Shamsul Amin

Eksekutif Kandungan di Perbadanan Kota Buku. Editor MukaSurat.my.

JAKARTA– Penulis novel Kougar dan Tabu terbitan Buku Fixi, Shaz Johar, antara 11 penulis seluruh ASEAN yang diumumkan terpilih mengikuti program residensi ASEAN-Japan yang diadakan bersempena Festival Sastera ASEAN di Kota Tua, Jakarta Barat, Ogos ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh sekretariat ASEAN Literary Festival 2017 melalui laman Twitter mereka, semalam.

Shaz Johar terpilih mengikuti program tersebut bersama sepuluh penulis ASEAN yang lain berserta sekumpulan penulis dari Jepun akan berkampung selama seminggu di Kampung Muara, Tanjung Barat, Jakarta Selatan.

Sepuluh penulis tersebut antara lain Clara Chow (Singapura), Glenn L Diaz (Filipina), Hariz Faddylah (Brunei Darussalam), Intan Andaru (Indonesia), Ira Lathief (Indonesia), Mai Nardone (Thailand), Moe Thet Han (Myanmar), Ni Komang Ariani (Indonesia), Tra Nguyen (Vietnam), dan Yusri Fajar (Indonesia).

Shaz Johar

Shaz Johar yang dihubungi Muka Surat berkata, beliau berasa teruja dan dihargai dengan pemilihan tersebut. Beliau malahan, berharap program ini akan membantu beliau untuk menimba lebih banyak ilmu selain mengintai peluang untuk belajar daripada karyawan-karyawan lain.

“Saya dalam rangka menulis sebuah novel baru tentang cinta dan ketuhanan dan berharap dapat menyiapkannya sepanjang program itu nanti,” tambah beliau.

 

Sementara itu, pengarah ASEAN Literary Festival 2017, Okky Madasari berkata sebanyak 1000 permohonan dari seluruh ASEAN diterima bagi program residensi yang masuk edisi kedua tahun ini.

“Program residensi merupakan salah satu inisiatif kecil untuk secara langsung menangkis kenyataan bahawa kita masyarakat ASEAN hampir tidak mengenal satu sama lain. Kami tidak percaya bahawa kita boleh menjadi sebuah komuniti tanpa perasaan akrab, rasa kedekatan, dan rasa memiliki,” ujar beliau.

Shaz Johar ialah penulis kedua Malaysia yang terpilih mengikuti program residensi tersebut selepas Ridhwan Saidi yang mengikutinya pada tahun lalu. -MS

Comments

comments