Pengenalan Permainan Atas Meja bersama All Aboard Community Gaming Centre

SEPERTI kebiasaan, segmen Resensi Kota Buku (#ResensiKB) di ruang santai Nukleus sering kali berbicara perihal buku-buku fizikal. Meskipun begitu, awal pagi Jumaat pada 17 Februari 2017, kami menerima kunjungan daripada empat orang tetamu berlatarbelakangkan industri permainan; Charles Yu, Ben Cheong, Grayle dan Andrew.


Segmen kali ini menginjak beralih daripada perihal buku kepada permainan. Namun begitu, ia masih mengulas tentang buku yang diolah dan diadaptasi ke bentuk permainan. Segmen resensi dimulakan oleh pengasas All Aboard Community Gaming Centre, Charles Yu. All Aboard Community Gaming Centre merupakan sebuah pusat yang memperkenalkan khalayak dengan pelbagai jenis permainan yang semakin mendapat kedudukan di pasaran sekarang.

Berwajah ceria dan tutur bicara mesra, beliau memperkenalkan alat permainan iaitu Permainan Atasmeja atau dikenali sebagai Tabletop Games. Menurut beliau, permainan tersebut pada asalnya disebut sebagai Board Games, namun ia diubah sebagai Permainan Atasmeja. Terdapat beberapa jenis permainan antaranya Board, Card, Permainan Bercakap dan Permainan Perbandingan Gambar.

Charles Yu menyatakan bahawa pelbagai jenis permainan yang berbeza dan berdasarkan kategori juga. Bagi beliau, industri permainan tersebut dapat memberi manfaat dengan mewujudkan pengaruh isi kandungannya lebih meluas. Bahkan beliau juga turut menyoal ;

“Mengapa kita tidak memperkenalkan dan mempromosikan kandungan tempatan?”

Beliau berpendapat, permainan sedemikian yang kebanyakannya dari luar negara boleh dilakukan juga di Malaysia. Dalam segmen tersebut diselitkan dengan informasi mengenai kewujudan aktiviti yang dilangsungkan oleh komuniti tersebut pada setiap tahun. Menariknya, terdapat 200 jenis permainan boleh didapati dan dinikmati dalam acara besar tersebut. Pastinya, ia memberi kepuasan, pengalaman baru dan keseronokan buat para pengunjung kerana dapat mencuba pelbagai jenis permainan.

Permainan Dengan Kandungan Tempatan

Menurut Charles, permainan terbaru ialah ‘The Lepak Game’ iaitu permainan yang melibatkan perhubungan antara individu dengan individu lain. Misalnya, perhubungan individu dengan rakan-rakan. Ia berbentuk kad dan menerusi kad tersebut, ada sesi perbincangan. Menerusi kad perbincangan, para pemain perlu bijak untuk memastikan salah satu kad mereka dipilih oleh pengadil (Salah seorang pemain).

Lepak Game

ALL ABOARD COMMUNITY GAME CENTRE / www.allaboardcgc.com

Selain itu, terdapat pelbagai jenis permainan yang kian maju dan menjadi sebahagian budaya popular pada masa kini. Misalnya, permainan ‘X Wing Star Wars’, ‘Game of Throne’ yang diadaptasi dari buku, ‘Lord of the Rings’ dan sebagainya. Charles turut berkongsi ada jenis permainan lain yang bersifat lengkap dan survival.

Beliau juga memberitahu ada jenis permainan bertema, misalnya ‘Sherlock Holmes’ iaitu berdasarkan cerita asas atau storyline. Permainan jenis ini mempunyai 10 buah kes. Pemain hendaklah menyelesaikan setiap kes mengikut situasi atau keadaan tertentu. Pemain juga perlu mencari jawapan terhadap masalah kes bersandarkan langkah-langkah yang telah disediakan.

Permainan ‘Time Story’ pula merupakan progressive story. Setiap permainannya, perlu memiliki kumpulan yang akan kembali ke waktu zaman tertentu untuk berhadapan dan menyelesaikan kes misteri. Charles menyatakan bahawa setiap permainan memiliki kelebihan dan kekuatan cerita tersendiri.

