Pasca-PBAKAL #4: Apakah faktor pilihan pembaca ketika membeli buku di PABKL 2017?

KETIKA memilih buku, apakah kriteria yang penting kepada pembeli? Faktor ini menjadi lebih penting apatah lagi ketika pembeli itu hanya ada sumber kewangan yang terhad. Mereka harus memaksimumkan kuasa beli mereka dengan membeli apa yang mereka mahu baca sahaja. Faktor ini juga penting kepada penerbit kerana menjadi satu kayu ukur kepada kesediaan mereka untuk menyediakan buku-buku yang mahu dibeli oleh sebahagian besar pengunjur dan tidak dipanggil ‘syok sendiri’.

Ketika memilih buku, 31% peratus pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ini ini memilih isi kandungan sebagai faktor utama mengapa mereka memilih buku tersebut. Ini memang penting dan kita dapat lihat pembaca kita semakin matang.  Pembaca buku masa kini tidak mudah terpedaya dengan pembungkusan (reka bentuk kulit luar) yang cantik semata-mata tetapi isi kandungannnya yang lebih diutamakan. Inilah yang dikatakan oleh pepatah, ‘jangan menilai buku daripada luarannya’.

Foto: pts.com.my

Selain daripada isi kandungan yang bagus, 23% responden turut memilih persembahan isi kandungannya. Hal ini memang ada kaitan dengan faktor yang pertama tadi. Isi kandungan yang bagus harus juga disokong dengan persembahan yang bagus juga. Kadang kala jika isi kandungan yang bagus tetapi dipersembahkan dengan cara yang hambar, akan membuat pembaca hilang minat membaca dan mencampakkan buku itu ke tepi. Persembahan yang menarik termasuklah reka letak yang menawan, susun letak gambar, penggunaan fon yang sesuai dengan genre yang dipersembahkan.

Setelah kedua-dua dinilai, barulah dipandang  kepada rekaan kulit hadapannya. Ada pembeli yang suka membeli buku-buku dengan rekaan kulit yang cantik agar mereka berasa gembira memegang buku tersebut. Golongan responden yang memilih rekaan menarik ini kira-kira 20% daripada pembeli di PBAKL. Banyak penerbit-penerbit generasi baru pandai mencipta rekaan kulit yang bagus-bagus dan memliki idea yang segar.

Satu lagi faktor yang menarik pembeli ialah nama penulis itu sendiri. Ada pembaca memang terus ke reruai yang sudah dirancang dan terus mencapai buku-buku tulisan penulis yang mereka minati. Ada penulis yang mempunyai jumlah pengikut yang ramai dan namanya sahaja mampu menarik orang membeli.

Antara contoh penulis yang menarik ramai pembeli di PBAKL kali ini ialah nama-nama seperti Fattah Amin, Ahmad Patria, Mat Luthfi, Ramlee Awang Murshid, Ainon Mohd, Abdul Latip bin Taib dan beberapa nama lain juga. Bagi mereka, nama mereka saja sudah boleh membuat penerbit mereka mencetak buku dengan jumlah yang lebih banyak daripada biasa.

Buku Matluthfi antara yang mendapat perhatian di PBAKL baru-baru ini / Foto: pts.com.my

Satu lagi faktor yang membuatkan pembeli membeli sesuatu buku itu ialah faktor harganya. Kira-kira 12% responden bersetuju faktor harga juga menjadi penentu pembelian oleh pengunjung. Ada buku yang penting dan mempunyai banyak fakta yang penting mungkin boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi. Ada pembeli faham dengan kualiti isi buku itu dan sanggup membayar lebih untuk mendapat buku tersebut.

Bagi buku-buku biasa seperti komik dan juga buku kerja sekolah bagi peringkat rendah, harga amat sensitif. Pembeli-pembeli bagi buku-buku ini tidak bersedia untuk membeli dengan harga yang tinggi. Begitu juga buku-buku novel kanak-kanak dan remaja yang akan menarik pembeli dengan rakaan buku yang menarik tetapi dengan harga yang rendah kerana sasaran pembacanya masih belum memiliki kuasa beli yang tinggi.

Walaupun faktor-faktor di atas sangat penting dalam pemilihan buku-buku yang hendak dibeli, penerbit juga harus bertanggungjawab agar tidak memanipulasikan kehendak pembaca dengan untung semata-mata. Ada penulis yang sudah ada nama besar jangan pula berkompromi dengan isi penulisan yang kurang kualiti dan juga ada penerbit yang cuba menutup kelemahan bukunya dengan rekaan kulit depan yang hebat tetapi isinya tak seberapa. Sesuatu yang penting kepada penerbit ialah jenama mereka akan dapat bertahan lama jika mereka berjaya mempersembahkan buku mereka menepati semua ciri-ciri yang diingini oleh golongan pembaca.

 

Comments

comments