Pasca-PBAKL #1: Kuasa Beli Pengunjung

Suku daripada Pengunjung PBAKL 2017 hanya sanggup membelanjakan kurang daripada RM50 untuk membeli buku

Sebagai sebuah pesta perbukuan komersial, matlamat besar yang ingin dicapai oleh penerbit dan pedagang-pedagang buku tempatan dan antarabangsa yang menyertai Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 adalah antara lain untuk memaksimumkan keuntungan melalui jualan buku dan produk lain dengan menggunakan pelbagai mekanisme dan memanfaatkan pelbagai sarana ekonomi.

Namun demikian, sedar atau tidak, salah satu faktor lain yang mempengaruhi aliran pendapatan dalam industri perbukuan tidak lain tidak bukan ialah kuasa beli pembaca terhadap buku-buku yang berada dalam pasaran, apatah lagi bagi jualan-jualan yang diadakan bersempena pesta buku.

Daripada sejumlah responden yang ditemu bual oleh Unit Penyelidikan PKB sepanjang PBAKL  berlangsung selama 10 hari, majoriti daripada pengunjung PBAKL 2017 iaitu sebanyak 45% sanggup membelanjakan kira-kira RM100 – RM300 untuk dibelanjakan di PBAKL edisi kali ini.

Jika dibandingkan daripada purata harga buku yang dijual di sekitar PBAKL yang berharga RM30 senaskhah, 45% pengunjung ini hanya sanggup membeli maksimum 10 buah buku.

Selain itu, sejumlah pembeli yang lain iaitu kira-kira 25% atau suku daripada pengunjung keseluruhan pula hanya sanggup mengeluarkan kurang daripada RM50 daripada poket mereka untuk membeli buku. Jumlah ini dikatakan mewakili sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah yang berduyun-duyun datang ke PBAKL kali ini. Jika disandarkan kepada harga purata buku pada RM30 senaskhah, ini bermaksud mereka hanya sanggup beli sebuah buku saja!

Tinjauan Unit Penyelidikan PKB juga mendapati semakin kurang plastik berisi buku yang dijinjing oleh pengunjung keluar dari dewan-dewan pameran manakala pada hari-hari biasa, suasana PBAKL agak sepi selepas jam 4 petang.

Selain itu suasana pemilihan buku-buku ilmiah dan buku umum untuk pembelian perpustakaan sangat suram. Pada tahun-tahun 2005 hingga 2010, perpustakaan membeli buku-buku di PBAKL dalam jumlah jutaan ringgit. Tinjauan rambang unit penyelidikan di reruai penerbit antarabangsa, jumlah pemilihan oleh pustakawan hanya boleh dibilang dengan jari!

Namun begitu masih ada segologan pengunjung yang sanggup berbelanja melebihi RM300 malah  kira-kira 7% daripada mereka juga sanggup belanja lebih daripada RM1000 untuk membeli buku di pesta buku ini. Golongan-golongan ini kebanyakannya datang dari luar Kuala Lumpur dan memang menabung wang semata-mata untuk membeli buku-buku yang telah disenaraikan dalam senarai idaman masing-masing. Selain itu, ada juga dalam kalangan mereka adalah pembeli institusi yang semakin sedikit sekarang.

Akan datang dalam Siri Pasca-PBAKL di MukaSurat.my: genre popular pilihan pengunjung PBAKL 2017. 

Comments

comments

One thought on “Pasca-PBAKL #1: Kuasa Beli Pengunjung”

  1. Pingback: Pasca-PBAKL #2: Komik antara genre popular pilihan pengunjung – Muka Surat
  2. Trackback: Pasca-PBAKL #2: Komik antara genre popular pilihan pengunjung – Muka Surat

Comments are closed.