(Artikel ini dimuatnaikkan semula daripada blog Hasri Hasan. Artikel asal di sini)

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (PBAKL) yang berlangsung dari 28hb April hingga 7hb Mei 2017 yang lalu telah pun melabuhkan tirainya. Ia merupakan acara perbukuan yang paling penting dalam kalendar perbukuan Malaysia. Ramai orang buku menggelarnya ‘Hari Raya Orang Buku’ dan pelbagai acara sampingan yang berlaku di sepanjang 10 hari acara berlangsung.


Antara acara sampingan utama yang berlangsung termasuklah acara hak cipta antarabangsa iaitu Kuala Lumpur Trade & Copyright Centre (KLTCC), acara membida idea kepada penerbit atau platform digital iaitu P2P 360, acara Perhimpunan 1000 penulis, Bacaworld – Gaya Hidup Digital, Anugerah Buku Negara dan banyak pelancaran-pelancaran buku-buku baru yang berlaku hampir setiap hari sepanjang 10 hari berlangsung.

Banyak pemerhatian menarik yang dapat dilihat dan dirasai sama ada yang menarik hati, kontroversi, suka, duka dan lucu yang boleh dilihat sepanjang pesta ini berlangsung. Saya hanya mahu senaraikan 10 topik menarik yang mahu dikongsi bersama:

1) Penerbit yang dikatakan Indie sebenarnya bukanlah Penerbit Indie. 

Siapa yang mula-mula beri istilah ‘indie’ ini?

Di peringkat global, terdapat garis halus antara istilah ‘self-published author’ dan ‘Independent Publishers’. Saya pernah tanya salah seorang petugas di gerai yang dikatakan ‘indie’.

“Tahukah apa itu Indie?”

Mereka jawab, “Entah.”

Kebiasaannya, dunia perbukuan di Barat, siapa saja penerbit yang tidak bergabung dalam satu kumpulan penerbitan besar atau gergasi dipanggil ‘independent’ atau bebas. Seorang penulis yang ‘self-publish’ mahu memasarkan buku atau buku-bukunya masuk ke pasar runcit akan menubuhkan syarikat dan ini juga dikatakan ‘penerbit independent’ atau ‘small press

Kumpulan penerbit di Malaysia yang orang-orang panggil indie ini bukan small press lagi. Mereka malah telah bergabung menjadi kelompok yang lebih besar (contoh Penaklukan Roman x Selut dan Jelajah Lejen Fixi) dan malah pendapatan mereka jauh lebih tinggi di PBAKL kali ini daripada sesetengah penerbit biasa. Ada daripada mereka melancarkan buku secara besar-besaran dan sangat mainstream dengan menjemput para menteri untuk merasmikannya.

Saya lebih melihat penerbit-penerbit sebegini di Malaysia ialah kumpulan penerbit yang mahu lari dari klise atau mahu mengasingkan diri daripada cara penerbitan konvensional di Malaysia. Mereka mahu dilihat cool dan muda. Mereka mahu lari daripada acuan DBP, ITBM, PTS, Karangkraf, Pelangi, Sasbadi dan sebagainya.

Saya lebih selesa menggelar mereka ‘Penerbit Generasi Baru

Keunggulan jualan mereka di pesta-pesta buku memuncak ketika zaman baucar buku diberi kepada pelajar-pelajar pengajian tinggi beberapa tahun lalu. Buku-buku yang diterbitkan oleh mereka memenuhi aspirasi dan kehendak pembaca muda zaman kini. Waktu itu jualan buku melalui baucar di PBAKL dan mana-mana acara buku lain sangat lumayan. Maka wujud beberapa nama ‘boss’ yang bergerak pantas membesarkan empayar masing-masing dan mengukuhkan jenama masing-masing. Ada juga yang diberi kepercayaan oleh MyCreative Fund untuk mengembangkan bisnes masing-masing.

Tahun ini di PBAKL, jualan mereka masih bagus malah lebih bagus daripada sesetengah penerbit veteran kerana mereka sudah ada base pembaca sendiri namun zaman mengharapkan baucar buku yang sudah bertukar menjadi kad debit sudah berlalu. Namun jualan mereka cukup bagus!

2) Jumlah pengunjung ke PBAKL jatuh

Saban tahun penganjur akan mengira jumlah pengunjung yang hadir. Tahun ini jumlah pengunjung masih tetap dikira. Ini akan memberi indikasi kepada penganjur tentang jumlah pengunjung acara mereka. Nampaknya angka jumlah yang dikongsi oleh Sdr Arief Hakim (orang kuat MABOPA) untuk PBAKL tahun ini mencatatkan penurunan daripada 2.2 juta pengunjung tahun lalu di MAEPS dan 2.7 juta pada PBAKL di PWTC tahun 2015.

