Di sebalik kehidupan Kuala Lumpur yang gah dan kian berkembang mengikut peredaran zaman moden, lahirnya sebuah kota ilmu bernama Perbadanan Kota Buku (PKB). Menyorot sejarah penubuhan Kota Buku Kuala Lumpur, ia mula mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 25 Ogos 2010. Setelah itu, tertunasnya Perbadanan Kota Buku pada 6 Julai 2011 dengan merancakkan industri perbukuan di bawah Syarikat Berhad Menurut Jaminan, Akta Syarikat 1965.

Perbadanan Kota Buku selesa memilih kata-kata indah, “Banian Penawar Jiwa : Inskripsi pada lawang pustaka Thebes” sebagai sandaran makna yang mendalam. Istilah ‘banian’ didefinisikan sebagai peti iaitu tempat menyimpan barang-barang berharga. Namun begitu, ‘banian’ juga boleh diertikan dengan sudut pandangan berbeza. Jika diamati maksud ‘banian’ sebagai peti, ia boleh ditakrif lebih meluas dengan menjadikan Kota Buku sebagai peti atau tempat menyimpan khazanah ilmu yang berharga.

Bertunjangkan inspirasi saranan Dasar Buku Negara (DBN) yang mahu mewujudkan suatu agensi perbukuan negara sebagai “Pusat Buku”, Perbadanan Kota Buku ditubuhkan di Malaysia. Ia menyahut saranan itu sebagai syarikat berkaitan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Ia bertujuan untuk menghimpunkan kegiatan perbukuan pada satu pusat pertemuan. Bahkan Perbadanan Kota Buku berperanan sebagai pusat sehenti bagi menghimpunkan pembaca, penulis dan penerbit. Perbadanan Kota Buku akan menemukan dan membantu mereka dengan menjalankan pelbagi aktiviti yang berkaitan kegiatan perbukuan antara satu sama lain.

Banian melambangkan Kota Buku sebagai platform yang dilihat sebagai sumber ilmu dan informasi industri buku serta kandungan Malaysia yang berkongsi jiwa dan nilai yang serumpun bersama negara serantau. Justeru, Kota Buku memilih istilah ‘banian’ untuk menghidupkan estetika nilai bahasa sebagai jati diri serta mengukuhkan peranan bahasa Melayu sendiri. Banian berperanan menjadi nadi dengan meliputi seluruh aspek termasuk dunia ilmu sebagai penawar jiwa.

Memetik kata-kata “Inskripsi pada lawang pustaka Thebes” memiliki makna tersendiri dan pastinya Perbadanan Kota Buku mendefinsikannya dengan istimewa. Inskripsi sebagai sesuatu kata, ucapan atau lambang yang ditulis atau diukir pada permukaan sesuatu seperti di tugu, prasasti. Menerusi inskripsi, ia dilihat sebagai suatu cara atau kaedah menyimpan data maklumat. Begitu juga dengan Perbadanan Kota Buku mempunyai matlamat dengan melaksanakan penyimpanan data dengan kaedah tersendiri.

Menaksir istilah lawang pula, ia dikenali sebagai pintu kota atau pintu gerbang. Maka, Perbadanan Kota Buku juga berperanan sebagai sebuah pintu kota atau pintu gerbang yang akan membawa sesiapa untuk menyelami dunia ilmu tanpa batasan. Pemaknaan pustaka pula dikatakan sebagai tempat penyimpan khazanah dan sememangnya Perbadanan Kota Buku menjadi sebuah tempat yang mengumpul, menyimpan serta memiliki repositori buku yang terbesar.

