Pasca-PBAKL #2: Komik antara genre popular pilihan pengunjung

 

Ramai pengunjung PBAKL 2017 mencari komik sebagai bahan bacaan kegemaran mereka.


PENGUNJUNG-pengunjung yang hadir di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tempoh hari terdiri daripada pelbagai golongan pengunjung. Pada hari-hari yang paling tinggi pengunjung, iaitu pada hari-hari hujung minggu, pelbagai acara pelancaran buku, sesi bersama penulis dan bicara buku diadakan. Banyak penerbit juga menawarkan harga yang terbaik bagi buku masing-masing; tawaran yang tidak diperoleh di kedai-kedai buku biasa.

Berdasarkan genre-genre buku yang ditawarkan di PBAKL, Unit Penyelidikan Perbadanan Kota Buku telah bertanya kepada 5500 responden di lapangan tentang buku-buku yang mereka minati. Hasil daripada tinjauan ini bertepatan dengan pemerhatian lapangan yang dilakukan oleh pasukan yang berasingan.

Komik genre paling popular

Genre paling popular di PBAKL kali ini ialah buku-buku komik. Ramai pengunjung lebih-lebih lagi bagi pembaca dari umur 7 hingga 18 tahun ramai memilih komik sebagai pilihan utama mereka.

Kira-kira 15% pengunjung memilih komik iaitu sama ada komik tempatan dan juga komik yang diterjemahkan daripada negara asing. Dua penerbit yang menerbitkan buku-buku komik dan yang paling banyak dikerumuni pengunjung ialah PTS dan Gempak Starz. Selain itu, komik-komik Islamik seperti Ana Muslim juga semakin mendapat perhatian manakala komik-komik kartun oleh Bekazon juga mendapat sambutan hangat dengan menampilkan kartunis-kartunis yang ternama.

BACA: Suku daripada Pengunjung PBAKL 2017 hanya sanggup membelanjakan kurang daripada RM50 untuk membeli buku

Satu lagi genre yang tidak kurang popular ialah buku-buku akademik iaitu sebanyak 14%, sama besar peratusannya dengan buku-buku bercorak agama. Buku-buku akademik yang menjadi pilihan para pengunjung ialah buku-buku akademik di peringkat sekolah. Beberapa penerbit akademik gergasi seperti Sasbadi, Oxford Fajar dan Pelangi menawarkan buku-buku rujukan peperiksaan dan buku latihan di dalam kelas.

Selain itu, genre buku-buku agama merupakan genre yang paling meningkat dengan pantas. Banyak reruai yang menawarkan buku-buku keagamaan sama ada dari peringkat kecil seperti Ana Muslim kepada gologan muda seperti Tarbiah Sentap sehinggalah buku-buku bacaan ilmiah yang ditawarkan oleh Ilham Book, Telaga Biru dan kumpulan Kafilah Buku.

Buku fiksyen masih mendapat tempat

Satu lagi genre yang turut popular ialah buku-buku fiksyen. Kategori buku-buku fiskyen ini amat luas dan banyak buku-buku popular terkandung dalam kategori ini. Bagi penerbit seperti Karangkraf, Kaki Novel, Fixi, DBP, Lejen Press dan beberapa penerbit lain, buku-buku fiksyen merupakan kategori utama mereka.

Penerbit-penerbit di atas juga mengungguli carta penerbit-penerbit yang popular di PBAKL kali ini. Selain daripada buku-buku generasi baru (yang dikenali sebagai buku indie), terdapat juga lambakan novel-novel cinta yang amat diminati oleh golongan pembaca wanita remaja dan ada judul yang telahpun diadaptasi menjadi siri drama di televisyen. Banyak penerbit novel popular ini juga menampilkan artis-artis yang melakonkan drama bersiri tersebut di PBAKL 2017, antara faktor penyumbang kepada populariti genre ini.

Selain daripada fiksyen, genre misteri juga mempunyai pengikutnya yang tersendiri yang terdiri daripada 12% pengunjung PBAKL dan banyak buku-buku tentang ini memasuki carta buku-buku yang laris di pasaran luar juga. Lain-lain buku yang turut menjadi pilihan pengunjung ialah buku-buku motivasi, kanak-kanak, sejarah, bukan fiksyen dan falsafah yang masing-masing terdiri daripada kurang 10% daripada responden.

Akan datang dalam Siri Pasca-PBAKL di MukaSurat.my: 10 penerbit paling popular di PBAKL 2017

Comments

comments

One thought on “Pasca-PBAKL #2: Komik antara genre popular pilihan pengunjung”

  1. Pingback: Pasca-PBAKL #3: 10 penerbit paling popular di PBAKL 2017 – Muka Surat
  2. Trackback: Pasca-PBAKL #3: 10 penerbit paling popular di PBAKL 2017 – Muka Surat

Comments are closed.