praktik iaitu mudah untuk diperolehi, dibawa dan lebih praktik dalam penyampaian.
 
Meskipun begitu, apakah sebenarnya yang dikategorikan sebagai e-buku? Adakah semua penulisan dalam format elektronik dianggap sebagai e-buku? E-buku telah pun disebut-sebut oleh pemain industri dan universiti-universiti sejak 90-an lagi, namun hanya baru-baru ini berlakunya evolusi secara besar-besaran. Antara faktor pemangkin adalah kewujudan Pengurusan Perlindungan Hak Cipta Digital (DRM) yang lebih berkesan. Oleh itu, secara langsung, definisi e-buku sendiri telah pun beralih khas untuk dunia media baru.
 
E-buku moden dan kontemporari disifatkan sebagai kandungan digital iaitu format digital – html, EPUB, MOBIpocket – HPUB, bahasa digital, dan bukan PDF yang menggunakan bahasa postscript (cetak). Selain itu, bersaiz fail yang lebih kecil untuk kemudahan peranti mudah alih dan telefon pintar. Seterusnya, kebolehan muat turun dengan membenarkan kegunaan tanpa talian. Di samping itu, kebolehan membentuk aturcara kandungan mengikut saiz permukaan peranti serta kebolehan carian iaitu setiap abjad adalah teks hidup dan bukan imej.
 
Kelima-lima sifat tersebut merupakan keperluan untuk satu kandungan itu dikatakan sebagai e-buku mengikut standard IDPF (International Digital Publishing Forum). Tidak menjadi kesalahan untuk mengkategorikan segala produk dalam softcopy sebagai e-buku, namun ianya tidak mempunyai halatuju didalam bidang ini dan mungkin juga mempunyai jangka hayat yang pendek.
 
Walau bagaimanapun, harus dipertimbangkan jika DRM digunakan, maka teknologi membaca fail e-buku tersebut akan tertakluk kepada aplikasi tertentu untuk mengawal had penggunaan. Pada peringkat awal evolusi e-buku, terdapat dua jenis e-buku. Pertama, replika atau pun verbatim. Ia wujud dalam dua format, selalunya buku yang dicetak dan diambil untuk bertukar format kepada elektronik. Buat ketika, fasa evolusi ini mewujudkan industri konversi dimana perihal mengubah format menjadi langkah kepada penerbit dan pembangun buku. Kedua, interaktif atau pun born digital. Ia wujud hanya dalam format elektronik kerana kandungan media tertentu menyebabkan e-buku jenis ini tidak realistik untuk dicetak. Lazimnya e-buku jenis ini dipersembahkan sebagai aplikasi untuk peranti mudah alih, dan yang lebih popular sekarang adalah standard seperti EPUB 3.0 keatas dan juga HPUB.
 
Penghasilan e-Buku replika biasanya apabila pemain buku industri dunia merangkumi langkah untuk mengubah format sedia cetak seperti PDF, IDD dan teks kepada EPUB2.0, html atau pun MOBI. Langkah ini tiada kebutuhan teknologi atau pun kepakaran, namun sentiasa menjadi isu dalam pembangunan format e-buku kerana penerbit lazimnya akan menggunakan pihak ketiga untuk melakukan pengubahan format.
 
Faktor-faktor yang menyebabkan fenomena ini antaranya ketidakbiasaan penerbit dalam proses penukaran format dan penambahan langkah, maka menjadikan penambahan kerja. Seterusnya,  tiada upaya atau pun sumber untuk inisiatif sendiri. Selain itu, kos untuk mengubah format oleh pihak ketiga tidak tinggi serta standard e-buku yang sentiasa bertukar dan memerlukan penerbit berjinak-jinak dengan ICT.
 
Sekiranya menyediakan fail e-buku yang lengkap hendaklah tiga perkara diperlukan iaitu kulit muka e-buku – dalam format jpeg yang sederhana sudah memadai. Perkara lain juga adalah fail e-buku – EPUB, MOBI, html, HPUB dan lain-lain. Di samping itu, METADATA e-buku iaitu  ciri-ciri seperti tajuk, nama penulis, penerbit, harga, ISBN, sinopsis dan lain-lain.
 
