Geraba(k)ata: Puisi kota antara gerabak

KUALA LUMPUR: Jika anda menggunakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) dan menukar laluan daripada aliran Kelana Jaya ke aliran Sri Petaling/Ampang (atau sebaliknya), pasti anda akan melalui terowong pejalan kaki bawah tanah stesen LRT Masjid Jamek yang dihiasi dengan puisi dan ilustrasi karangan penyair-penyair terpilih tanah air.

Inisiatif pemaparan puisi ke dalam bentuk visual (puisi dan ilustrasi) ini diberi nama Geraba(k)ata, yang merupakan gabungan perkataan “gerabak” dan “kata” dan menjadi tema mural sepanjang 100 meter ini.

Pameran mural yang akan berlangsung dari Ogos sehingga September ini antara lain memuatkan puisi-puisi oleh barisan Sasterawan Negara seperti Dato’ Zurinah Hassan, Dato’ Seri A. Samad Said, Profesor Muhammad Haji Salleh dan Allahyarham Dato’ Usman Awang. Selain itu terdapat juga puisi oleh penyair tempatan yang lain seperti Dr. Siti Zainon Ismail, Ee Tiang Hong, Pyanhabib, Marian Wells, Malachi Edwin Vethamani, Fan Yew Teng, T. Alias Taib, Nuruddin dan Shirley Geok-Lim dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Puisi-puisi yang dipaparkan mempunyai latar kota yang kukuh khususnya Kuala Lumpur mencakupi spektrum tema yang luas dan rencam.

 

Projek Dialog melalui laman rasmi Facebook mereka berkata, puisi-puisi yang dipilih mewakili suara dan citra kota, dengan bait dan rangkap dalam memberi penghormatan kepada impian dan keresahan yang memberi nyawa kepada nadi Kuala Lumpur.

Inisiatif Geraba(k)ata ini merupakan kerjasama erat antara Projek Dialog, ThinkCity dan RapidKL yang dikendalikan oleh Fuad Rahmat dan Zikri Rahman manakala reka letak dan ilustrasi masing-masing disediakan oleh Allie Hill dan Komeil Zarin.

Comments

comments