MASALAH dunia penerbitan di Malaysia ialah kerana dikatakan orang tidak membaca buku lagi. Betulkah? Setiap bulan ada pesta buku di sana-sini, orang tetap ramai! Sebenarnya pembaca masih banyak di Malaysia tetapi bilangannya belum mencapai skala massa. Kita harus cipta lebih banyak peluang memulakan budaya membaca. Ini antara cadangan-cadangannya.


1.   Mula daripada pendalaman

Lokasi yang paling sesuai untuk memulakan gerakan massa untuk membaca ialah di pendalaman. Jaringan internet kebiasaannya amat perlahan di pendalaman. Apa yang dilakukan oleh kanak-kanak di sini pada masa lapang? Sudah pasti aktiviti luaran.

Cuba wujudkan taman-taman bacaan di setiap kampung dengan ketua kampung menjadi agen perubahannya. Terdapat banyak insentif antarabangsa yang telah sedia ada seperti peruntukan yang dilakukan oleh Yayasan Asia http://asiafoundation.org/publication/books-for-asia/ . Setiap tahun Asia Foundation memberi berjuta buku ke kawasan pendalaman tetapi malangnya hanya beberapa kerat orang sahaja yang mendapat faedahnya. Buku yang diagih juga hanya terhad kepada beberapa perpustakaan sekolah dan akhirnya mengumpul habuk.

Parti politik atau beberapa yayasan yang banyak di negara ini seharusnya menjadikan taman bacaan di kampung-kampung pendalaman sebagai projek anak angkat dan menaja buku-buku permulaan untuk memulakan kelab buku kampung. Bagi kampung yang berjaya, beberapa pengiktirafan boleh diberi di peringkat kebangasaan sewaktu Hari Buku, Pesta Buku atau pada Hari Kebangsaan.

2.   Pengiktirafan / Tokoh Pembaca / Keluarga Buku Kebangsaan

Kini sidah tiba masanya kerajaan memberi pengiktirafan di peringkat kebangsaan bagi aktivis dan tokoh-tokoh ini. Pemilihan boleh diataskan di peringkat Maulidur Rasul, Hari Kebangsaan atau mana-mana hari yang penting kepada negara. Jika kita boleh beri pengiktirafan yang tinggi kepada sasterawan negara, kenapa kita tak boleh beri anugerah kepada tokoh-tokoh yang menggalakkan pembacaan, memulakan budaya membaca atau tokoh yang diketahui umum sebagai bibliofil seperti Prof Diraja Ungku Aziz, Datuk Jaafar Rahim atau Tuan Shaharom TM Sulaiman dan mengangkat mereka sebagai tokoh. Ini secara tidak langsung mewujudkan budaya pengiktirafan kepada aktiviti pembacaan.

Pengiktirafan peringkat kebangsaan secara tidak langsung memberi satu isyarat bahawa pembacaan itu bukan sahaja memberi ilmu pengetahuan tetapi membawa kepada pengiktirafan peringkat tinggi. Bagi keluarga yang mengamalkan tabiat membaca di rumah seperti perpustakaan di rumah, masa membaca keluarga dan sebagainya turut diangkat menjadi keluarga contoh.

3.   Mengukuhkan program NILAM bukan sekadar baca dan rekod

Progran galakan membaca NADI ILMU AMALAN MEMBACA (NILAM) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia ialah sebuah program yang bagus. Ia merupakan satu anjakan paradigma untuk menggalakkan pelajar untuk membaca dan berlumba-lumba untuk membaca lebih banyak buku. Selain NILAM tidak ada program lain di peringkat sekolah yang secara langsung menggalakkan pembacaan. Kita sedia maklum, para pelajar jika tidak dipupuk, tidak suka membaca kerana pengaruh medium hiburan lain dan juga kebosanan membaca buku teks akademik.

Melalui program ini, pelajar berpeluang membaca buku yang bukan buku akademik dan memberi jeda masa untuk merehatan minda yang tepu menghadam buku-buku teks.

Namun begitu, program ini perlu dipertajam. Ia seharusnya bukan semata-mata salin dan rekod. Majoriti pelajar yang malas akan menyalin sinopsis atau laporan NILAM pelajar yang lebih rajin. Bagi mereka, tidak menang tidak apa asalkan buku rekod mereka jangan kosong. Asakan minda sebegini sangat merbahaya. Guru-guru harus meluangkan masa dengan membuat ‘spot check’ dengan meminta pelajar menceritakan tentang buku yang mereka laporkan telah membacanya.

