Penulis buku Diari Seorang Mujahidah Kembara Syria, Puan Roziyah Mahamad berkongsi maklumat dan tip menerbitkan buku tanpa mengeluarkan modal peribadi menerusi video live di Facebooknya. Puan Roziyah juga merupakan salah sebuah penggerak utama dalam bidang percetakan iaitu syarikat pencetak, Senang Terbit.

Posted by Roziyah Mahamad on Monday, March 6, 2017


“Bagaimana mahu terbitkan buku 100 naskah tanpa mengeluarkan modal sendiri?”

Itulah persoalan utama yang dibicarakan oleh Puan Roziyah. Sebagai Pengurus Pemasaran Senang Group, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk menyertai perkongsian dan perbincangan di laman sosial peribadinya. Beliau merujuk Cikgu Khairun Aniza sebagai individu yang berjaya mengaplikasi teknik mencetak buku tanpa perlu melibatkan modal sendiri.

Menerbitkan buku secara peribadi lebih mesra disebut sebagai istilah self-publish. Puan Roziyah mendefinisikan self-publish iaitu terbit atau cetak sendiri. Semua aspek dan perkara perlu dilakukan sendiri dari sudut penghasilan, percetakan, suntingan sehingga ke bahagian promosi.

Berbeza pula dengan penerbitan biasa atau konvensional, semua perkara dan aspek dilakukan serta disediakan oleh penerbit. Termasuk juga aspek penyuntingan manuskrip, tataletak (layout), sampul hadapan (cover) dan menjadikannya sebagai sebuah karya.

Puan Roziyah mulai berkongsi beberapa tip untuk menerbitkan buku tanpa mengeluarkan modal peribadi yang dapat dimanfaatkan oleh semua pihak, terutamanya golongan penulis.

Pertama, menyediakan manuskrip yang siap dan lengkap. Manuskrip dianggap sebagai jalan pembukaan awal untuk meneruskan laluan bagi proses menerbitkan buku pada peringkat seterusnya. Sekiranya manuskrip tidak siap dengan lengkap, tiada apa-apa yang boleh dilakukan.

“Seboleh-bolehnya, kita perlu sunting sendiri. Buat dan siapkan sendiri termasuk layout juga” ujar Puan Roziyah menerusi video live di Facebook.

Selain itu, beliau menyatakan bahawa hendaklah melakukan promosi di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya. Teknik tersebut merupakan strategi pemasaran buku yang sesuai untuk menerbitkan dan menjual buku. Paling penting, mempromosikan manuskrip yang belum diterbitkan iaitu masih pada peringkat manuskrip sepenuhnya. Hendaklah melakukan promosi pada setiap hari supaya dapat menarik minat dan perhatian orang untuk membuat pre-order.

Di samping itu, perlu mendapatkan sebut harga (quotation) daripada pencetak. Beliau menyatakan contoh iaitu pencetak, Senang Terbit mengeluarkan jumlah cetakan sebanyak 100 naskah. Menerusi kira-kira pula, misalnya 100 naskah mempunyai 50 muka surat. Berapakah jumlah cetakan yang perlu diketahui? Puan Roziyah memberi andaian, contohnya harga RM 10.00, termasuk sekali dengan kiraan kos untung. Oleh hal yang demikian, senaskhah buku tersebut boleh dijual dengan harga RM 15.00.

Puan Roziyah meneruskan tips seterusnya iaitu perlu membuka dan membuat ruangan pratempahan (pre-order). Sewaktu beliau berbicara di video, beberapa kenalan Facebook turut menyertai ruangan tersebut. Beliau menyatakan bahawa antara mereka tersebut sebahagiannya merupakan pelanggan Senang Terbit yang terlibat dalam industri perbukuan. Bahkan, mereka juga memiliki nilai kepercayaan oleh pengikut atau khalayak tersendiri.