Terdapat berpuluh-puluh cara untuk mengubah format cetak seperti PDF kepada standard e-buku kontemporari seperti EPUB atau pun MOBI. Syarikat-syarikat yang aktiviti utamanya adalah untuk mengubah format kepada e-buku dan membangunkan buku digital interaktif selalunya digelar conversion house.
 
Conversion house akan menggunakan perisian open source untuk membuat ubah format kerana ianya lebih murah dan lebih jitu dalam penghasilan e-buku. Antaranya, Caliber, Sigil, Apple Pages dan sebagainya.
 
Selain itu, terdapat juga perisian untuk membuat ubah format yang berbayar seperti Adobe Indesign CS6 iaitu kandungan IDD tersebut boleh dieksport keluar menjadi EPUB2.0. Namun begitu, kaedah ini tidak disyorkan kerana kejituan hasil produk dan kekemasan fail EPUB melalui kaedah ini tidak konsisten dan perlukan banyak kerja baik pulih.
 
Perkhidmatan dan perisian untuk membuat pengubahan format juga adakalanya disediakan oleh pembangun-pembangun portal e-buku sendiri. Kaedah ini adalah kemas dan lebih mudah untuk menguruskan metadata e-buku tersebut. Antara platform-platform perisian dalam kategori ini iaitu KDP (Kindle Direct Publishing) – Amazon, Writing Life – KOBO, Fast Pencil – NOOK Barnes & Noble serta E-Studio Lite – e-Sentral.
 
Penghasilan e-Buku berinteraktif (Born Digital) adalah lebih mencabar, kerana ia perlukan kefahaman tentang apa yang ingin dihasilkan. Kebiasaannya, penerbit gagal kerana terlalu kusyuk kepada persiapan ICT tetapi mengabaikan konsep dan pengalaman pengguna. Penghasilannya juga haruslah menitik berat penyampaian kaedah baru yang bertumpu kepada aturcara media baru. Ini memerlukan penerbit dan pembangun kandungan untuk berfikir dari sudut yang berbeza daripada penerbitan bercetak. Erti kata lain, e-buku berinteraktif adalah bukan buku konvensional lagi.
 
Pada awalnya, konsep e-Learning dikatakan telah menerajui bidang e-Buku Interaktif dimana kandungan boleh berinteraksi dengan pengguna. Namun apabila revolusi peranti berlaku pada tahun 2010, penggunaan kandungan digital 100% atas talian tidak memadai permintaan pengguna. Oleh itu, format seperti aplikasi (objective-C, Android, C++, C#) yang boleh dimuat turun digunakan untuk penyampaian e-buku berinteraktif. Usaha ini dipendekkan kerana kos pembangunan yang terlalu tinggi serta hasil saiz fail yang terlalu besar dan tidak realistik untuk pengguna memuat turun. Perisian yang membolehkan pembangunan e-buku berinteraktif dengan kaedah tersebut adalah Adobe Folio, Aquafadas Composer dan lain-lain.
 
Timbul pula usaha-usaha lain seperti standard HPUB dan EPUB 3.0. Yang paling digemari kini dalam industri e-buku adalah EPUB 3.0. Idea disebalik standard ini adalah untuk menggunakan elemen seperti HTML5, CSS3, Javascript dan lain-lain untuk menjalankan interaktiviti dan animasi pada kandungan digital tersebut, dan pada masa yang sama boleh dimuat turun dengan saiz fail yang kecil. Perisian yang menumpu kepada pembangunan EPUB 3.0 atau pun HPUB antaranya ialah iBook Author – Apple, e-Studio – e-Sentral  dan Adobe Indesign CS6.
 
