Shamsul Amin

Eksekutif Kandungan di Perbadanan Kota Buku. Editor MukaSurat.my.

Cuba anda buka laman Google sekarang. Hari ini, doodle pada logo Google memaparkan seorang lelaki bersama skrip di tangan, alat muzik gitar sedang duduk di bangku pengarah. Beliau ialah seniman agung yang kita kagumi, Allayarham Tan Sri P. Ramlee, yang meninggalkan kita 44 tahun dahulu.


Enjin carian terkemuka itu memaparkan P. Ramlee sebagai penghias doodle untuk memberikan penghormatan kepada Allahyarham bersempena dengan ulangtahun kelahiran beliau yang ke-88 pada hari ini.

Pelakon, sutradara dan penggubah lagu versatil tersebut lahir pada 1929 di Pulau Pinang meninggal dunia beberapa bulan selepas meraikan ulangtahun kelahirannya yang ke-44.

“Dilahirkan 88 tahun yang lalu, pencapaian seni P. Ramlee meninggalkan kesan kekal dalam sejarah kebudayaan Malaysia. P. Ramlee merupakan seorang pelakon, sutradara, penulis dan ahli muzik yang prolifik yang menyumbangkan lebih daripada 60 buah filem dan telah menggubah sekitar 250 buah lagu”

“Selepas kehilangannya pada tahun 1973, rakyat Malaysia sentiasa menghidupkan legasinya, mengabadikan namanya pada nama dewan, muzum dan pelbagai bangunan,” menurut keterangan Google di laman sesawang Doodle-nya.

Sempena memperingati P. Ramlee pada hari ini, kami di MukaSurat akan menyenaraikan 7 buah buku yang kami fikirkan wajar untuk anda baca berkenaan P. Ramlee.

Kebanyakan buku yang termasuk dalam senarai ini ialah buku-buku biografi kisah hidup beliau selain buku-buku kajian pemikiran beliau, kajian kritikan terhadap filem beliau selain buku yang diadaptasi daripada lakon layar beliau.

Berikut ialah 7 buku tentang P. Ramlee yang wajar dibaca dan dimiliki naskhahnya:

1.   P. Ramlee di Cakera Nusantara (Awang Azman Awang Pawi & Khor Cooi Lian)

Buku P. Ramlee di Cakera Nusantara merupakan sebuah buku terbitan UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak) tahun 2005. Buku adalah merupakan himpunan 22 kertas kerja tokoh-tokoh Terkemuka termasuk penganalisis luar negara tentang kajian atas hasil karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

P. Ramlee di Cakera Nusantara membincangkan gagasan dan perkembangan artistik dan kreativiti, lirik, komposisi, skrip-skrip dan pengarahan P. Ramlee. Ini dikaitkan dengan konteks pemikiran kebudayaan dan zeitgeist pada ketika itu, dan pemikiran semula dalam bentuk kini. Secara keseluruhan, ia memberikan kefahaman bentuk semasa yang wujud untuk pembinaan karya kontemporari, dan mengeksplorasi bentuk-bentuk baru pada era convergence ini.

Buku ini sesuai dibaca oleh mahasiswa seni, pengkaji dan peminat seni negara khususnya tentang Seniman Agung Negara. Buku ini juga ditujukan kepada semua yang prihatin terhadap sejarah perkembangan seni negara.

2.   Bapaku P. Ramlee (Nasir P. Ramlee)

Buku ini diterbitkan oleh MPH Publishing pada tahun 2007. Memang sudah ada beberapa buku yang ditulis mengenai P. Ramlee, tetapi inilah pertama kalinya kisah P. Ramlee ditulis sendiri oleh anak kandungnya Nasir. Secara bersahaja Nasir mengimbas kembali kehidupan sehariannya bersama bapanya. Melalui penceritaan Nasir, kita dapat melihat P. Ramlee, bukan saja sebagai seorang insan seni yang agung, tetapi dia juga seorang bapa yang bertanggungjawab ke atas semua anak-anaknya (P. Ramlee mempunyai ramai anak angkat).

Sebagai anak tunggal P. Ramlee, Nasir sangat-sangat menghargai bapanya kerana telah memelihara dan membesarkannya tanpa kehadiran seorang ibu. Buku ini mempamerkan bagaimana dia dibesarkan oleh seorang bapa tunggal sehinggalah dia melalui kehidupan bersama dua ibu tirinya, Noorizan dan Saloma.

3.   Membedah P. Ramlee (Daniyal Kadir)

Buku ini diterbitkan oleh Dubook Press pada tahun 2015. Daniyal Kadir, penulis buku terkini seniman Agung Tan Sri P.Ramlee adalah seorang penulis yang banyak mengkaji tentang riwayat filem-filem arahan P.Ramlee.

