Apakah Itu Syarikat Pengurusan Hak Cipta (CMO)? Kenapa Penulis dan Penerbit Memerlukan Sebuah CMO?

INSTICC / insticc.org

COPYRIGHT Management Office (CMO) atau Syarikat Pengurusan Hak Cipta ialah sebuah syarikat pengutip royalti yang tidak berorientasikan untung dan bertindak sebagai sebuah entiti yang mengutip royalti bagi pihak pemilik kontens (sama ada penulis, illustrator, penulis terbit sendiri mahupun penerbit yang diberi hak oleh penulis) apabila hasil penulisan, imej atau terbitan mereka digunakan semula.

Setelah mengutip royalti tersebut, ia akan diagihkan semula kepada pemilik kontens tersebut. Syarikat hanya menyimpan sedikit daripada wang hasil kutipan tadi cukup-cukup hanya sebagai kos operasinya saja.

Kebanyakan negara di dunia telah ada CMO nya tersendiri. Jika dibuat perbandingan dengan industri kreatif yang lain di Malaysia, ia boleh di samakan seperti Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) yang berfungsi sebagai wakil penggiat industri muzik untuk mengutip royalti atas mana-mana penggunaan harta intelek muzik di persembahan atau pendengaran kepada awam.

Banyak negara yang telah lama memiliki CMO sendiri telah mengutip jumlah royalti yang besar dan mengawal penggunaan secara berlesen mana-mana kontens hak cipta di negara mereka. Antara negara yang mengutip jumlah royalti yang tinggi (lihat gambar) seperti Jerman (EUR305juta pada 2016), Amerika Syarikat (EUR296juta) dan United Kingdom (EUR103juta)!

Syarikat Pengurusan Hak Cipta ini menguruskan skim penyalinan semula bahan-bahan akademik, skim pampasan pembayaran atas guna semula kontens di seluruh negara, skim royalti penjualan semula kontens dan juga membantu dalam penggunaan kontens yang memiliki hak cipta ke atas pengguna yang kurang upaya. Tugas-tugas di atas apabila melibatkan kutipan wang, ia haruslah diberi kuasa oleh autoriti di pihak kerajaan.

Syarikat ini memiliki govenans operasi yang telus, turut melesenkan pusat-pusat pengeluaran/penyalinan semula agar ia memudahkan kawalan.

Syarikat ini juga akan bekerjasama dalam bentuk perjanjian antara CMO antarabangsa agar ia turut dapat melesenkan kontens-kontens luar negara ke dalam negara ini. Hal ini tidak boleh dihalang oleh pihak berkuasa tempatan yang bekerjasama dalam parameter perjanjian bebas dagang. Kerjasama antarabangsa ini adalah bersifat timbal balik dan rakan dagang dari negara lain turut membantu mengutip royalti kontens Malaysia di negara mereka.

Kebiasaannya di negara-negara lain, syarikat ini juga boleh menyediakan sokongan kewangan kepada komuniti budaya melalui program geran, Geran Budaya yang boleh diwujudkannya.

Syarikat ini adalah syarikat berasaskan keahlian dan ahli-ahli syarikat ini biasanya terdiri daripada penulis, penyair, penulis skrip, wartawan, penerbit, artis visual, jurufoto, kartunis, ilustrators dan juga pelukis pelan.

Comments

comments