Pihak KPM juga boleh menggalakkan bukan sahaja anugerah Nilam tetapi juga harus menganjurkan banyak lagi acara-acara sampingan seperti pertandingan bercerita, pertandingan karangan, pertandingan resensi buku dan banyak lagi yang boleh menggalakkan pelajar ini membaca dan faham.

4.   Duta Buku yang di kalangan sosok popular

Ada manusia sangat mengagumi idola mereka. Ada sesetengahnya mengikut cara idolanya bulat-bulat dan sanggup meniru apa saja yang dilakukan oleh idolanya. Pihak berkuasa harus mengkaji tingkah laku psikologi ini. Untuk memupuk minat baru, orang ramai harus ditunjukkan kepada mereka sesuatu yang baru itu dilakukan oleh seorang yang popular.

Bayangkan jika seorang selebriti dapat mempotretkan diri mereka sebagai seorang yang kaki buku, tidak mustahil peminatnya juga akan mula mendekati buku. Ada golongan yang mempertikaikan Fattah Amin tentang apa yang telah dilakukan olehnya dalam menerbitkan bukunya sendiri. Daripada mengkritik, lebih baik jika kita melantik dia menjadi duta buku dan sentiasa bercakap untuk menggalakkan pembacaan.

Di Filipina, selebriti-selebriti yang popular di kalangan pelakon dan ahli sukan dipanggil secara sukarela untuk mengiklankan diri mereka dengan mempotretkan imej mereka sebagai kaki buku dan betapa hebatnya menjadi kaki buku.

Ini secara tidak langsung akan membuat para peminat mereka mendekati buku. Duta Buku ini boleh merancang sesi resensi buku bersama peminat, minum petang sambil membedah buku bersama atau memberi hadiah kepada peminat yang dapat menceritakan isi sesebuah buku itu dengan bagus. Duta buku ini secara tidak langsung dapat mengaplikasikan nilai-nilai murni di dalam imjenya.

5.   Insentif

Bagaimana ingin memberi insentif kepada para pembaca buku yang tegar? Jawapannya mudah saja, kembalikan insentif cukai ke atas pembelian buku kepada pembelian buku saja. Melalui pembentangan bajet baru-baru ini, kerajaan telah melebarkan insentif cukai bagi pembelian buku kepada banyak pembelian lain di bawah nama ‘pembelian gaya hidup’. Jika begini, sudah pasti ramai yang membeli barangan gaya hidup lain seperti telefon bimbit berbanding buku.

Pelajar-pelajar yang membaca buku yang banyak seharusnya diutamakan dalam pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh atau pemilihan tempat ke universiti-universiti terkemuka di negara ini. Biasiswa juga boleh diberi kepada pelajar-pelajar yang ditabal menjadi Duta Nilam membaca lebih daripada 100 buah buku setahun.

6.   Lantik ikon di setiap kampung

Setiap kampung atau daerah pasti ada seorang ikon yang dihormati sama ada dia seorang doktor, yang berhormat ahli parlimen atau ketua kampung. kempen gerakan membaca harus bermula daripada orang-orang sebegini. Mereka ini dikatakan seorang agen perubahan yang mampu mempengaruhi masyarakat tempatan untuk mengubah budaya hidup mereka.

Ada ikon tempatan ini juga terdiri daripada orang-orang yang bijak pandai, bagi mereka dengan menunjukkan imej mereka sebagai ikon membaca secara tidak langsung meningkatkan imej mereka dalam kalangan masyarakat tempatan.

Sediakan poster-poster yang lebih bijak dengan menunjukkan ikon-ikon ini sedang membaca dan sertakan slogan-slogan ke arah masyarakat yang berilmu dan seumpamanya. Kempen-kempen ini nescaya boleh ditular sehingga ke akar umbi kerana pemimpin ini amat dihormati oleh penduduk tempatan.

Ibu bapa juga boleh disarankan untuk menjadi ikon dalaman pada setiap keluarga. Seperti mana yang kita sedar, ‘bapa borek, anak rintik’. Jika ibu bapanya sangat gemar membaca, secara automatik anak itu juga akan menjadikan membaca sebagai kegiatannya.

7.   Wujudkan perpustakaan bebas NGO bukan sekadar tugas Perpustakaan Negara

Saya sempat mengenali Gerakan Membaca di Indonesia. Gerakan Literasi di negara tersebut diperkuat dengan penglibatan NGO yang aktif di kawasan pedalaman. saya berasa takjub kerana kebanyakan perpustakaan persendirian dan perpustakaan di desa digerakkan oleh orang-orang biasa. Ada pemandu ‘angkut’ (umpama teksi) yang meletakkan pustaka buku-buku di belakang kenderaannya, ada yang menubuhkan pustaka buku dalam sampan di Sulawesi, ada yang bawa koleksi buku untuk pembacaan rakyat di belakang kudanya dan ada yang naik basikal keliling kampung menjaja pustaka gratis.