Walaupun beliau hanya mengambil filem-filem tertentu sahaja terbitan Malay Film Production, ia cukup menggambarkan bahawa Tan Sri P.Ramlee adalah sosok agung dalam persejarahan filem tanah air.

Ini bukanlah buku biografi atau kritikan filem seperti yang dinyatakan oleh pengarangnya di ruang rangsang sari “buku Membedah P.Ramlee ini bukan buku biografi atau pun ulasan teknikal filem. Namun ianya lebih kepada catatan-catatan pengalaman peribadi aku menonton filem-filem P.Ramlee. Apa yang aku nampak dan aku rasakan.”

4.   P. Ramlee: Irama Sanubari (Ahmad Fauzee)

Buku ini diterbitkan oleh AF Cendana Publications Sdn Bhd pada tahun 2015. Buku ini merupakan koleksi lirik lagu-lagu P. Ramlee keseluruhannya. Berbeza dengan buku-buku lirik P. Ramlee yang sedia ada di pasaran, buku ini tidak hanya memfokuskan kepada lagu-lagu popular P. Ramlee sahaja, tetapi merangkumi keseluruhan lagu ciptaan beliau, lagu ciptaan penggubah lain yang dinyanyikan beliau dan termasuk juga lagu-lagu beliau yang dinyanyikan oleh penyanyi lain. Pendek kata, ini ialah ‘kitab’ yang lengkap jika anda mahu meneliti lirik-lirik lagu P. Ramlee keseluruhannya.

5.    P. Ramlee: The Bright Star (James Harding & Ahmad Sarji)

Ensiklopedia pertama yang memuatkan sejarah kehidupan dan penglibatan seniman agung legenda P. Ramlee di dalam dunia seni. Buku ini mengandungi fakta tentang penglibatan P Ramlee dalam dunia seni dan latar belakang hidupnya sebelum berjaya mencipta nama sebagai seniman. Terdapat rujukan kepada lagu-lagu dan filem-filem yang telah dihasilkan. Juga menyentuh barisan penyanyi, pelakon, pengarah filem dan orang lain yang turut menyumbangkan bakat mereka kepada hasil karya P Ramlee.

Buku ini dihasilkan berdasarkan kajian yang disusunkan rapi daripada sumber asal yang didapati dari perpustakaan, syarikat perfileman, pernerbitan dan orang perseorangan. Buku ini menyingkap kisah dan sejarah seorang insan seni yang cukup berbakat yang telah menghasilkan pelbagai khazanah seni yang tak ternilai harganya. Ia membawa kita menelusuri daerah seni yang pernah beliau terokai dan mengembara ke dimensi kehidupannya di layar perak dan piring hitam yang melonjakkan nama beliau ke mercu kemasyhuran. Keringat seninya memperkenalkan karya-karya agung yang kaya dengan hiburan dan pengajaran.

6.     Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee (Abdullah Hussain)

Buku ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka dengan edisi baru diterbitkan pada tahun 2016. Pengarangnya, Sasterawan Negara Dato’ Abdullah Hussain, sebagai orang yang rapat dengan beliau (P. Ramlee), mengisahkan kepedihan dan penderitaan yang terpaksa dilaluinya untuk menempa kejayaan. Abdullah Hussain menceritakan peristiwa demi peristiwa dengan persembahan dan olahan yang menarik untuk tatapan pembaca.

7.     Sitora Harimau Jadian (P. Ramlee)

Buku terbitan Buku FIXI pada tahun 2012 ini merupakan filem yang dibukukan (novelisation) daripada sebuah filem seram P. Ramlee (yang dikatakan ‘hilang’), Sitora Harimau Jadian. Buku ini pernah diterbitkan oleh Angkatan Baru pada tahun 1965 setahun selepas filem tersebut ditayangkan di pawagam.

Berikut ialah rangsang sari yang terdapat pada buku tersebut:

“Penduduk Kampung Kiambang dicengkam oleh perasaan takut yang amat sangat kerana keganasan Sitora Harimau Jadian yang semakin menjadi-jadi. Sudah banyak orang yang menjadi mangsanya. Dr. Effendi yang datang untuk menolong orang kampung di situ pun akhirnya kena sumpah dan menjadi Anak Sitora lalu mengganas mengikut arahan Sitora yang sebenarnya…”

Mengundang bukan, rangsang sari tersebut?

Jika anda mengaku peminat filem-filem P. Ramlee, buku-buku dalam senarai di atas berada dalam koleksi anda. Jangan lupa dapatkannya di kedai-kedai buku, di platform jualan buku digital atau terus daripada penerbit. Apa salahnya, sempena ulangtahun kelahiran beliau hari ini, anda baca dan kenali P. Ramlee melalui buku pula.

Comments

comments