Shamsul Amin

Eksekutif Kandungan di Perbadanan Kota Buku. Editor MukaSurat.my.

BUKU paling misteri di dunia dikatakan tersimpan di Beinecke Rare Book & Manuscript Library, di Yale University, Amerika Syarikat. Buku tersebut telah tersimpan di sana sejak tahun 1969. Buku ini sebenarnya sebuah kodeks, iaitu sebuah manuskrip tunggal, yang pada asasnya  dari segi fizikal sama sahaja seperti manuskrip lain; ditulis pada permukaan velum dengan menggunakan dakwat dan mempunyai sebilangan ilustrasi; sama seperti buku-buku lain.

Tetapi apakah yang menjadikan manuskrip ini sebagai buku paling misteri di dunia dan berbeza dengan buku-buku lain?

Manuskrip tersebut yang dinamakan Manuskrip Voynich ialah manuskrip asli yang tiada satu atau dua seumpamanya di dunia. Manuskrip tersebut berukuran 225 milimiter tinggi, 160 milimiter lebar dan berketebalan 5 sentimeter, mempunyai 240 muka surat, telah mengundang pelbagai tekaan, kajian, teori konspirasi, spiritualisme dan juga kajian oleh pakar kriptografi. Terdapat banyak cubaan menyahkodkan manuskrip tersebut, tetapi, masih, naskhah tersebut gagal diketahui isi kandungannya.

Hal ini disebabkan oleh penggunaan bahasanya yang aneh dan tidak dapat difahami oleh sesiapa pun, hatta seorang ahli linguistik atau pakar kriptologi. Manuskrip Voynich menggunakan aksara yang pelik, tulisannya kemas bersambung (kursif), ditulis dari kiri ke kanan, atas ke bawah, dan dikatakan oleh para pengkaji mirip sekali dengan sistem tulisan bahasa-bahasa Eropah pada ketika itu. Namun kajian demi kajian dilakukan, tulisan tersebut tidak dapat menterjemahkan apa-apa dan tidak tergolong dalam mana-mana bahasa sedia ada di dunia.

Tulisan yang terdapat dalam Manuskrip Voynich (Sumber gambar: National Post)
Apakah kandungan Manuskrip Voynich dan mengapakah manuskrip ini ditulis?

Walau bagaimanapun tiada judul dan tiada nama pengarang dicatatkan pada manuskrip tersebut. Hal ini menyukarkan lagi pencarian keping ‘puzzle’ untuk menyelesaikan misteri manuskrip ini. Namun, terima kasih kepada teknologi, kerana dengan adanya pentarikhan karbon, sedikit sebanyak memberi klu kepada misteri manuskrip ini; Manuskrip Voynich dikatakan ditulis pada 1420 iaitu pada Zaman Pertengahan Eropah.

‘Voynich’, bukanlah apa-apa perkataan yang ditemukan dalam manuskrip tersebut, tetapi nama seorang pengedar buku-buku nadir eksentrik berbangsa Poland, Wilfrid Michael Voynich yang membeli naskhah tersebut pada tahun 1912 daripada Jesuit. Voynich sempat membeli beberapa naskhah teks yang ingin dijual oleh Jesuit daripada Collegio Romano kepada Vatican. Voynich akhirnya membawa manuskrip tersebut bersama-samanya ke Amerika Syarikat.

Wilfrid Voynich (1865 – 1930)

Ketika manuskrip tersebut dibeli, Voynich mendapati ada sepucuk surat ditinggalkan bersama-sama naskhah tersebut. Surat tersebut ditulis oleh Johannes Marcus Marci dari Prague yang mencatatkan bahawa buku tersebut telah dijual kepada Penguasa Mulia Roman Rudolf II dengan harga 600 ducat. Namun fakta tersebut tidak dapat diabsahkan oleh mana-mana sejarawan.

Selain tulisan dan bahasanya yang tidak dapat difahami dan dibaca sama sekali, Manuskrip Voynich juga terhias cantik dengan ilustrasi yang aneh tetapi indah sekali. Ada yang mengatakan bahawa naskhah ini umpama jurnal yang ditulis dan dilukis berdasarkan mimpi. Separuh pertama naskhah ini terisi dengan lukisan pokok-pokok, yang dikatakan sarjana sebagai seksyen “herba”. Tiada satu pun pokok daripada lukisan ini merupakan pokok-pokok yang wujud di alam nyata, justeru lukisan-lukisan ini kebanyakannya terbit daripada khayalan pelukis semata-mata.

Seksyen seterusnya mengandungi rajah-rajah bulatan seperti dalam teks-teks zodiak pada Zaman Pertengahan. Sesetengah sarjana yang mengkaji naskhah ini menamakan seksyen ini sebagai seksyen “Astrologikal” yang mengandungi ilustrasi bintang, matahari dan bulan yang dilukiskan dengan muka manusia.