Mengulas tentang nilai kepercayaan, ia memerlukan nilai keyakinan yang tinggi untuk diserahkan kepada seseorang tanpa berasa ragu-ragu. Misalnya, beliau memetik nama Tuan Hussin, pelanggan Senang Terbit yang mempunyai nilai kepercayaan yang tinggi di media sosial. Justeru itu, nilai kepercayaan yang diberikan oleh pengikut perlu dihargai. Malahan, penulis hendaklah mengambil kesempatan dengan mempromosikan manuskrip tersebut kepada khalayak atau pengikut.

Sebelum hendak membuka pratempahan, sampul hadapan manuskrip perlu disiapkan terlebih dahulu. Setelah itu, barulah berkongsi mengenai manuskrip buku itu. Seelok-eloknya, sebagai permulaan pratempahan hanya 100 naskah sahaja. Beliau turut berkongsi cara proses pratempahan iaitu mengenakan bayaran samada 50 peratus atau bayaran sepenuhnya.

Sekiranya pelanggan dapat membuat pembayaran sepenuhnya, penulis sudah dapat jumlah cetakan yang perlu dibayar kepada pencetak. Hal ini demikian kerana pre-order tersebut yang melibatkan manuskrip yang belum dicetak dan telah dibayar oleh pelanggan, maka duit itulah yang akan digunakan untuk dibayar kepada pencetak. Selain itu, cetakan juga boleh dilakukan dalam tempoh 14 hari.

Puan Roziyah turut berpesan dari segi tempoh pula, jangan sesekali berjanji dengan pelanggan selagi tarikh manuskrip untuk dicetak tidak tetapkan pada tarikh tetap. Sebaik-baiknya, hendaklah memberitahu dan memaklumkan kepada pelanggan mengenai jumlah hari cetakan tersebut. Contohnya, buku itu akan dapat dalam tempoh dua minggu atau sebulan.

Merujuk 100 cetakan pertama untuk kali pertama, penulis hendaklah mengetahui siapa sasaran atau target, siapa pasaran yang yang sesuai dan berapa jumlah pasaran tersebut. Sebagai contoh, hanya 50 orang yang membuat pre-order.

Bezakan Tempahan dengan Bayaran

Pastikan penulis tahu perbezaan antara tempahan dan bayaran kerana ia merupakan dua aspek berbeza. Begitu juga dengan penempah dan pembayar, kedua-duanya ialah pihak yang berbeza. Sekiranya menempah, ia hanya membuat pesanan tanpa membuat sebarang bayaran. Membayar pula melibatkan membuat pesanan dan melaksanakan pembayaran sekali gus.

Paling penting, pihak yang membuat pre-order perlu bayar terlebih dahulu. Jangan sesekali andaikan atau memasukkan pihak yang menempah buku tetapi masih belum membuat bayaran dalam jumlah kiraan cetakan buku. Sekiranya hal tersebut berlaku, ia dianggap sebagai kesilapan, bahkan menjadi salah satu punca kerugian buat penulis tersebut kerana tersalah langkah teknik atau strategi. Puan Roziyah mencadangkan supaya penulis merujuk dan mendapatkan nasihat pencetak mengenai hal tersebut. Malahan beliau juga boleh membantu mengenai perkara itu.

Puan Roziyah yang membuat siaran video secara live dari Korea Selatan, menyatakan bahawa dia akan menetap di situ selama setahun. Beliau turut mengajak dan mempelawa para penggiat penulisan untuk mengadakan aktiviti penulisan di sana. Beliau menyentuh pula perihal masalah kurang keyakinan untuk mencetak dan menerbit buku sendiri dalam kalangan penulis.

“Bagi penulis baru, 100 naskah dianggap banyak. Bagi mereka yang tidak tahu berapa jumlah pengikut atau follower, sebab itulah pre-order sangat penting kerana kita boleh tahu jumlah yang betul-betul akan membeli buku kita. Ini kerana sewaktu tempahan ada yang akan bercakap ya, tetapi apabila buku diterbit cakap tidak,” ujar Puan Roziyah sambil menitipkan tip yang boleh dimanfaatkan kepada penulis.

