HARI ini saya mahu bercerita mengenai empat ‘pejabat’ penulis di dalam dan luar negara.
Ada banyak. Saya cerita empat lima sahaja yang sifatnya terbuka kepada semua penulis tanpa mengira rumah penerbitan mana mereka bernaung. Ada juga yang terbitkan buku sendiri menggunakan fasiliti ini. Mereka yang masih tidak ada penerbit pun ada di sana.

1. The Writers Room, New York, AS
THE WRITERS ROOM / www.writersroom.org

The Nation’s Original Urban Writers menggerakkan operasi tempat ini. Jika diundur sehingga tahun 1978, cerita tempat ini bermula apabila empat orang penulis bertemu di perpustakaan awam di 42nd Street dan Fifth Avenue. Mereka berpakat membawa idea kewujudan lokasi ini.

Mereka keluarkan duit poket membayar sewa tempat bersama-sama.

Sekarang, seramai 200 orang penulis aktif menggunakan lokasi ini. Ruang yang ada cukup untuk 45 meja kerja pada satu-satu masa. Maka susunan jadual dibuat agar semua orang dapat menggunakan tempat itu.

THE WRITERS ROOM / www.writersroom.org

Ada tiga peraturan mesti dipatuhi.

Jangan bising, telefon dimatikan bunyi dan jangan rancak bersembang. Jika dapat patuhi semua ini, semua kemudahan dari meja kerja, dapur, bilik tidur dan akses internet serta ruang simpanan dapat digunakan.

Malah anda berpeluang menghadiri kelas-kelas dan sesi sembang petang anjuran mereka.

Pembayaran ditetapkan selama enam bulan melalui yuran keahlian sebanyak RM4226.55. Penulis dapat mengakses meja kerja dari pagi ini ke pagi keesokan harinya.


2. Cells for Writers
CREATIVE SPACES / www.creativespaces.net.au

Ruang menulis menggunakan sel-sel tahanan di penjara. Lokasi di Old Melbourne Gaol, Melbourne, Australia. Penjara ini dibina pada tahun 1845.

Malam-malam selepas membeli makanan di Coles, kami akan meninjau dari tepi padang, melihat beberapa sel tahanan yang masih bercahaya. Mereka sedang mengetik kisah jenayah, misteri ataupun seram.

CREATIVE SPACES / www.creativespaces.net.au

Pada hujung minggu, pintu sel akan dibuka agar pengunjung penjara dapat melihat proses kerja. Mereka dapat bersembang dengan penulis.

Sel penjara dipanggil sebagai studio. Inisiatif ini dipanggil Cells for Writers dan diusahakan oleh Writers Victoria. Sewaan sebanyak RM570.42 sebulan.

3. The Sydney Writers’ Room

SYDNEY WRITERS’ ROOM / writersroom.org.au

Diinspirasi daripada The Writers Room New York, maka Sydney Writers’ Room diwujudkan pada tahun 2007 di Trades Hall yang terletak di antara Sussex Street dan Goulborn Street.

Melalui ruang ini, inisiatif memperkenalkan penulis pelbagai genre pada usia berbeza diusahakan.

Sewaan sebanyak RM738.59 sebulan. Ruang ini diuruskan oleh Creative Spaces. Pengurusan Sydney Writers’ Room juga menganjurkan pertandingan cerita pendek sebagai aktiviti teras mereka.

Insya-Allah, saya akan ke sana pada tahun ini.


4. Nukleus Industri (Nuke)

PERBADANAN KOTA BUKU

Hampir dua tahun beroperasi, Nukleus Industri di Perbadanan Kota Buku menawarkan fasiliti yang sama kepada para penulis. Ruang yang disediakan khusus kepada penulis datang, bawa komputer riba menulis tanpa halangan.

Pada setiap hari Jumaat, sesi ulasan buku diadakan dan para penulis serta pembaca akan mengikuti tajuk yang diangkat pada hari itu. Malah, pengguna Facebook dapat menonton melalui Facebook Live di page rasmi mereka.

Kadar sewa adalah percuma dan ruang ini dibuka untuk tempahan acara perbukuan pada hujung minggu. Lokasi di tingkat 24, Menara Maju yang berkongsi bangunan yang sama dengan Maju Junction.

Penggunaan ruang hanya pada waktu pejabat sama seperti waktu mereka bekerja.

Saya tambah satu lagi. Mahu?

 

5. Kafe Buku Oakheart – #KABO

Terletak di Bandar Baru Bangi, inisiatif mewujudkan tempat ini di Seksyen 8 oleh Legasi Oakheart bertujuan mewujudkan nukleus sastera dan budaya di sana.

Aktiviti penulis mula rancak di sana, khususnya aktiviti pada waktu malam. Salah satu yang menarik perhatian ramai, lomba penulisan cerpen yang bermula pada jam satu pagi dan berakhir pada jam tiga pagi.

#KABO / legasioakheart.biz

Kenapa ruang-ruang seperti ini wujud?

Satu usaha terancang bagi membantu penulis berhadapan situasi menangguhkan kerja dan menulis.

Apabila penulis membayar, maka komitmen berjadual dicipta atas diri sendiri.

Ditambah lagi, apabila melihat penulis lain yang bukan sepenuh masa berada di sekeliling sedang tekun menulis, apakah alasan kepada diri agar tidak menulis di meja sendiri?

Ruang seperti ini memberi kesan stres terancang.

Pada masa sama aktiviti ini mendorong aktiviti pemasaran.

Apabila para penulis lain di situ tahu perkembangan karya teman-teman di sana, mereka akan mula men-tweet, berkongsi foto di Instagram dan menulis di Facebook.

Rumah penerbit seperti Blink juga mengusahakan perkara yang sama untuk penulis di bawah jenama ini.

Pada masa sama, kita menjangkakan kafe-kafe juga akan mengambil inisiatif yang sama dengan memperkenalkan meja penulis. Pelanggan dapat duduk dan bersembang dengan penulis yang dijadualkan pada hari itu.

Malah kita percaya, gerakan membuka perpustakaan persendirian diusahakan bagi memenuhi sifat yang hampir serupa bagi menggalakkan pertemuan penulis dan bakal pembaca.

Sejak dua tahun lalu, ada komuniti penulis mula berbincang menyewa apartment yang berdekatan laluan pengangkutan awam bagi menjayakan usaha ini.

 

Comments

comments