Salah satu alternatif kepada keseronokan baca buku adalah dengan mendengar seseorang membacakan konten buku itu sendiri! Kontens masih tetap sama, penerbit masih tetap sama tetapi medium berubah. Selamat datang ke dunia baru!

Penerbit buku  mesti berfikir bagaimana untuk mencari kepelbagaian pasaran bagi buku kita dan bagaimana untuk memberi khidmat unik kepada pengakses kontens zaman moden.

audiobooks 2

Berdasarkan gaya hidup zaman moden, gajet menjadi teman setia manusia. Berdasarkan rajah, majoriti orang mengakses buku audio melalui gajet sedia ada. Bagaimana kita mahu bawa buku kita kepada mereka dalam pada mereka lebih akrab dengan gajet? Tukarlah kontens anda kepada buku yang boleh dimasukkan ke dalam gajet tersebut. Ada dua cara iaitu e-buku dan buku audio!

Kali ini saya tidak mahu menulis tentang e-buku, mari lihat lihat apa faedahnya beralih kepada buku audio.

Antara pengguna buku audio terbesar ialah:

  • Orang yang sibuk dan hanya sempat mendengar. Jika mereka boleh dengar radio atau muzik dalam kereta ketika dalam perjalanan ke pejabat, mengapa tidak jika mereka mendengar petikan-petikan dari buku audio. Saya suka mendengar audiobook tentang buku-buku ‘self-help’.
  • Orang-orang yang mempunyai masalah penglihatan. Di Malaysia sahaja kita ada kira-kira 60,000 orang yang didaftarkan memiliki kekurangan penglihatan.
  • Orang-orang yang pergi bercuti tetapi tidak mahu membawa buku-buku dan berat dan juga tidak mahu memenatkan mata membaca e-buku.

Sebenarnya ada banyak lagi golongan masyarakat yang mengakses buku audio selain daripada tiga golongan di atas.

Selain itu, mengakses buku audio juga banyak kelebihannya. Apakah kelebihan itu?

  1. Mampu memperkenalkan para pelajar kepada buku-buku yang memiliki tahap yang lebih tinggi daripada usia mereka. Ada pelajar mahu menerokai judul-judul yang lebih serius dan adakalanya buku-buku itu bertahap lebih tinggi daripada usia atau tahap pembelajaran mereka. Dengan adanya buku audio, pelajar-pelajar ini boleh mendengar buku audio dan mampu menyelami bait-bait kontens daripada judul-judul ini.

2.  Mengajar pelajar untuk menguasai kemahiran mendengar secara kritikal. Salah satu kelemahan para pelajar yang disebut dalam ujian-ujian lisan peringkat PT3 dan SPM adalah kemahiran mereka untuk mendengar soalan dan juga mendengar secara kritikal. Melalui pembelajaran melalui buku audio, pelajar akan terlatih untuk mendengar dengan lebih jelas dan lama-kelamaan akan terlatih dengan kemahiran mendengar yang baik.

3.  Ada kalanya, sesebuah buku itu ada banyak ungkapan-ungkapan suspens, humor atau misterius. Dengan adanya teknologi audiobook kini, pembaca audiobook boleh memindahkan elemen-elemen homur dan suspen itu dengan lebih berkesan dan meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada pendengar. Saya ada pengalaman mendengar audiobook dan membaca buku asalnya. Impak pemahaman saya berbeza kerana peminjam suara di audiobook itu mampu menimbulkan emosi dan semangat kepada saya berbanding saya membaca bukunya.

4.  Guru-guru di sekolah juga boleh menggunakan audiobook untuk memperkenalkan genre buku yang tidak pernah diendah oleh para pelajar sebelum ini. Kadangkala pelajar sekolah rendah lelaki lebih suka baca komik, jika ada audiobook dalam buku-buku novel kanak-kanak yang dibuat dengan baik, ia pasti akan menarik minat budak-budak lelaki ini untuk mendengar audiobook novel pula!

5.  Melalui audiobook, beberapa perbendaharaan kata baru juga mudah dikenalkan kepada pembaca. Selain itu, ada pembaca buku mengalami masalah menyebut beberapa perkataan sukar dalam teks atau perkataan yang sangat lokal. Dengan adanya audiobook, perbendaharaan kata ini mudah diperkenalkan dan sebutan nama-nama sukar juga boleh dikenali dengan mudah.

6.  Selain itu, audiobook juga boleh dibina dengan pelbagai kreativiti. Katakan sebuah novel itu mahu diperkenalkan kepada masyarakat tempatan, penerbit boleh mencari pengalihsuara tempatan yang ada dialek tempatan dan ini mendekatkan bahan audiobook itu dengan penggunanya.

7.  Audiobook juga sesuai kepada pelajar-pelajar peringkat asas yang gemar konsep ‘baca kuat’ kepada mereka. Selain itu, ia juga memudahkan pendengar untuk mendengar audiobook sebelum tidur di dalam bilik yang gelap.

8.  Menggalakkan aktiviti bersama dalam satu keluarga. jika seseorang itu membaca buku, ia akan terpisah dengan dunia nyata dan hanyut dalam dunia bukunya. Melalui audiobook, seluruh anggota keluarga boleh mendengar bersama-sama. Ini mampu mengeratkan perhubungan keluarga dan juga boleh dijadikan topik perbualan bersama dalam keluarga tersebut.

Comments

comments

Comments

  1. Teknologi yang menarik, mungkin ini mampu menarik lebih ramai golongan muda membaca buku, tapi dalam konsep audiobook, mereka mendengar buku dibacakan. Sekiranya konsep sebegini boleh diaplikasikan dalam pengajaran subjek disekolah, tentu lebih menarik.

Comments are closed.