Ruangan seterusnya dipanggil “balneologikal” iaitu seksyen yang meperlihatkan ilustrasi wanita bertelanjang sedang mandi di dalam beberapa kolam mandi. Kolam-kolam mandi tersebut dihubungkan dengan sistem perpaipan aneh yang berselirat dengan ular dan beberapa haiwan lain.

Bahagian-bahagian seterusnya mengandungi ilustrasi yang seolah-olah menerangkan kegunaan pokok-pokok pada bahagian awal naskhah tersebut dan juga beberapa muka surat yang seolah-olah menunjukkan resipi makanan tertentu.

Teori Konspirasi

 

Ada beberapa teori konspirasi berkenaan teks kandungan Manuskrip Voynich.

Pertama, ada yang mengatakan teks tersebut ditulis oleh pembuat teks sifer (cypher), yang mana teks-teks tersebut merupakan kod-kod rahsia yang digunakan untuk menyembunyikan makna-makna tertentu untuk tujuan tertentu.

Kedua, ada yang mengatakan juga manuskrip tersebut ialah rekaan semata-mata. Teksnya ditulis sebagai satu bentuk rekaan, untuk diperdagangkan dan diperdaya sebagai suatu naskhah yang mempunyai nilai. Ada juga berspekulasi mengatakan bahawa naskhah tersebut ditulis oleh con artist di Eropah pada Zaman Pertengahan. Malah, ada juga yang mendakwa Voynich sendiri yang menuliskan naskhah tersebut untuk meraih perhatian dan populariti.

Ketiga, Manuskrip Voynich ditulis dalam bahasa yang nyata tetapi dalam sistem tulisan yang tidak diketahui. Berkemungkinan, ada sarjana pada Zaman Pertengahan yang ingin mencipta sistem tulisan untuk bahasa sedia ada yang sememangnya dituturkan tetapi belum didokumentasikan sistem tulisannya.

Meskipun Manuskrip Voynich menggunakan aksara dan bahasa yang tidak dapat dijejaki asal-usulnya, namun aksara dalam manuskrip tersebut mempunyai ciri-ciri universal sebagai satu bahasa iaitu mempunyai gugusan huruf yang berulang dan pola kata yang seimbang, malah susunan ayatnya sekata melengkapi sebentuk perenggan. Manuskrip Voynich bagaimanapun tidak mempunyai tanda baca yang jelas.

Banyak pakar kriptologi malah, mengesahkan Manuskrip Voynich mempunyai ciri-ciri sebagai satu bahasa. Cuma ada kemungkinan bahasa dalam Manuskrip Voynich ialah bahasa yang telah pupus, atau bahasa yang dituturkan tetapi tidak sempat didokumentasikan. Mungkin juga bahasa tersebut ialah bahasa yang terbit daripada kebudayaan yang telah musnah, nasib yang sama seperti bahasa rongorongo di Pulau Easter.

Meskipun teks Manuskrip Voynich tidak dapat difahami bahasa dan tulisannya, namun berbantukan ilustrasi aneh yang terkandung di dalamnya seolah-olah memberikan bayangan kepada kita bahawa naskhah ini lahir daripada sebuah kebudayaan yang mempunyai bahasa yang tersendiri tetapi kebudayaan tersebut tidak sempat berkembang dan akhirnya pupus sendiri. Naskhah ini seumpama ensiklopedia bagi kebudayan tersebut.

Ada juga yang mengatakan naskhah ini ditulis oleh ahli falsafah abad ke-13, Roger Bacon, yang cuba untuk memahami hukum-hukum sejagat tatabahasa. Ada juga yang mendakwa naskhah ini ditulis oleh ahli mistik Elizabethan pada abad ke-16, John Dee. Malah terdapat juga andaian-andaian aneh lain yang mengatakan naskhah ini mungkin ditulis oleh sekumpulan ahli sihir Itali atau mungkin sahaja ditulis oleh alien dari planet Marikh.

Apa jua andaian mengenai isi kandungan Manuskrip Voynich, tentang keanehan lukisan yang mengiringi manuskrip tersebut dan juga tentang siapakah penulis tersebut manuskrip tersebut, masih tidak dapat menjawab pelbagai misteri yang melingkari manuskrip tersebut.

Apa yang pasti, sehingga hari ini, Manuskrip Voynich telah menarik minat ramai pengkaji, sarjana, ahli teori konspirasi malah pengguna internet untuk membentuk pelbagai teori dan andaian lagi mengenai misteri yang tidak berkesudahan ini.

* Sumber: TED-Ed dan The New Yorker

** Manuskrip Voynich dalam bentuk digital boleh diakses di laman rasmi Beineck Rare Book & Manuscript Library. Boleh klik di sini.

 

Comments

comments