Musim suram industri buku: adakah hanya sementara?

POLEMIK mengenai realiti industri buku di Malaysia kini tampaknya sudah berubah suhu daripada lembab kepada suasana panas.  Isu ini banyak diperkatakan di mana-mana sahaja medium yang akrab dengan industri perbukuan negara mutakhir ini. Seperti juga industri-industri yang lain, situasi kelembapan ekonomi dunia telah mempengaruhi kuasa beli pengguna sekali gus menjadikan kuasa membeli buku bukan pada tahap yang sepatutnya.  Kita sebenarnya tidak kurang pembaca, kita cuma kurang pembeli buku.

Industri buku juga salah satu cabang perniagaan.  Kos penerbitan yang semakin meningkat menyebabkan penerbit tidak mempunyai pilihan dan terpaksa menerbitkan buku dengan jumlah yang terhad dan bersifat komersial untuk mengurangkan risiko kerugian. Walaupun industri penerbitan buku di Malaysia berkembang agak perlahan berbanding negara maju yang lain, tetapi secara amnya telah mula menunjukkan perkembangan positif. Masih aktif kewujudan usaha untuk mengadakan pesta dan ekspo buku pada saban tahun.

Perubahan trend pembaca telah banyak berubah. Trend tersebut bukan sahaja di Malaysia tetapi juga melibatkan seluruh dunia. Pada masa sekarang, pembaca sudah celik teknologi, permintaan terhadap e-buku (penerbitan digital) sangat tinggi sesuai dengan perkembangan teknologi sesebuah negara itu.  Faktor ini juga mengarah kepada kelembapan pembelian buku-buku fizikal yang diterbitkan. Situasi sudah berubah. Masyarakat pembaca pada zaman ledakan teknologi menggemari maklumat dan bahan bacaan yang boleh didapati di hujung jari.

Untuk menuju ke arah negara maju, penerbitan buku mestilah pada kadar satu peratus untuk setiap sejuta penduduknya. Lantaran itu, Malaysia yang mempunyai kira-kira 31.7 juta (2016) penduduk perlu menerbitkan 31 700 naskah buku setahun.  Hal ini seperti mana yang telah digariskan dan mengikut piawai Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO).

Industri buku perlu solusi baharu

Adakah dengan berlakunya kelembapan ekonomi, industri perbukaan negara akan terus terganggu? Jika perkara ini dibiarkan terus berlaku, secara pemikiran logiknya sudah pasti hal ini akan merencatkan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara maju.  Pihak penguasa atau pemerintah negara harus memikirkan beberapa solusi baharu untuk mengerakkan semula carta penerbitan dan pembelian buku di negara ini.

GAMBAR hiasan / NSTP

Pihak kerajaan harus memainkan peranan utama untuk memacu industri ini dan menjadikannya sebahagian daripada agenda sosioekonomi negara.  Buka ruang dan peluang perniagaan buku yang lebih luas ke seluruh dunia.

Apabila keadaan ekonomi sudah pulih nanti, pihak pemerintah harus meningkatkan peruntukan dalam pembentangan Belanjawan 2018 nanti dengan penambahan sedikit anggaran belanja mengurus bagi setiap agensi perbukuannya sama ada yang berskala besar seperti syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau yang berskala kecil seperti perpustakan, untuk menerbitkan atau membeli buku penulis untuk kegunaan perpustakaan seluruh negara.

Juga diharapkan dalam pembentangan Belanjawan 2018 pada Oktober nanti pihak kerajaan bijak menyantuni pemain industri perbukuaan negara dengan meningkatkan lagi belanjawan anggaran mengurus Kementerian Pendidikan Malaysia, untuk menukar buku-buku teks yang sudah begitu uzur.  Penambahan penerbitan buku-buku KOMSAS untuk merancakkan semula industri buku pada tahun 2018 juga perlu dilakukan.

Sudah enam dekad industi ini berjalan, tentu ada peningkatan pada setiap tahun sesuai dengan keadaan semasa.  Pada kebiasaanya faktor kegawatan ekonomi berlaku dalam tempoh sementara sahaja. Juga amat diharapkan faktor kegawatan ini bukan menjadi satu alasan yang menyuramkan iklim industri perbukuan negara sehingga syarikat penerbitan buku mengalami musim yang amat gelap dan syarikat-syarikat kecil gulung tikar.

Sikap masyarakat Malaysia dewasa ini masih belum lagi mahukan buku sebagai keperluan asas dalam kehidupan mereka dan tahap kuasa beli pembaca masih rendah. Masyarakat masih mengharapkan subsidi kerajaan untuk membeli. Mereka tentu mempunyai alasan tersendiri.  Kegawatan ekonomi juga antara puncanya.

Jika perkara ini berterusan, pasti hasrat kerajaan untuk menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat membaca terganggu.

Jangan tekan butang panik

Dalam suasana sekarang, pemain industri tidak perlu menekan butang panik. Saudagar-saudagar industri buku perlu meningkatkan kualiti perkhidmatan dari segi kualiti penerbitan, percetakan mahupun pencapaian bagi membolehkan masyarakat pembaca mempunyai banyak pilihan bahan bacaan dalam pelbagai judul dan bahasa.

Peranan persatuan penulis juga perlu berperanan untuk membantu penerbit, dengan menganjurkan acara-acara berkaitan dengan buku seumpamanya, buat penambahbaikan dalam kursus atau bengkel-bengkel penulisan.  Pihak persatuan penulis boleh menambah modul baru dalam bengkel antaranya ilmu perniagaan atau keusahawanan peringkat asas.

GAMBAR hiasan / Pixabay

Sudah tiba masanya penulis menjadi penjual atau ejen penerbit yang memiliki kepakaran dalam menjual. Ilmu perniagaan amat penting bagi penulis untuk bersama-sama menggerakkan industri buku.  Penulis bukan sahaja diasuh menjadi penulis yang baik, tetapi juga diajar untuk menjadi saudagar buku yang berjaya.

Rumusannya, industri buku yang kita perkatakan selama ini ialah sebuah imej diri dan negara kita. Sudah sampai masanya kita mampu mengangkat pemikiran masyarakat ke tahap yang jauh lebih baik sempena hari kemerdekaan yang ke-60 ini.  Sebenarnya dalam kehidupan ini kita buat apa yang kita percaya. Jangan terlampau banyak memberi alasan tanpa sebarang percubaan terlebih dahulu.

–MS

Comments

comments