Pada tahun ini, PBAKL hanya mencatat seramai 1.8 juta pengunjung.

Bagaimana dengan trend ini? Ada penerbit mengeluh kerana inilah indikasi kepada ‘musim salji’ industri buku yang sering diperkatakan mereka. Saya melihat bahawa ini adalah angka yang bagus. Jumlah pembaca memang meningkat, malah diberitakan melalui Kajian Tabiat Membaca 2014 oleh PNM bahawa rakyat Malaysia membaca 15 buah buku setahun!

BACA: Rakyat Malaysia baca 15 buku setahun: makin cerdik atau tidak?

Jumlah pengunjung ke PBAKL berkurang kerana di Malaysia ini sudah boleh dikatakan berlaku kebanjiran pesta-pesta buku yang banyak di sana-sini saban bulan dan ada yang saban minggu dengan pelbagai nama seperti jualan lelong buku, pesta buku negeri, pesta buku Islam, Bookfest dan sebagainya. Hal ini ditambah pula dengan tumbuhnya seperti cendawan pesta buku atas talian, platform e-commerce yang jual buku secara atas talian 24 jam dan 7 hari seminggu. Kini wujud juga golongan personal shopper dan agen-agen dropship buku yang semakin ramai.

Dua tiga tahun yang lalu faktor-faktor tambahan ini semua belum wujud atau belum subur. Ramai pembeli memang menanti-nanti PBAKL yang datang setahun sekali.

Insya-Allah selepas PBAKL ini, pesta buku online serta-merta bermula. MABOPA juga akan buat satu lagi pesta buku bulan Julai nanti. Secara logiknya pastilah jumlah pengunjung setidak-tidaknya akan berpecah dan pergi ke mana-mana acara buku yang lebih dekat atau lebih sesuai dengan jadual mereka.

3) Syarikat Jualan Langsung yang hidup dalam ekologi pesta-pesta buku

Ejen jualan langsung yang menjual buku dalam program pakej pembelajaran yang mereka jual memang mempunyai cara dan taktik jualan yang berbeza dengan penerbit buku biasa. Taktik mereka memang lebih agresif. Setiap ejen menjual untuk mendapat komisen. Setiap penjual jualan langsung ini melihat pengunjung PBAKL yang bersesak-sesak ini merupakan pengunjung yang mudah. Mereka berharap golongan ini akan mudah termakan kempen jualan mereka.

Rata-rata pengunjung PBAKL adalah golongan pembaca dan menghargai ilmu, inilah masanya syarikat-syarikat ini memujuk golongan yang cintakan ilmu ini agar turut membeli produk-produk mereka.

Syarikat-syarikat jualan langsung ini memang telah wujud dalam PBAKL semenjak tahun 1980-an lagi. Mereka juga menggunakan taktik yang sama dan berulang-ulang serta paksa-memaksa. Kini terpulang kepada pembeli untuk menangani mereka.

Selain jurujual syarikat jualan langsung ini, ada juga petugas kepada penerbit-penerbit buku lain melakukan promosi agresif menarik pembeli tetapi tidak pula ada yang membuat aduan terhadap mereka? Namanya juga pesta. Ada promosi dan juga ada kemeriahannya.

4) Kegemilangan (kebanjiran) buku-buku Islami

Penerbit-penerbit buku-buku keagamaan dan Islami semakin besar, berpengaruh dan banyak di PBAKL. Berdasarkan pemerhatian saya yang telah menghadiri pesta-pesta buku sejak daripada zaman di Changkat Pavilion, segmen penerbitan buku-buku sebegini membesar dari tahun ke tahun.

Jumlah pembeli buku-buku mereka juga semakin ramai dan datang menghadiri PBAKL. Ada beberapa pengunjung dari luar bandar apabila ditanya sebab datang jauh ke PBAKL kerana menurut mereka di PBAKL dan juga Pesta Buku Islam Putrajaya merupakan tempat untuk mendapat pilihan kitab-kitab atau buku-buku keagamaan yang banyak bagi mereka.

Terdapat juga penerbit buku-buku keagamaan generasi baru yang mempelopori nama-nama ‘indie’ untuk dekat dengan pembaca muda. Indie Hijrah dan Tarbiah Sentap antaranya menjadi semakin besar dan banyak pengaruh manakala penerbit buku-buku Islami kanak-kanak seperti ‘Ana Muslim’ sudah mulai bergerak ke arah ‘merchadising’ baju-baju Islami dan juga bahan-bahan ‘spin-off’ lain.

Mungkin untuk PBAKL edisi akan datang, penganjur boleh mencipta dewan-dewan khas bertema seperti Islamic Hall, Children Hall seperti mana yang dilakukan oleh penganjur-penganjur pesta buku antarabangsa yang lain.

