5 buku bacaan Ramadan/Syawal pilihan Rem Dambul

BULAN Ramadan, bulan penuh mulia yang diraikan dengan bukan semata-mata pesta juadah, tetapi lubuk pahala dan ruang-ruang ibadah. Ramai yang memikirkan ruang ibadah itu mungkin sahaja hanya menahan lapar dari terbit fajar di timur sehingga tenggelam matahari di sebelah satu lagi, atau hanya pada sejadah, di ruang-ruang terawih dan pada keberkatan bersahur dan berbuka.

Tetapi pada penyair yang juga saintis klimatologi, Rem Dambul, ruang ibadah pada bulan Ramadan juga tertumpu pada pembacaan bahan-bahan bacaan yang baik, mengingatkan dan menyedarkan walau bukan dalam konteks ruang lingkup bicara agama semata-mata.

Rem, atau nama sebenarnya Prof Madya Dr Ramzah Dambul, beranggapan bulan Ramadan ialah bulan terbaik untuk mengakrabi buku, menekuninya dan mendapat sesuatu daripadanya.

Penulis kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (2012) dan Déjà Vu Cinta Pencari Katarsis (2014) ini juga tidak menjadikan tugas hakikinya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebagai alasan untuk beliau meneruskan rutin pembacaan beliau seperti biasa, dalam masa yang sama fokus juga kepada ibadah berpuasa.

Beliau berkesempatan berkongsikan kepada kami, 5 judul buku yang beliau jadikan bahan bacaan sepanjang bulan Ramadan/Syawal kali ini:

1.  Buku Puisi Saku Gibran, Rumi, Hafez, Kabir terjemahan Saharil Hasrin Sanin (Kedai Saharil, 2017)

KEDAI SAHARIL / kedaisaharil.com

Koleksi 4 puisi saku penyair sufi/mistik terpilih iaitu Khalil Gibran, Jalaluddin Rumi, Hafez dan Kabir ini datang bentuk boxset dalam saiz yang mudah dibawa dan disimpan. Setiap satu puisi diterjemahkan sendiri oleh Saharil dan hadir bersama ilustrasi-ilustrasi menarik yang mengirinya. Ada beberapa halaman naskhah ini dicetak pada kertas surih supaya menjadikan pembacaan puisi dan ilustrasi lebih berimpak dari segi visual.

Koleksi 4 puisi saku ini merupakan pilihan teratas Rem Dambul dalam senarai ini. “Semua kandungan buku terjemahan puisi itu bersifat sangat reflektif. Puisinya tajam dengan falsafah kehidupan yang sejagat: bagaimana mencari diri sendiri, dan kenapa perlu saling peduli pada hal-hal di sekeliling kita,” kata Rem.

Rem menganggap naskhah ini merupakan naskhah yang wajar dibaca, bersesuaian dengan roh Ramadan sebagai bulan refleksi.

2.  Cerpen-cerpen Patah Hati oleh Saharil Hasrin Sanin (Dubook Press, 2017)

GOODREADS / goodreads.com

Nama Saharil Hasrin Sanin sekali lagi menjadi pilihan Rem dalam senarai kali ini. Cerpen-cerpen Patah Hati ialah kumpulan cerpen Saharil yang dikatakan lebih lebih serius berbanding kumpulan cerpen Cerpen-cerpen Underground terbitan rumah penerbitan yang sama, tahun sebelumnya.

Bagi Rem, cerpen-cerpen yang terdapat dalam kumpulan cerpen ini sangat provokatif dan mempuyai idea-idea yang mencabar minda. Kumpulan cerpen ini bukanlah semata-mata naskhah buat si ratu air mata atau buat mereka yang baru jatuh cinta, tetapi naskhah ini menghidangkan pemikiran dan persoalan yang menjentik rasa berkenaan dunia sekeliling kita.

3.   Setulus Kata/ The Naked Truth oleh Mohd Khair Ngadiron (Studio Anai-anai, 2017)

ITBM / www.itbm.com.my

Sama seperti kumpulan cerpen Cerpen-cerpen Patah Hati oleh Saharil, Rem memilih buku karya CEO Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Setulus Kata/The Naked Truth atas kejujuran yang terkandung di dalamnya, selain kata-katanya yang mencabar minda.

Rem menyifatkan naskhah ini sebagai satu naskhah yang cukup provokatif.

“Saya fikir bulan puasa — ketika banyak masa perut kita kosong — adalah bulan terbaik untuk membuka minda pada hal-hal yang mencabar dan membugarkan jiwa,” kata beliau.

4.   The Black Swan oleh Nassim Nicholas Taleb (Random Press, 2007)

The Black Swan: The Impact of the Highly Improbable ialah sebuah buku yang ditulis oleh penulis esei, sarjana dan ahli falsafah, Nassim Nicholas Taleb yang menceritakan tentang impak besar sesuatu rentetan peristiwa dalam hidup manusia dan bagaimana manusia cenderung untuk mencari penerangan simplistik berkenaan perkara-perkara tersebut.

Buku ini amat menarik minat Rem dan dibeli oleh beliau sejak lebih enam tahun dahulu. Namun, beliau selalu hilang kekuatan untuk membacanya.

“Saya harap Ramadhan yang barakah oleh memberi saya kekuatan untuk membaca dan menghadam buku yang agak berat dan sukar ini, tetapi menjanjikan pengisian yang begitu mantap. Buku ini secara amnya mencabar gagasan dan idea Blue Ocean.”

 

5.   Antara Langit, Bumi dan Dua Hati (M Hany Hisham, Greenbee Press, 2015)

GOODREADS / goodreads.com

Novel ini mengisahkan tentang seorang gadis bernama Ilyani Izhar mengembara sendirian ke Eropah untuk meraih ketenangan jiwa dan memulihkan semangatnya. Di hari-hari awal kembara, takdir telah menemukannya dengan seorang pemuda Melayu, Firman Mukhlis, seorang jurutera yang awalnya datang atas urusan kerja.

Menurut Rem, novel tersebut dikirimkan sendiri oleh pengarangnya yang meminta beliau membaca novel tersebut. “Atas semangat perkongsian Ramadhan, saya pun pilih sebagai bacaan. Saya fikir bagus juga kita sesekali buka hati untuk menggali kandungan buku yang bukan kita pilih; tapi dipilihkan orang lain.”

 

Comments

comments