Dalam masyarakat ini ada banyak tokoh-tokoh sebegini. Cari mereka, gerakkan minat mereka dengan kreativiti setempat. Mereka pasti akan mengeluarkan banyak idea-idea bernas untuk mendekati masyarakat dengan agenda membaca.

Pihak Perpustakaan Negara tak perlu masuk ke pedalaman tetapi cukup dengan membekalkan bahan-bahan bacaan kepada aktivis-aktivis setempat ini. Mereka pasti akan berasa bangga dengan pengiktirafan kerajaan. Ada daripada mereka berasa puas jika mereka dihargai.

Akses buku-buku secara mudah di kampung-kampung membuat kanak-kanak dan suri rumah akan tergerak meggunakannya dan seterusnya menjadikannya satu budaya hidup mereka. Ia menjadi lebih bagus jika ia dibudayakan dan diraikan oleh masyarakat. Orang-orang pedalaman gembira jika mereka disajikan dengan hiburan baru ini kerana mereka jarang-jarang mendapat isyarat internet yang bagus dan jarang kita lihat orang-orang pedalaman terlalu asyik dengan telefon bimbit masing-masing.

8.   Terbit buku yang pembaca mahu

Penerbit harus terbit buku-buku yang pembaca mahu baca. Terdapat banyak buku yang diterbitkan di pasaran sebenarnya adalah manifestasi jiwa penulis semata-mata dan bukan apa yang pembaca mahu. Jika ini berlaku, penerbit jangan menyalahkan pembaca.

Sebagai penulis dan penerbit, sebelum mengerjakan sesuatu manuskrip, mereka harus telah sedia membuat kajian pasaran. Kajian ini akan mengkaji trend dan gelagat pembaca sebenar. Jika kajian pasran yang dilakukan dengan baik, penerbit tidak lagi menerbit secara syok sendiri.

Pembaca di bandar berbeza profil demografinya jika dibandingkan dengan pembaca di luar bandar atau pendalaman. Pembaca lelaki meminati topik yang berbeza dengan pembaca wanita. Penerbit harus bertemu dengan pihak perpustakaan negara yang mempunyai data gelagat pembaca. Kajian interim tabiat membaca 2014 juga telah menunjukkan trend-trend berguna kepada penerbit.

Akhir sekali, kenali pembaca muda di sekolah. Pihak perpustakaan memang gemar membeli buku-buku pengetahuan am tetapi mereka juga harus sedar bahawa para pelajar ke perpustakaan untuk merehatkan minda. Jika mereka mencapai buku untuk dibaca, mereka pasti akan membaca buku-buku yang ringan dan santai. Guru Perpustakaan dan Media harus telah sedia arif dalam hal ini.

9.   Tularkan aktiviti-aktiviti perbukuan yang unik dan jadi satu hari sebagai hari membaca.

Masyarakat di negara ini mempunyai capaian internet yang tertinggi di dunia dan pengguna media sosial yang besar. Bagaimana untuk menyemai budaya membaca kepada mereka? Tularkan hal-hal unik dan menarik tentang dunia perbukuan kepada masyarakat di media sosial agar ia dapat menimbulkan minat terhadap dunia buku. Selama ini, masyarakat ditularkan dengan hal-hal remeh dan tidak ada nilai tambah sehingga menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

Lebih baik jika topik-topik yang lebih menarik ditularkan. Sebarkan gambar-gambar perpustakaan yang menarik seluruh dunia atau hal-hal menarik tentang penulis popular dan sebagainya.

Kementerian Pendidikan juga boleh menetapkan satu hari setiap bulan sebagai Hari Baca Buku. Banyak aktiviti boleh dilakukan ketika perhimpunan pagi, satu jam di perpustakaan sekolah, kokurikulm membaca buku, pustaka kecil di balakang kelas, pertandingan bercerita berdasarkan sesebuah buku dan juga 10 minit setiap pagi. Aktiviti-aktiviti seperti ini jika sering dilakukan akan membuat generasi muda mulai mendakati dunia buku dan lama-kelamaan akan menjadi seahagian daripada kehidupan mereka.

Sumber: myhasri.wordpress.com 

Comments

comments