Shamsul Amin

Eksekutif Kandungan di Perbadanan Kota Buku. Editor MukaSurat.my.

PERBADANAN Kota Buku telah mengumumkan pemenang hadiah utama edisi kedua pertandingan tahunan Page to Pitch (P2P) Media 360 iaitu Mohana Gill bagi Kategori 1: Idea kepada Buku manakala Abdul Nazir bin Zarith Fadzilah dan Nurul Aizam binti Mat Nasir diumumkan sebagai pemenang bersama bagi Kategori 2: Idea kepada Media Digital.

Mohana Gill, yang juga penulis yang memenangi pelbagai anugerah telah memenangi kategori pertama bagi ideanya menerbitkan buku masakan kanak-kanak yang mengandungi 8 bahagian, Hayley’s Happylicious Series yang memfokuskan pengenalan kepada kanak-kanak pemakanan sihat. Siri ini memaparkan Hayley dan Zac bertemu rakan-rakan baru dan lama berkongsi dengan mereka makanan yang berkhasiat dan memberi penerangan tentang kebaikan kesihatan di samping menghidangkan cerita yang mengujakan. Sebagai pemenang hadiah utama, Mohana memenangi RM7000 tunai daripada Kota Buku selain peluang pemasaran karya di peringkat antarabangsa.

Di samping itu, P2P360 kali ini juga menyaksikan kali pertama terdapat pemenang bersama bagi satu hadiah. Abdul Nazir, yang juga pengendali kedai buku ‘Tintabudi’ di Ipoh, Perak memenangi tempat pertama bagi bagi kategori kedua bagi ideanya kepada dokumentari feature budaya membaca di Malaysia, yang mendalami bagaimana pengaruh latar belakang seseorang mempengaruhi pilihan subjek, berdasarkan pamerannya pada tahun 2016 yang berjudul A Story of Books: Historical Overview of Modern Malaysian Literature di Kuala Lumpur Literary Festival.

Dalam masa yang sama, Nurul Aizam juga turut memenangi tempat pertama bagi kategori kedua dengan ideanya, LiteraCity, sebuah fragmen sastera yang mengandungi esei, temu bual, esei foto berkenaan sastera Kuala Lumpur. Nurul, seorang editor rumah penerbitan alternatif tempatan, Moka Mocha Ink juga menyatakan ideanya memberikan gambaran tentang pembangunan dan transisi kota menerusi sastera. Kedua-dua pemenang akan menerima gabungan hadiah wang tunai RM 7000 dan RM 3000 daripada Kota Buku dan berpeluang untuk didanai oleh permodalan swasta untuk membangunkan idea mereka ke hadapan.

Pemenang tempat kedua dan ketiga bagi Kategori 1 dihadiahkan kepada Zamri Mohamad dengan ideanya menggunakan gamifikasi bagi bukunya, Mula Bisnes RM60 untuk memulakan interaksi dengan pembacanya dan Maisarah Mohamad dengan ideanya, Mboo, siri animasi 3D berkenaan kehidupan haiwan humanoid. Zamri membawa pulang RM3000 manakala Maisarah membawa pulang RM1000. Pemenang tempat ketiga bagi Kategori 2, yang membawa pulang RM1000 dimenangi oleh Nazihah Ab Mumin dengan idea siri buku kanak-kanaknya, ‘Baba Batik’, yang mana beliau bercadang untuk mengembangkannya kepada media digital sebagai siri animasi.

Tahun ini, Kota Buku menerima lebih daripada 150 penyertaan bagi pertandingan tersebut yang disenarai pendek menjadi 10 bagi setiap kategori. Kesemua finalis diundang untuk membentangkan idea mereka di hadapan juri daripada Buku FIXI, Legacy Publishing, Pelangi Professional Publishing, Kota Buku, PTS Media Group, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), MEASAT Broadcast Network (Astro), Ata Plus, FINAS, Dewan Bahasa & Pustaka dan Unique Inspiration Limited. Pemenang-pemenang dipilih berdasarkan idea, konsep, keaslian, daya maju, kebolehpasaran, matlamat dan pembentangan.

Diadakan bersempena dengan edisi ke-10 Pusat Dagangan Hak Cipta Kuala Lumpur (KLTCC), pertandingan ini bermatlamat untuk membuka peluang dan menyediakan platform unik kepada calon pengarang untuk menerbitkan idea mereka dan membina idea penulis mapan kepada kandungan media digital.

Comments

comments