SAGE Publications tandatangani MOA bersama Kota Buku

KUALA LUMPUR: Penerbit buku akademik terkemuka dunia yang berpangkalan di Amerika Syarikat, SAGE Publications telah menandatangani perjanjian persefahaman (MOA) bersama Perbadanan Kota Buku (PKB) bagi memasarkan buku-buku mereka di pasaran Asia Tenggara.

Perjanjian tersebut ditandatangani dalam satu majlis menandatangani MOA yang diadakan bersempena Pusat Dagangan Hak Cipta Kuala Lumpur (KLTCC) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

SAGE Publications telah melantik PKB sebagai ejen hak cipta bagi semua buku terbitannya  bagi pasaran Asia Tenggara dan akan memasarkan hak-hak terjemahan, adaptasi, perlesenan dan cetakan semula.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Rosalia Da Garcia, Timbalan Pengarah Urusan SAGE Publications manakala PKB diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Roslia berkata, diharapkan kerjasama ini dapat membantu SAGE Publications untuk menembusi pasaran buku Asia Tenggara. “Kami berbesar hati sekali dapat melaksanakan kerjasama ini. Kami percaya dengan pengaruh PKB, hala tuju kerjasama ini akan lebih jelas untuk dilaksanakan.”

Sementara itu, menurut Sayed Munawar  pihaknya juga berbangga kerana menjadi pilihan SAGE Publications sebagai ejen hak cipta bagi pasaran rantau ini. “SAGE Publications memiliki koleksi penerbitan berkualiti terutama rangkaian buku-buku akademik dalam bidang sains sosial. Oleh hal yang demikian, kami berharap kerjasama ini akan membuka ruang untuk meluaskan budaya ilmu yang berkualiti di rantau ini.”

Comments

comments