Puan Roziyah menekankan mengenai pre-order, pastikan manuskrip siap kerana itu aspek yang paling utama. Sekiranya manuskrip gagal disiapkan dan pada masa yang sama sudah membuka ruangan pratempahan, ia dianggap sebagai janji palsu kepada pelanggan. Hal ini demikian kerana bagi pihak pelanggan untuk kali pertama, sekiranya tidak dapat mendapat yang terbaik daripada pihak penulis, maka peluang untuk kali kedua agak sukar untuk meraih kepercayaan pelanggan.

Jikalau pelanggan berpuas hati untuk kali pertama, pelanggan akan datang kembali semula untuk kali kedua dan seterusnya. Aspek memiliki nilai kepercayaan harus ditititkberatkan kerana ia menjadi penentu kejayaan seseorang atau penulis dalam kegiatan perbukuan.

Sewaktu Puan Roziyah berbicara, seorang kenalan laman sosialnya, Tuan Zamri Mohamad, seorang ejen persuratan (literary agent) bertanya soalan mengenai kualiti pada buku terbit sendiri. Puan Roziyah menjawab pertanyaan tersebut dengan menyatakan pendapatnya iaitu kualiti yang dimaksudkan mungkin bergantung kepada kualiti kertas, cover atau sebagainya.

Sememangnya ada perbezaan dari sudut kertas dan cover kualiti antara printing on demand dan off set tetapi tidak banyak. Setakat ini, merujuk cetakan secara self-publish melibatkan dalam kuantiti yang kecil. Kualitinya tidak mengecewakan kerana sebab itulah ia berpeluang untuk masuk dan dipasarkan di kedai.

Menyentuh perihal self-publish, Puan Roziyah menyatakan bahawa ia dimulai dengan cetakan rendah dahulu. Pesan beliau kepada penulis, jangan terlalu teruja untuk cetakan yang tinggi. Barangkali berfaktorkan pengikut ramai di laman sosial, misalnya di Facebook dan penulis berasa teruja bercerita sehingga membawa pengaruh apabila ramai yang mahu membeli buku tersebut. Walaupun begitu, diingatkan bahawa memang ada yang berminat ingin membeli buku namun selagi tidak membuat pembayaran terhadap buku, ia tidak dianggap sebagai pembeli. Menyelami dunia self-publish, penulis hendaklah menerima duit terlebih dahulu kerana dari situ penulis akan mengurus dan mengawal segala aspek untuk menerbitkan buku.

Di samping itu, beliau menyentuh pula aspek kesilapan atau kesalahan buku. Beliau menyatakan bahawa perkara tersebut dianggap normal atau biasa. Beliau mengakui bahawa untuk cetakan kali pertama tidak boleh lari dari kesilapan dan ia bukanlah menjadi masalah besar kerana jumlah buku yang dicetak sedikit. Misalnya, 100 naskah sahaja. Menerusi 100 naskah diambil pre-order dan ia sudah dicetak, ia masih boleh diperbaiki untuk cetakan seterusnya atau akan datang. Justeru itu, tiada masalah mengenai isu cetakan 100 naskah tersebut. Sekiranya terdapat kesilapan pada buku itu, ia selalu terjadi pada peringkat di manuskrip tanpa sedar. Meskipun berkali-kali disunting namun pasti ada kesilapan dan ia tetap dianggap normal.

“Jangan terlalu berharap sempurna 100 peratus. Kalau nak sempurna, penulis perlu check  dan pastikan betul-betul tiada kesilapan,” pesan Puan Roziyah bersungguh-sungguh.

Sewajarnya penulis yang mahu melakukan self-publish perlu memastikan tiada kesilapan sekiranya ingin kesempurnaan terhadap manuskrip tersebut. Hal ini demikian kerana berbeza pula dengan pihak pencetak Senang Terbit, ia bertindak sebagai pencetak untuk mencetak sahaja. Ia di luar bidang untuk menguruskan aspek lain kerana khusus untuk cetakan sahaja. Namun begitu, sekiranya ada yang meminta untuk suntingan proof tersebut, Senang Terbit akan lakukan dan sediakannya.

