7 perpustakaan tercantik di dunia

PERPUSTAKAAN; selain daripada buku-bukunya yang rencam judul, bahasa dan genre dan juga susun atur raknya yang kemas, sistematik dan teratur, kesunyiannya juga selalu menjadi ‘kerinduan’ buat para pencinta buku untuk datang dan duduk di dalamnya.

Orang datang ke perpustakaan atas banyak sebab dan tujuan. Yang lazim, orang datang ke kutubkhanah ialah untuk membaca buku kegemaran. Mungkin sahaja yang datang ke perpustakaan itu juga ialah seorang pelajar, bersama komputer riba membuat penyelidikan bagi disertasinya dengan merujuk jurnal yang diperlukan.

Ada juga yang datang ke perpustakaan untuk mendapatkan akses wifi bagi memuat naik e-buku, poof, buku tersedia dalam peranti di tangan. Ada yang datang untuk berehat, malah. Ada juga yang datang ke perpustakaan bagi menghadiri acara seperti seminar, untuk meminjam buku, dan sebagainya.

Ada juga yang datang ke perpustakaan tersebut kerana mempunyai rekaan seni bina yang menarik, bersejarah, unik dan menakjubkan. Malah ada sebahagian perpustakaan yang mempunya seni bina mengagumkan ini menjadi ikonik seperti Perpustakaan Bodleian, Universiti Oxford yang terkenal menjadi latar bagi francais filem Harry Potter. Banyak perpustakaan ini juga menjadi tarikan pelancong, tidak kurang ada yang datang untuk bergambar dan dimuat naik ke laman sosial.

Berikut  disenaraikan 7 perpustakaan cantik seluruh dunia yang mempunyai seni bina yang mengagumkan:

1.    Clementinum, Prague

Perpustakaan di Prague ini mempunyai gaya Baroque pada ruang fresko di silingnya yang agam dan kompleks. Pada hakikatnya, ruang perpustakaan ini hanyalah satu daripada bangunan yang terdapat di kompleks Clementinum ini. Ada yang berpendapat, pada awal pembukaannya oleh Jesuits pada tahun 1622, perpustakaan ini hanya mempunyai sebuah buku dan akhirnya koleksi tersebut berkembang kepada 20 000 jilid. Label yang terdapat pada rak di perpustakaan ini dikekalkan asli seperti mana pada ketika pembukaannya.

2.   The Royal Library Copenhagen, Denmark

PUBLIC RADIO OF ARMENIA / armradio.com

Dikenali sebagai Black Diamond, bangunan neomodenis ini dibina pada tahun 1999 pada asalanya sebagai tambahan kepada kompleks asal Perpustakaan Diraja (Royal Library). Bangunan ini mempunyai struktur keluli yang bersinar, kaca dan batu granit hitam yang mengandungi ruang konsert, kafe dan juga ruang pameran. Black Diamond menghidangkan kepada pengunjungnya pemandangan pelabuhan dan siling fresko oleh seorang pelukis terkenal Denmark, Per Kirkeby.

3.   George Peabody Library, Johns Hopkins University, Baltimore

The Peabody Stack Room ini mempunyai atrium berketinggian lima tingkat dihadangi balkoni dan kolum berhias kemasan besi, kelihatan seperti katedral buku, seperti yang disebut oleh Nathaniel H. Morison.  Perpustakaan ini merupakan perpustakaan kolej paling cantik di Amerika, menyebabkan kerap menjadi lokasi acara seperti perkahwinan dan beberapa acara istimewa lain. Bibliofil datang ke sini bukan hanya kerana rekaan seni bina dalamannya yang menarik, tetapi juga khazanah buku yang terkandung di dalamnya, antara lain buku-buku sejarah dan sastera British dan Amerika pada abad ke-18 dan ke-9.

4.   Royal Portuguese Reading Room, Rio de Janeiro

Sekumpulan penghijrah dari Portugis bergabung tenaga membina perpustakaan Portugis pada tahun 1837, meskipun pembinaannya hanya siap sempurna pada tahun 1880. Bangunan neo-Manueline ini mempunyai façade pada ruangan hadapan yang memaparkan arca penjelajah Portugis, seperti Putera Henry, Vasco da Gama dan Pedro Alvares Cabral. Ruang membaca yang mempunyai seni bina seakan-akan katedral mempunyai kubah kaca dan galeri-galeri yang diperbuat daripada kayuan. Rak-rak buku dalam ruangan membaca ini juga menghimpunkan koleksi terbesar sastera Portugis terbesar di luar lingkungan tanah airnya.

5.   Library of Congress, Washington, D.C.

Ketika perpustakaan asal mengalami kebakaran pada tahun 1814, Thomas Jefferson membina perpustakaan baru dengan menggunakan koleksi bukunya sendiri yang lebih banyak. Minerva, dewi kebijaksanaan Rom, tersergam indah dalam bentuk mozaik di bahagian atas bilik bacaan utama dan juga buku, skrol dan sebagainya tersimpan dalm Library of Congress. Antara yang tersimpan dalam perpustakaan ini juga ialah Bible Guternberg (satu antara 42 naskhah yang tinggal di dunia). Dibuka Isnin hingga Sabtu.

6.   Musashino Art University Museum and Library, Tokyo

Inilah dia perpustakaan yang paling kelihatan seperti perpustakaan yang wajar; dibina oleh arkitek Fujimoto, perpustakaan ini terletak di Art University yang berkeluasan 26 900 kaki per segi, dibina daripada kayu kayan berwarna cerah dan berdindingkan kaca. Tangga-tangga di dalam perpustakaan ini malahan dijadikan rak, meskipun buat masa sekarang rak tersebut kosong.

7.   Stuttgart City Library, Germany

Dari luar, bangunan sembilan tingkat ini kelihatan seperti kubus monolitik. Ketika matahari terbenam, dinding kaca pada bahagian hadapan kelihatan seperti berkilau manakala malam dindingnya mengeluarkan cahaya berwarna biru. Di dalam, ruangan perpustakannya serba putih dan mempunyai lima lantai ruang membaca yang membentuk piramid terbalik, dan juga bilik mesyuarat, sebuah kafe dan teres rooftop. Bangunan ini direka untuk menjadi jantung kota. Masyarakat setempat dialu-alukan untuk datang, duduk bersama buku atau duduk berjam-jam di “perpustakaan untuk imsonia” ini.

Comments

comments