Shamsul Amin

Eksekutif Kandungan di Perbadanan Kota Buku. Editor MukaSurat.my.

Kepada penulis lakon layar, pencipta kandungan, juruanimasi atau sesiapa sahaja yang berkerja dengan naratif, kini anda boleh mula pasang angan-angan berkerja di Pixar memiliki Oscar di tangan. Laman pembelajaran interaktif atas talian, Khan Academy siap sedia membantu anda!
Ihsan gambar: PIXAR

Menurut laporan portal berita Tech Crunch, studio animasi milik Disney, Pixar telah berkerjasama dengan pembekal kandungan pendidikan atas talian, Khan Academy mencipta silibus pembelajaran seni bercerita (storytelling) di laman tersebut.

Kandungan pembelajaran tersebut, yang dinamakan sebagai “Pixar In A Box” malahan sudah pun memasukkan siri pembelajarannya di laman tersebut dan ditawarkan secara percuma kepada pengguna.

Pixar, sebagai studio animasi yang terkenal dengan gaya naratifnya yang baik dan bermutu, telah mencipta kandungan pembelajaran mengenai seni bercerita tersebut bersumberkan kepakaran daripada sutradara dan artis cerita Pixar sendiri, antara lain pengarah Up  dan Inside Out, Pete Docter, Mark Andrews (Brave), artis papan cerita Inside Out, Domee Shi dan juruanimasi Ratatouille, Sanjay Patel.

Pembelajaran tersebut, yang kini sudah tersedia untuk beberapa bahagian akan menyediakan pengenalan kepada seni bercerita yang turut membantu penciptaan elemen penting dalam sesebuah cerita seperti latar dan watak. Dari semasa ke semasa, beberapa segmen baru akan ditambah dalam pembelajaran tersebut sepanjang 2017 ini.

Kursus lain Pixar yang pernah ditawarkan di Khan Academy sebelum ini antara lain topik berkenaan kamera virtual, kesan visual dan bunyi serta animasi. Walau bagaimanapun, ini kali pertama Pixar memperkenalkan topik yang tidak terlalu teknikal dalam pembikinan filem.

 

*artikel ini dipetik dan diubahsuaikan daripada artikel Tech Crunch. Artikel asal boleh dibaca di sini. 

Comments

comments