Berdasarkan tempoh suntingan daripada pengalaman Senang Terbit, ia melibatkan jangka masa selama dua minggu manakala layout juga dua minggu. Di samping itu, cover juga dilakukan serentak sepanjang proses berkenaan. Maka, ia dianggap kiraan selama sebulan untuk melakukan dan menyiapkan proses tersebut. Walaupun begitu, Puan Roziyah menyatakan bahawa ada juga proses sedemikian mengambil masa dua bulan kerana penulis mahukan yang terbaik untuk manuskrip tersebut.

Kos upah suntingan pula bergantung kepada pihak penyunting. Biasanya, ia dikenakan caj RM 4.00 dan jikalau pihak penyunting pakar dan berpengalaman pula bayarannya berharga RM 5.00. Menyebut tentang kos upah layout, terdapat dua jenis iaitu berwarna dan tidak berwarna (hitam dan putih). Layout berwarna berharga RM 7.00 bagi setiap halaman. Layout tidak berwarna pula berharga RM 5.00 bagi setiap halaman.

Mengapa Perlu Cetak Sedikit?

Mengenai jumlah cetakan sedikit mempunyai alasan tersendiri. Puan Roziyah menerusi video live menyatakan bahawa:

“Kenapa kita kena cetak sedikit? Kerana banyak kos boleh dikurangkan. Ia juga boleh cover atau meliputi  banyak kos, termasuk kos stor iaitu penjimatan ruang. Apabila kita mencetak sedikit, kita tak perlu ada ruang penyimpanan yang besar.”

Disoal mengenai pakej buku yang sesuai oleh kenalan Facebooknya, Puan Roziyah berpendapat bahawa seelok-eloknya tidak lebih daripada 200 muka surat. Ia bersesuaian dengan pada masa kini yang menghadapi ekonomi tidak stabil. Sekiranya menghasilkan jumlah halangan yang dicadangkan, ia boleh dijual dalam lingkungan harga RM 15.00 sehinggan RM20.00. Jikalau merujuk harga pasaran sekarang pula ia boleh diletakkan harga RM 25.00.

 

Daftarkan Nombor ISBN untuk Buku Anda

Puan Roziyah meneruskan bicaranya tentang International Standard Book Number (ISBN). ISBN atau dikenali juga sebagai Nombor Buku Standard Antarabangsa memiliki 10 angka digit sebagai pemberi identifikasi terhadap satu judul yang diterbitkan oleh penerbit. Mengulas mengenai ISBN, Puan Roziyah menyatakan bahawa penulis tidak perlu risau untuk hal tersebut. Sebagai pencetak, Senang Terbit akan menguruskan ISBN dari awal sehingga akhir. Penulis hanya perlu mengisi borang sahaja, setelah itu Senang Terbit akan berhubung dengan Perpustakaan Negara Malaysia. Tujuannya untuk tidak mahu menimbulkan isu atau masalah kelak nanti.

Terdapat beberapa fungsi ISBN antaranya mudah untuk masuk ke laluan pasaran di kedai. Selain itu, memandangkan pihak Senang Terbit tidak mendaftar hak cipta dan sekiranya tidak ada pula ISBN, bagaimana nasib buku kita kelak? Barangkali, ada peluang untuk diciplak. Maka, ISBN bertindak untuk menjaga dan melindungi buku daripada sebarang ciplak, di samping mempunyai rekod bersama Perpustakaan Negara Malaysia. Berwajah ceria, Puan Roziyah turut menyatakan bahawa pada setiap tahun Perpustakaan Negara Malaysia akan membeli buku. Dari situ, barangkali ada peluang buku tersebut dimasukkan dalam senarai untuk satu Malaysia.

“Terbitlah buku walaupun berapa cetakan asalkan ilmu sampai kepada masyarakat,” pesan Puan Roziyah sebelum mengakhiri video live itu.

Sekiranya berminat dan ingin mengetahui lebih lanjut mengenai self-publish, boleh berhubung dengan Puan Roziyah menerusi Facebook beliau iaitu Roziyah Mahamad.  Bagi untuk mendapatkan nasihat dan perkhidmatan percetakan, boleh layari laman web http://senangterbit.com/. Jika ingin berurusan lanjut, boleh mengirim emel ke senangterbit@gmail.com.

Comments

comments