5) Penerbit ilmiah mengalami kejatuhan teruk dan nasib buku Fattah Amin

Beberapa penerbit yang menerbitkan buku ilmiah konvensional mengalami banyak kejatuhan tahun ini. Mungkin sebelum ini banyak pembelian dilakukan oleh pihak perpustakaan. Apabila tahun ini tiada bajet untuk pembelian buku lagi, secara tidak langsung buku-buku ilmiah berkurangan.

Pada masa yang sama, buku-buku katagori lain semakin meningkat dan popular. Buku-buku yang dikaitkan dengan selebriti seperti Fattah Amin dan kumpulan muzik Search mendapat tempat di kalangan pengunjung PBAKL. Jangan marah buku Fattah Amin kerana beliau menulis buku premium. Buku ini merupakan hadiah yang dibeli oleh peminat untuk idola mereka. Tiada yang salah.

Kategor-kategori lain yang popular  di PBAKL ialah buku-buku agama, buku generasi muda, novel-novel cinta dan akhirnya komik-komik dalam bahasa Melayu.

Kebanyakan penerbit ilmiah seperti penerbit-penerbit universiti dan DBP merasakan bahawa perubahan kepada judul-judul yang diterbitkan mungkin akan dapat mengembalikan kegemilangan jualan mereka suatu masa dulu. Salah satu cara terbaik dengan menerbitkan banyak buku teks kuliah di universiti masing-masing yang pasti diperlukan oleh pelajar-pelajar universiti.

6) Elemen digital semakin meresap

Tidak boleh elak, kita semua berada di zaman digital. Zaman di mana telefon pintar melekat di tangan masing-masing. Secara tidak langsung, penerbit yang menerbitkan kontens juga harus bersedia menyediakan kontens dalam bentuk digital selain daripada kontens dalam bentuk buku bercetak.

Baru-baru ini ada statistik menunjukkan bahawa pembaca masih suka membaca buku bercetak berbanding buku digital. Ramai penerbit bersorak-sorak gembira kerana buku bercetak kembali popular. Namun kita harus sedar hakikat zaman tidak pernah statik. Satu hal yang konsisten adalah perubahan.

Golongan pembaca ‘digital natives’ semakin bertambah dan mereka sudah ada yang mempunyai kuasa beli sendiri. Penerbit mesti mula bersedia ke arah digital.

Penganjur PBAKL sedar hal ini dan mewujudkan segmen Bacaworld pada hujung minggu kedua PBAKL. Hal ini disambut baik. Elemen pameran harus ditambah dengan lebih jelas daripada pelbagai penyedia kontens. Segmen BuzzTalk sangat bermanfaat. Banyak perkongsian baru tentang dunia digital dan penyampaian kontens digital dikongsi dan banyak benda baru dipelajari. Semoga ruang ini akan terus mengukuh dan memberi isyarat jelas kepada pempamer-pempamer tradisional bahawa mereka perlu memberi perhatian kepada segmen ini.

Salah satu elemen digital yang mulai meresap ke dalam PBAKL apabila wujud aplikasi “PBAKL” yang banyak membantu generasi muda memperoleh khidmat yang berguna kepada mereka seperti pencarian penerbit dalam PWTC, khidmat lokar, khidmat kereta sewa guna seperti Grab, khidmat penjual buku premium serta khidmat beli makanan untuk petugas. Aplikasi ini sudah pastinya akan ditambah baik agar pengalaman hadir ke PBAKL lebih menarik.

7) Penulis-penulis pelbagai zaman dan genre masih belum dapat duduk dalam satu majlis

Salah satu usaha murni penganjur PBAKL untuk menyatukan penulis-penulis di Malaysia ialah dengan menganjurkan perhimpunan 1000 penulis. Penganjuran ini dilakukan ketika PBAKL berlangsung dan diharapkan ia akan disertai oleh penulis-penulis seluruh Malaysia.

Ia merupakan satu platform yang bagus kerana penulis yang bersatu akan menghasilkan satu kuasa berbincang yang lebih kuat di pihak penulis. Ramai penulis hadir dan banyak juga nama-nama besar dan yang sedang meningkat naik hadir di perhimpunan. Suatu yang tidak kelihatan ialah golongan penulis lama dan yang sudah ‘established’ untuk hadir di perhimpunan ini.

Kita semua sedia maklum penulis-penulis juga mempunyai kumpulan dan genre penulisan yang berbeza tetapi lebih baik jika dalam satu hari semua penulis daripada para Sasterawan Negara sehinggalah penulis baru dapat duduk bersama, berbincang, bertukar pendapat dan beresolusi bersama-sama. Hasil daripada kesatuan penulis-penulis yang kuat sudah pasti memberi impak yang berbeza kepada pembuat dasar dan juga pihak-pihak yang berkaitan.

