Analisis oleh: Unit Penyelidikan Perbadanan Kota Buku

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menjalankan sebuah Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2014. Kajian ini amat dialu-alukan kerana dapat memberi petunjuk baru gelagat membaca rakyat Malaysia setiap dasawarsa yang berubah mengikut perubahan masa. Seperti mana dalam kajian-kajian tabiat pembacaan yang lalu, semua orang tidak kira sama ada mereka daripada penerbit sehinggalah kepada para pembuat dasar, jumlah bacaan rakyat Malaysia setahun sudah pasti antara maklumat yang mahu diketahui umum.

 

Kota Buku telah mengambil inisiatif untuk melakukan analisis awal daripada hasil Kajian Interim Membaca Rakyat Malaysia 2014 oleh Perpustakaan Negara Malaysia ini.  Analisis awal ini diharapkan menjadi penanda kepada industri buku untuk dijadikan rujukan yang berguna bagi mereka.

Kali terakhir Kajian Tabiat Membaca rakyat Malaysia seumpama ini pernah dilakukan pada tahun 2005, kita mendapati rakyat Malaysia hanya membaca sebanyak dua buah buku setahun! Angka ini telah menimbulkan kontroversi dalam masyarakat. Pelbagai pihak mengatakan malang rakyat Malaysia tidak membaca kerana membaca dua buku dilihat seolah-olah tidak membaca.

Namun begitu, jumlah dua buku ini sebenarnya lebih tinggi jika dibandingkan dengan satu lagi kajian Tabiat Membaca Rakyat Malaysia yang lebih awal pada tahun 1984 yang diketuai oleh Allahyarham Prof Atan Long. Dalam kajian tersebut, pengkaji telah menunjukkan bahawa rakyat Malaysia hanya membaca dua muka surat sahaja setahun!

Persoalan yang lebih penting selepas ini ialah bukan berapa banyak buku yang dibaca. Kajian pada zaman kini harus berupaya untuk mengkaji keseluruhan profil dan tabiat pembacaan rakyat. Adakah membaca lebih banyak buku satu petanda yang lebih baik atau tabiat mengakses kandungan telah berubah dan siapakah golongan yang gemar membaca ini?

Jumlah Buku Yang Dibaca

 Di negara ini kadar celik huruf orang dewasa yang berumur 15 tahun ke atas  sebelum ini sudah sedia tinggi iaitu seramai 92.3% daripada jumlah keseluruhan rakyat Malaysia pada 2005 dan kini meningkat kepada 98% pada tahun 2014.

Pada tahun 2005, ramai pihak mengeluh sebaik mengetahui data yang tersebut kerana beranggapan masih ada 8% rakyat yang tidak celik huruf walhal pada ketika itu kadar celik huruf di Malaysia merupakan antara yang tertinggi di dunia. Perbandingan kajian tabiat membaca ini akan mengukur kadar celik huruf juga kerana ia membolehkan rakyat yang celik huruf untuk mengakses bahan bacaan dengan lebih banyak.

Sembilan tahun selepas kajian awal tadi, kajian interim oleh Perpustakaan Negara Malaysia yang baru ini telah mendapati bahawa tabiat membaca rakyat Malaysia sebenarnya telah meningkat. Pada tahun 2014, rakyat Malaysia dikatakan membaca secara puratanya sebanyak 15 buah buku setahun!

Jumlah buku yang dibaca ini merupakan peningkatan yang mendadak sebanyak 750% berbanding kajian pada tahun 2005. Kenapa angka ini naik mendadak? Adakah rakyat Malaysia semakin gemar membaca? Apa bahan bacaan mereka?

Namun begitu angka ini dianggap memberangsangkan kerana 64% daripada responden yang ditemu ramah dalam kajian kali ini merupakan golongan yang bakal memimpin negara ini pada masa depan iaitu golongan pembaca yang berusia 36 tahun dan ke bawah. Kesimpulan yang boleh dilihat di sini  menunjukkan bahawa golongan muda di Malaysia memang mempunyai minat membaca yang tinggi.

