Shamsul Amin

Eksekutif Kandungan di Perbadanan Kota Buku. Editor MukaSurat.my.

KUALA LUMPUR: Penulis novel grafik bersiri “Aku Hidup Dalam Blues”, Azzam Supardi, 50, dilaporkan meninggal dunia pagi tadi sekitar jam 7 pagi di Pusat Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) akibat sakit jantung.

Berita tersebut dikongsikan oleh oleh abang ipar penulis tersebut yang juga merupakan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, melalui status Facebooknya awal pagi ini.

“Berita duka: adik ipar saya Mohd Azzam Supar antara penulis buku terbitan Sindiket Soljah baru meninggal dunia di Hospital Kampus UiTM Sg Buloh akibat sakit jantung.”

Jenazah Allahyarham telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merbau Sempak di Sungai Buloh, tengah hari ini.

 

Azzam Supardi merupakan penulis siri terkenal dalam majalah Ujang sekitar 1990-an, ‘Aku Hidup Dalam Blues’ dengan menggunakan lukisan oleh kartunis Aie.

Karya beliau yang mutakhir antara lain ialah Monolog Seorang Lelaki pada tahun 2013, Prequel Breakfast Blues (2014) dan 99 Stress Free Daddy (2016). Beliau juga turut menjadi penyumbang kepada antologi anekdot terbitan Sindiket Sol-Jah, Pilo Toq pada tahun 2014.

Di laman sosial media seperti Facebook dan Twitter, ramai penggiat industri buku, rakan-rakan seperjuangan dan peminat yang turut berduka dengan pemergian tersebut sambil mengimbau nostalgia kegemilangan Aku Hidup Dalam Blues.


Comments

comments