Setelah berkongsi beberapa jenis permainan, Charles berharap pada suatu hari nanti dia ingin memiliki pelbagai permainan yang dihasilkan dari kandungan Malaysia pula. Sambil menunjukkan sejenis kotak permainan kecil iaitu ‘Shushi Go’ dari negara Jepun beliau berpendapat bahawa Malaysia juga boleh menghasilkan permainan berbentuk makanan. Pada pandangan beliau, rakyat Malaysia sangat menyukai makanan apatah lagi Malaysia kaya dengan pelbagai jenis makanan yang istimewa dan unik. Pastinya, permainan berbentuk makanan akan mendapat sambutan menggalakkan jika ia dicipta.

Selain itu, beliau menunjukkan kotak permainan ‘Dead of Winter’ iaitu bertunjangkan watak zombie yang seringkali menjadi pilihan cerita lakon layar, komik, mahupun permainan juga. Berbeza permainan tersebut, ia tidak seperti permainan lain yang berasal dari buku atau novel. Sebaliknya, ia merujuk kepada trend budaya popular pada masa kini.

Istimewanya permainan tersebut adalah setiap pemain perlu memiliki skuad penyelamat. Ia memerlukan kerjasama antara satu sama lain bagi meneruskan hidup dan selamat. Sekiranya gagal, para pemain akan kalah. Jikalau menang, beberapa kumpulan skuad penyelamat perlu meneruskan hidup dengan menyasarkan objektif masing-masing. Apabila skuad penyelamat berjaya mencapai objektif itu, maka kemenangan akan menjadi milik mereka. Permainan ini melibatkan hubungan komunikasi dengan berinteraksi antara sesama pemain. Sekali gus, ia meningkatkan keyakinan jati diri dan komunikasi individu tersebut.

Kepelbagaian Jenis Permainan 

Segmen resensi diteruskan dengan tetamu jemputan lain iaitu Grayle. Lebih mesra dikenali sebagai Gray, beliau memperkenalkan dirinya seorang pereka produk yang mahir menulis, pemasaran media sosial dan perhubungan awam. Tanpa melengahkan waktu, beliau menampilkan empat jenis permainan antaranya alat Permainan Berpapan, Permainan Berkad (Dikatakan hampir berusia 30 tahun), Permainan Berperanan dan Permainan Perang Kecil.

Gray membuat pembentangan mengenai beberapa istilah antaranya Tabletop Games atau Permainan Atasmeja, Board Games atau Permainan Berpapan dan Role-Playing Games atau Permainan Berperanan. Beliau menerangkan dengan lebih jelas mengenai Permainan Atasmeja. Secara umumnya, permainan tersebut merujuk terhadap pelbagai komponen antaranya permainan berpapan, kad, dadu, perang kecil dan permainan lain yang kebiasaannya dimainkan di atas meja atau permukaan rata yang lain. Meskipun begitu, beliau menyatakan bahawa terdapat kekurangan permainan atasmeja yang bertemakan budaya Asia Tenggara.

Beralih pula Permainan Berpapan, ia melibatkan peralatan antaranya papan dan kad bercetak, penanda kayu, besi dan sebagainya. Permainan tersebut dikatakan tidaklah terlalu berbeza dengan permainan lain, namun ia tetap memiliki tema tersendiri. Ia mengangkat tentang sejarah, fiksyen dan dunia penciptaan penulis buku dan filem.

Seterusnya, Permainan Berperanan pula memerlukan pemain mengambil alih peranan watak-watak dalam suasana dunia fiksyen. Permainan tersebut melibatkan para pemain yang perlu mengambil giliran untuk melakonkan peranan watak masing-masing secara naratif atau menerusi proses berstruktur. Ia hendaklah dilakukan dengan membuat keputusan dan pengukuhan pembangunan watak tersebut. Gray menunjukkan salah satu contoh permainan ‘Qelong’ yang dicipta oleh Kenneth Hite. Permainan tersebut diilhamkan berdasarkan kisah drama fantasi dan cerita-cerita perang Asia Tenggara.

Setiap jenis permainan memberi sumbangan masing-masing terhadap industri permainan. Ia bergantung terhadap sambutan, minat dan cita rasa para pemain (Pelanggan) yang memilih permainan tersebut. Gray menunjukkan beberapa jenis alat peralatan permainan, serta menunjukkan buku-buku yang menjadi rujukan setiap permainan. Segmen ini berakhir selepas berakhirnya demonstrasi permainan tetamu jemputan bersama warga Kota Buku.

Sekiranya berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai All Aboard Community, sila layari laman web : www.allaboardgcg.com.

Comments

comments