Berpusat di tengah-tengah Kuala Lumpur yang pesat, Perbadanan Kota Buku memilih Thebes sebagai puncak semangat. Mendalami sejarah Thebes, ia merupakan bandar purba di Boetia, kawasan di tengah Yunani.  Pada suatu masa, Thebes terkenal sebagai kota paling berkuasa di Yunani. Bahkan, Thebes juga menjadi ketua persekutuan bandar-bandar yang dikenali Liga Boetia. Nyata, kekuatan Thebes menjadi inspirasi buat Perbadanan Kota Buku untuk menjadi pusat sehenti yang hebat dan berkuasa di kota besar ini. Perbadanan Kota Buku bukan sekadar ingin menjadi pusat sehenti, malahan ingin menjadi tamadun ilmu yang gah dan masyhur sehingga di persada dunia.

Visi Perbadanan Kota Buku adalah menjadi sebuah agensi unggul dalam pembangunan negara yang meliputi beberapa aspek. Pertama, pembinaan kapasiti dari segi kandungan untuk melatih karyawan, menghasilkan kualiti penerbitan yang bermutu, melahirkan sikap profesionalisme penggiat industri dan meningkatkan nilai tambah kepada kegiatan perbukuan.

Aspek lain juga ialah perdagangan kandungan. Ia meliputi penerbitan digital dan konvensional secara meluas dan mewujudkan perdagangan dalam dan luar negara. Selain itu, hal ini juga melibatkan kawalan harta intelek serta perbekalan kandungan negara ke luar negara. Di samping itu, aspek yang disenaraikan dalam kategori yang difokus menerusi visi adalah aktiviti perbukuan. Hal ini berkaitan dengan segala aktiviti komersial dan pelaburan sosial serta pameran dan jualan. Hal ini juga berkaitan dengan hubungan domestik dan antarabangsa, termasuk penerbitan genre dan tema terpilih.

Pendayaan teknologi pula merangkumi buku masa depan yang dijadikan sebagai sandaran mendahului kajian-kajian yang akan datang. Seterusnya, solusi mutakhir kandungan negara dan pendayaan berterusan dari semasa ke semasa.

Perbadanan Kota Buku juga memiliki beberapa misi penting yang ingin dicapai antaranya menyediakan latihan bagi pembinaan kapasiti khususnya dalam aspek ‘buku masa depan’ melalui Akademi Kota Buku. Selain itu, bertindak menjadi pemacu kepada pembangunan perbukuan negara melalui program pelaburan sosial, jaringan kerjasama dan luar negara, penerokaan pasaran baru dan penyediaan prasarana perbukuan kelas dunia.

Di samping itu, objektif Perbadanan Kota Buku juga berhasrat menjadi nukleus pembangunan industri perbukuan negara. Seterusnya, menjadi pusat aktiviti dan pameran perbukuan tempatan serta sebagai rujukan dan pusat runding cara industri perbukuan. Akhir sekali menjadi peneroka teknologi mutakhir dalam industri kandungan dan buku.

Kini, Perbadanan Kota Buku kian menginjak melangkah maju bersama beberapa perkhidmatan antaranya ialah Geran Terjemahan, Malaysiana, Almanak Buku, Penerbitan Digital (Bookcapital.My), Dagangan Hakcipta, Kelab Pembaca Kota Buku, Akademi Kota Buku dan Penyelidikan dan Runding Cara.

Perbadanan Kota Buku juga turut mewujudkan pelbagai acara atau program menarik antaranya KLTCC (Kuala Lumpur Trade and Copyright Centre), FSK (Festival Kanak-Kanak), KLIF (Kuala Lumpur Literary Festival), Kota Kata, Rehat dan Baca @KLBIF, Night @ Library dan Bookcamp.

Bersandarkan banian yang dimiliki, Perbadanan Kota Buku menjadikan sebagai kunci menyelami pintu kota tamadun ilmu untuk masyarakat. Perbadanan Kota Buku akan terus melangkah kukuh dan teguh sebagai peti simpanan khazanah, serta sebagai penawar jiwa yang indah. Suatu masa kelak, Perbadanan Kota Buku bakal menjadi hab tamadun ilmu yang akan dimanfaatkan dan rujukan seluruh sejagat. Semoga banian kota ilmu dapat melebarkan sayapnya hingga ke persada dunia dengan masyhur.

 

Comments

comments