Tujuan Membaca

Rakyat Malaysia semakin gemar membaca. Namun begitu, apakah tujuan mereka membaca? Daripada laporan Kajian Interim Tabiat Membaca Rakyat Malaysia, 2014 menunjukkan bahawa 80% responden membaca untuk menambah ilmu pengetahuan manakala 64% responden pula menganggap aktiviti membaca adalah hobi masa lapang mereka. Rakyat Malaysia juga membaca kerana ia merupakan sumber hiburan, motivasi, memenuhi tuntutan akademik, menenangkan fikiran dan akhirnya membaca kerana ingin memajukan kerjaya mereka.

Apabila ditanya apakah faktor yang mempengaruhi minat membaca mereka, separuh daripada rakyat Malaysia menjelaskan bahawa aktiviti membaca memang telah menjadi amalan dan minat mereka sejak daripada kanak-kanak lagi. Ini menunjukkan bahawa kempen-kempen membaca yang digalakkan di sekolah-sekolah rendah selama ini membuahkan amalan yang dibawa oleh mereka sehingga dewasa.

Selain minat dan amalan, mereka juga membaca kerana ingin mengetahui isu-isu semasa dan juga kerana mudahnya memperoleh bahan-bahan bacaan di negara ini. Buku dan majalah mudah ditemui dan dibeli hampir di mana-mana lokasi di negara ini. Akses yang mudah menggerakkan minat untuk mengakses bahan-bahan bacaan ini.

Medium Pembacaan

Apabila ditanya apakah jenis bahan-bahan bacaan kegemaran mereka, majoriti pembaca di Malaysia membaca majalah dan surat khabar iaitu masing-masing seramai 63% dan 61% orang. Bagi para pelajar, 55% daripada mereka membaca buku akademik dan ilmiah. Salah satu penemuan yang menarik di sini ialah 46% responden mendedahkan bahawa mereka turut menganggap media baru sebagai bahan bacaan mereka iaitu Facebook, Blog dan Twitter. Ini menjadi satu trend baru pembacaan. Kajian harus mengkaji berapakah jumlah jam bahan-bahan ini diakses selain daripada mengira kuantiti buku yang dibaca.

Dari segi bentuk media yang dibaca, lebih daripada separuh pembaca membaca kedua–dua medium iaitu bahan bacaan bercetak dan juga bahan bacaan elektronik. Selain itu, 38% hanya membaca bahan-bahan bercetak manakala hanya 6% pembaca sahaja yang membaca medium elektronik seperti e-buku, internet, buku audio dan seumpamanya. Angka ini walaupun kecil tetapi ia signifikan kerana ia menandakan permulaan kepada tabiat pembacaan zaman baru.

Pembaca Tegar

Satu hal menarik yang perlu diambil maklum daripada hasil kajian interim ini mendapati 6% daripada rakyat Malaysia sebenarnya boleh dipanggil ‘ulat buku’. Mereka ini boleh dikategorikan sebagai pembaca tegar kerana mereka membaca lebih daripada 48 naskhah buku setahun!

Bandar dan Luar Bandar

Daripada pecahan bandar dan luar bandar, majoriti pembaca adalah dari luar bandar. Daripada jumlah pembaca luar bandar ini, angka tertinggi iaitu sebanyak 10% daripada mereka membaca antara 13 hingga 24 naskhah setahun. Jumlah pembaca yang membaca lebih daripada 48 naskhah setahun juga kebanyakannya terdiri daripada pembaca luar bandar berbanding pembaca di bandar.

Trend ini menunjukkan bahawa penduduk lebih suka mendampingi bahan bacaan kerana perbezaan cara hidup dan rutin seharian. Penduduk di bandar selain sibuk di tempat kerja, mereka juga banyak menghabiskan masa di jalan raya yang bukan merupakan tempat yang selesa untuk membaca.

Trend ini menyamai trend peruncitan buku apabila banyak kedai-kedai buku baru yang dibuka adalah terdiri daripada kedai-kedai buku di bandar-bandar kedua di seluruh negara dan bukan semata-mata tertumpu di Lembah Kelang, Johor Bahru dan Pulau Pinang semata-mata.

Perbezaan Jantina

Kajian tabiat mengikut jantina pula menunjukkan trend yang menarik iaitu wanita membaca lebih banyak buku daripada lelaki dengan kira-kira lebih 60% pembaca adalah terdiri daripada golongan wanita. Selain itu, wanita yang membaca lebih daripada 48 naskhah buku setahun juga lebih tinggi peratusannya iaitu lebih sekali ganda banyak daripada pembaca lelaki.

