Pasca-PBAKL #3: 10 penerbit paling popular di PBAKL 2017

Carta Penerbit Paling Popular PBAKL 2017 diungguli oleh Kumpulan Media Karangkraf!

Keputusan yang memang dijangka dan daripada penampilannya di PBAKL kali ini juga memang sudah diduga. Dalam beratus-ratus senarai pempamer di pesta buku kali ini, majoriti responden telah memilih Karangkraf sebagai penerbit yang popular bagi mereka. Karangkraf amat mendominasi suasana pesta kali ini dengan  masih mengekalkan kemunculan mereka dalam satu dewan khas di Dewan Tun Dr Ismail, PWTC.

Hal ini bukan suatu yang janggal kerana Karangkraf memiliki senarai penerbitan yang paling banyak daripada akhbar Sinar Harian, puluhan majalah untuk pelbagai kategori pembaca sehinggalah senarai buku-buku yang terdiri daripada pelbagai genre. Hal ini sahaja membolehkan Karangkraf menjadi tempat pertama yang dituju oleh pengunjung sebaik sahaja tiba di PWTC. Syabas kepada Karangkraf.

BACA: Ramai pengunjung PBAKL 2017 mencari komik sebagai bahan bacaan kegemaran mereka.

Tempat kedua diduduki oleh Kaki Novel. Hal ini demikian kerana ramai pengunjung ke PBAKL memang menyerbu reruai-reruai yang memiliki buku fiksyen dan novel. Faktor ini menunjukkan bahawa Kaki Novel walaupun tidak besar jika dibandingkan dengan penerbit-penerbit lain tetapi berjaya menjadi penerbit kedua popular yang dipilih oleh pengunjung-pengunjung PBAKL.

Tempat ketiga ialah Buku Fixi (Fixi). Kedudukan Fixi boleh difahami kerana syarikat penerbitan buku-buku alternatif tersebut sudah lama bertapak dalam kalangan pembaca muda (yang juga merupakan golongan paling ramai mengunjungi PBAKL di PWTC). Fixi sudah memiliki banyak judul-judul yang bagus malah ada judulnya juga telah menembusi pasaran luar negera. Fixi sendiri juga telah memiliki anak syarikatnya di pasaran United Kingdon iaitu Fixi London.

Lain-lain penerbit yang mengungguli carta 10 terbaik ini merupakan penerbit-penerbit yang terkenal dan gigih dalam mempromosikan jenama mereka seperti Gempak Starz (komik), Telaga Biru (keagamaan), Sasbadi (akademik), DBP (buku-buku bahasa Melayu yang bermutu) serta PTS yang menjadi salah satu penerbit bumiputera yang berjaya.

Akan datang dalam Siri Pasca-PBAKL di MukaSurat.my: faktor pilihan pembaca di PBAKL 2017.

Comments

comments