8) Dana yang semakin menyusut di perpustakaan

Masalah ini mula muncul semenjak dua tahun lalu lagi apabila pembelian buku-buku semakin kurang daripada perpustakaan-perpustakaan sama ada perpustakaan awam ataupun perpustakaan swasta. Pihak yang merasakan bahang kepada masalah ini adalah golongan pengedar yang membekalkan buku-buku ke perpustakaan. Banyak dialog telah berlaku dan juga cadangan-cadangan telah dikemukakan ke peringkat atasan. Namun begitu tidak banyak peruntukan yang turun kepada perpustakaan tahun demi tahun.

Beberapa penerbit multinasional besar sudah mulai meninggalkan pasaran perpustakaan Malaysia manakala pihak perpustakaan pula mulai beralih kepada pembelian bahan-bahan digital berbanding buku-buku fizikal. Hal ini juga berlaku kerana masalah ruang yang terhad di perpustakaan yang memaksa mereka menggunakan peruntukan pembelian yang terhad kepada pembelian bahan-bahan bacaan dan rujukan atas talian.

Kehadiran para pustakawan di PBAKL semakin menurun. Suasana pemilihan dan pembelian buku-buku secara pukal oleh perpustakaan tidak semeriah dahulu. Ada sesetengah pustakawan datang sekadar untuk membaharuhi ilmu pengetahuan tentang buku-buku baru yang sudah berada di pasaran dan membawa balik katalog-katalog dengan harapan apabila telah ada peruntukan, buku-buku baru dalam katalog itu boleh dibeli.

9) Anugerah Buku Negara yang perlukan suntikan autoriti

Suatu trend manarik di Malaysia apabila tiadanya anugerah berprestij bagi industri buku. Banyak industri lain telah ada anugerah masing-masing termasuklah industri hiburan dan lain-lain. Populariti dan pengiktirafan kemenangan adalah sesuatu yang diharapkan oleh penulis, penerbit dan para pemain industri di negara ini.

Sehubungan dengan itu, Yayasan Pembangunan Buku Negara telah mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Anugerah Buku Negara. Anugerah yang diwujudkan ini mengisi kelompangan yang berlaku tadi. Banyak kategori telah diwujudkan untuk memberi peluang kepada seramai mungkin dalam kalangan pemain industri untuk diberi pengiktirafan terhadap karya mereka.

Satu perkara yang diperkatakan bahawa anugerah ini bagus diadakan tetapi ia memerlukan senarai panel juri, penilai dan kriteria yang lebih berwibawa agar keputusan anugerah ini diakui dan menjadi lebih pretij sesuai dengan namanya sebagai Anugerah Buku Negara.

Adalah diharapkan bagi anugerah-anugerah sebegini pada masa depan agar ia lebih diperkemas dan melibatkan banyak pihak-pihak yang berautoriti dan memberi nilai yang sebenar kepada nama anugerah itu.

10) Elemen antarabangsa yang semakin mengecil

Pada suatu masa, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pernah memiliki dewan yang didedikasikan khas untuk penerbit-penerbit luar negara (antarabangsa). Banyak penerbit-penerbit besar multinasional berebut -rebut tapak sesama sendiri dan ada yang menguasai sehingga 20 lot reruai di PWTC pada suatu ketika. Pada masa itu pesta buku amat kelihatan elemen keantarabangsaannya dan banyak buku-buku baru dari luar negara yang dipamerkan sepanjang PBAKL.

Banyak faktor yang menyebabkan penerbit-penerbit antarabangsa ini semua semakin meninggalkan PBAKL. Antara faktor utama ialah kurangnya peruntukan pembelian daripada perpustakaan untuk buku-buku baru. Faktor-faktor lain ialah kebangkitan penerbit-penerbit tempatan dan pembaca-pembaca tempatan  semakin meminati buku-buku tempatan.

Kejatuhan nilai mata wang Ringgit baru-baru ini juga menyebabkan buku-buku dari luar negara yang dibawa oleh penerbit-penerbit antarabangsa ini semakin mahal dan ada yang melewati kemampuan pembeli tempatan untuk membeli buku-buku antarabangsa yang mahal.

Selain itu, demografi pengunjung PBAKL sebenarnya lebih ramai (majoriti) dalam kalangan pembaca Melayu. Pembaca-pembaca dari bangsa lain yang gemar membaca buku luar negara sebenarnya tidak ramai yang hadir ke PBAKL.

Ada pesta-pesta altenatif lain seperti MPH Book Fair, Bookfest oleh Popular dan acara Big Bad Wolf. Di luar PBAKL, ada beberapa pihak telah memperkenalkan pesta buku-buku luar negara secara lelong seperti Big Bad Wolf dan ini menyebabkan pembaca buku-buku luar negara telah ada tempat untuk mencari buku-buku yang lebih murah bagi mereka.

Comments

comments