Profil Kerjaya

Berdasarkan profil kerjaya utama pula, jika diambil persampelan daripada kalangan kakitangan kerajaan, majoritinya membaca 1 hingga 12 naskhah setahun. Trend yang sama juga berlaku kepada pekerja swasta dan pelajar sekolah.

Pelajar IPT merupakan golongan pembaca yang dianggap mengakses kandungan secara aktif kerana tuntutan pengajian mereka. Namun begitu, angka kajian menunjukkan golongan ini tidak membaca banyak buku dan tidak mencapai peratus yang memberangsangkan iaitu hanya 76% daripada mereka membaca 1 hingga 12 naskhah sahaja setahun. Hanya 8% yang lain sahaja yang membaca lebih daripada 48 naskhah setahun.

Jumlah Waktu Membaca

Jumlah waktu membaca perlu menjadi salah satu fokus utama kajian zaman moden ini kerana pembaca zaman moden mengakses bahan bacaan bukan sahaja melalui bahan bacaan bercetak, mereka juga mengakses bahan-bahan bacan elektronik. Mereka yang sentiasa ada telefon pintar dalam tangan mereka diluhat mengakses kontens secara berterusan sepanjang hari.

Kajian telah melihat jumlah masa yang diperuntukkan oleh rakyat Malaysia untuk membaca. Kira-kira 39% daripada rakyat Malaysia menggunakan kurang daripada 3 jam seminggu untuk membaca dan hanya 8% sahaja yang membaca lebih daripada 14 jam seminggu. Angka ini amat rendah. Faktor ini juga disebabkan oleh kemajuan pesat dalam bidang hiburan lain seperti muzik dan perkhidmatan televisyen kabel dan sebagainya.

Sumber Mendapat Bahan Bacaan

Daripada kajian, rakyat Malaysia ditanya tentang sumber bahan-bahan bacaan mereka. 39% daripada rakyat Malaysia mengaku bahawa mereka mendapatkan bahan-bahan bacaan mereka darip kedai buku, 27% yang lain pula mendapatkannya dari perpustakaan manakala 12% lagi daripada sumber-sumber internet.

Walaupun peratusan tabiat rakyat mengakses sumber bahan bacaan mereka dari internet itu masih kecil, ia telah mula menunjukan peningkatan dan dianggap sebagai satu penemuan baru,

Lain-lain pembaca juga  mendapatkan sumber bahan bacaan mereka daripada peminjaman bahan bacaan daripada rakan dan saudara-mara atau membelinya di kedai-kedai buku atas talian yang bersedia menghantarnya sehingga ke pintu rumah pelanggan.

Langkah Seterusnya?

Hasil kajian ini, boleh sahaja menjadi suatu kumpulan data yang membosankan untuk dibaca dan ditelaah satu persatu. Ia juga boleh sahaja menjadi suatu maklumat untuk kita berfikir sejenak akan perkembangan pembacan rakyat kita.

Walau bagaimanapun, penemuan ini seharusnya menjadi batu loncatan bagi  pemegang taruh industri ini untuk mengatur strategi bagaimana mereka mahu menentukan arah tujuan perniagaan mereka berdasarkan gelagat pembaca, ia juga boleh meneruskan usaha niat murni mereka untuk terus membuat rakyat Malaysia lebih bijaksana melalui penerbitan karya-karya berkualiti, menyuburkan budaya Ilmu dan ke arah mencipta ilmu pengetahuan yang baharu untuk manfaat sejagat.

Persoalan sama ada rakyat Malaysia makin cerdik atau tidak walaupun berlaku peningkatan jumlah bacaan pertahun perlu dijawab dan tidak boleh terhenti sekadar mengetahui angka-angka peningkatan jumlah buku yang di baca. Jadi, adakah rakyat Malaysia makin cerdik atau tidak?

 

*Data-data hasil kajian ini diumumkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Unit Penyelidikan Kota Buku telah diberi kebenaran untuk menganalisis dan menerbitkannya.

Comments

comments