Secara dasarnya, konsep pemasaran e-buku adalah serupa dengan buku bercetak. Jika pemasaran buku bercetak memerlukan promosi, pengedar, dan kedai buku, sama juga dengan e-buku dan kandungan digital. Kaedah mempromosi e-buku tidak sangat melibatkan media bercetak namun masih memerlukan pendedahan dalam media-media atas talian seperti Cross-selling dengan menggunakan media sosial dan laman atas talian. Selain itu, pengulasan melalui blog dan media massa. Di samping itu, pengiklanan atas talian secara iklan ketika pencarian dan juga pada laman yang mempunyai traffic yang tinggi.
 
Menyelami dunia digital, pengedar dinamakan aggregator. Peranan aggregator selain penyerahan bahan e-buku kepada portal-portal jualan juga melibatkan pengurusan metadata dan harga. Penerbit boleh mengedarkan e-buku masing-masing secara persendirian. Namun begitu, kelebihan menggunakan aggregator dapat dilihat pada pengurusan dan laporan jualan, serta hubungan dengan portal-portal e-buku.
 
Penjualan e-buku pada pasaran terbuka (B2C) di Asia Tenggara masih dalam peringkat pramatang. Namun analisa e-Sentral mendedahkan bahawa pasaran terbuka lebih cenderung kepada e-buku berinteraktif jika dibandingkan dengan e-buku replika. Pada data analisa yang lalu, muat turun untuk e-buku berinteraktif adalah tujuh kali lebih besar daripada muat turun e-buku replika.
 
Fenomena yang dikatakan sebagai ASEAN Syndrome ini jelas menunjukkan bahawa citarasa Asia Tenggara adalah jauh berbeza sekali jika dibandingkan dengan dunia barat. Multimedia pada e-buku memainkan peranan yang lebih penting untuk komuniti yang masih berjinak-jinak dengan budaya membaca.
 
Cabaran jualan pada pasaran dunia pula adalah e-buku dalam bahasa tempatan tiada pasaran. E-buku Malaysia yang berbahasa Inggeris pula mempunyai lebih banyak saingan di pasaran dunia terbuka dan selalunya menghadapi masalah untuk menyerlah kerana judul-judul yang ditawarkan terlalu besar.
 
Untuk e-buku ilmiah pula, pasarannya masih di Asia Tenggara. Dunia Barat selalunya tidak pandang kepada e-buku Asia untuk rujukan kajian. Hanya kajian khusus seperti antrapologi dan botani Asia Tenggara yang boleh menerima tumpuan di pasaran dunia kerana tiada penerbitan yang lebih mendalam dalam bidang ini selain penerbitan keluaran penerbit ilmiah Malaysia.
 
Selari dengan industri buku bercetak, pasaran korporat selalunya bertumpu kepada perpustakaan digital. Di Malaysia, pasaran perpustakaan digital sedang berkembang pesat, khususnya pada perpustakaan awam. Perpustakaan awam lebih menilai tinggi penerbitan keluaran tempatan kerana kebanyakan judul-judul e-buku khususnya judul am menepati lebih permintaan khalayak ramai. Namun begitu, perpustakaan universiti, yang lazimnya mempunyai peruntukan besar untuk perolehan kandungan digital tidak membuka atau pun memangkinkan pasaran korporat untuk e-buku tempatan.
 
Faktor-faktor yang dilihat sebagai halangan perpustakaan universiti untuk mendokong e-buku tempatan antaranya tanggapan bahawa penerbitan tempatan tidak setanding dengan penerbitan luar negara. Pada akhirnya, universiti tempatan lebih selesa untuk menggunakan penerbitan luar negara seperti Elsavier, McGraw Hill, Pearson dan sebagainya jika dibandingkan dengan penerbitan ilmiah Malaysia.
 
Seterusnya, keperluan mencetak bahan atas talian. Perpustakaan universiti memerlukan langganan perpustakaan digital untuk membenarkan pelajar dan pensyarah mencetak bahan atas talian. Keizinan ini selalunya hanya dapat dilakukan oleh penerbit itu sendiri. Di samping itu, menjadi KPI universiti dan perpustakaannya untuk menaikkan status universiti dengan senarai langganan perpustakaan digital dari luar negara dan juga penglibatan dalam pembangunan MOOC (kandungan digital atas talian). ⛤

Comments

comments