Buku + YouTube: 7 BookTuber Malaysia yang perlu anda kenal

PERNAH dengar perkataan “BookTube”? Pasti kebanyakan anda pertama kali mendengar perkataan ini seraya bertanya “apakah itu?” Mungkin juga ada sebahagian yang lain pernah mendengar perkataan BookTube tetapi tidak pasti, di Malaysia, wujudkah komuniti BookTube dan penggiat-penggiatnya? BookTube; kedengaran seperti YouTube, bukan?

BookTube ialah gabungan dua perkataan iaitu book (buku) dan YouTube lalu membentuk BookTube. Ya, anda tidak salah lagi. BookTube ialah satu komuniti di YouTube yang menggerakkan aktiviti resensi buku dan vlog (blog video) berkenaan dunia pembacaan dan aktiviti perbukuan. Gerakan ini semacam komuniti atau subset yang lain dalam dunia video YouTube seperti beauty guru yang membuat video tutorial solekan dan tatarias atau komuniti gamer yang menayangkan video mereka bermain permainan video secara langsung di YouTube. Namun apa yang berbeza, BookTuber berfokus kepada buku.

BookTube 101: BookTubesfera

Komuniti BookTube dipanggil Booktubesfera (BookTubesphere) secara keseluruhannya, manakala penggiat-penggiat/pemuat naiknya dipanggil BookTuber. Di luar negara, budaya BookTube ini digiatkan sekian ramai bibliofil dengan memuat naik video resensi mereka terhadap buku-buku yang mereka baca, malah video resensi sebegini dilihat sangat meriah dan mereka punya pengikut yang setia di laman YouTube masing-masing.

Booktube lazimnya merangkumi pelbagai bentuk dan jenis buku yang menyaduri subjek vlog termasuklah buku fiksyen, bukan fiksyen, buku audio, buku kanak-kanak dan merentasi pelbagai genre antara lain buku-buku klasik, sastera, fantasi, buku remaja, roman dan sebagainya. Namun dalam banyak-banyak genre ini, buku-buku remaja (young adult) [YA] antara yang menjadi topik tumpuan BookTuber di luar negara.

Dipercayai, pelopor pertama budaya BookTube ini ialah saluran Beautyisntskindeep yang memulakan video resensi pertamanya sekitar tahun 2010. BookTube seterusnya meluaskan komunitinya apabila beberapa BookTuber memulakan BookTube masing-masing antara lain pengarang John Green bersama adiknya Hank Green, mengusahakan saluran Vlog Brothers.

Booktuber lain yang signifikan lain di Amerika Syarikat ialah Thug Notes (kini Wisecrack) yang mengulas buku-buku kesusasteraan klasik dengan gaya gangster tetapi melucukan, dan memberi penonton perspektif baru terhadap teks-teks klasik. BookTuber lain yang turut popular ialah Elizziebooks, Little Book Owl dan juga booksandquills.

Di Malaysia, budaya BookTube ini masih baharu malah komuniti BookTuber masih kecil bilangannya. Namun demikian, berikut, saya senaraikan 7 BookTuber Malaysia yang wajar anda ikuti jika anda seorang bibliofil yang cintakan dunia perbukuan dan mahu mengenali dunia BookTube dengan lebih akrab.

1.   Maliemania

Pemilik saluran Maliemania, Kamalia Hasni memulakan vlog bukunya pada tahun 2014 dengan book haul (tangkapan buku) yang dibeli di Big Bad Wolf 2014 seterusnya aktif memuat naik video-video buku di salurannya sehingga kini. Maliemania lebih banyak memaparkan video-video resensi buku bercorak remaja dan novel-novel cinta (romance) dari luar negara. Maliemania juga sering mengundang rakan-rakan BookTuber lain sebagai tetamu undangan bersama beliau dalam video berbicara tentang buku dan juga sama-sama bermain permainan bercorakkan buku seperti cabaran teka watak dalam buku.

2.  Izzat

Jejaka berusia 20 tahun pemilik nama sebenar Izzat Zainal ini memulakan BookTube beliau bermula 2011 dengan resensi pertama buku fantasi distopia tulisan Suzanne Collins, The Hunger Games. Seperti Maliemania, Izzat juga banyak menumpukan resensi bukunya kepada buku-buku bergenre YA dari luar negara. Video resensi beliau terhadap buku Carry On oleh Rainbow Rowell mencatatkan tontonan tertinggi di saluran tersebut (1300 tontonan). Bukan calang-calang, Izzat sendiri pernah menulis sebuah novel remaja debut-nya, Te Amo, ditulis ketika beliau berusia 14 tahun dan dipasarkan di Amazon!

3.   IniAnwarHadi 

Anwar Hadi ialah seorang YouTuber yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Aktif menyiarkan vlog berunsur kecindan tetapi menjentik di saluran YouTube-nya sejak 2010, baru-baru ini Anwar Hadi juga menyertai komuniti BookTube. Bermula dengan resensi Tuhan Bukan Manusia karya Zharif Zainuddin, Anwar semakin aktif menyiarkan resensi buku atas kesedaran kurangnya video resensi buku-buku yang diterbitkan oleh penerbit tempatan. Video resensi buku Anwar Hadi lazimnya akan cuba menjawab empat persoalan penting iaitu gambaran ringkas buku tersebut, bahagian yang menjadi kegemarannya, bahagian yang kurang digemarinya dan kepada siapa buku-buku tersebut wajar direkomenkan. Buku yang diulas Anwar kebanyakannya terbitan penerbit alternatif seperti Dubook Press, Buku FIXI, Rumah Lipur Lara dan buku-buku yang mencabar daya keintelektualan.

4.   Nabibliomania

Nabibliomania ialah saluran BookTube milik gadis bernama Nabilah. Sama seperti rakan BookTuber-nya, Maliemania, Nabibliomania juga aktif mengulas buku-buku bercorak YA bergenre fantasi dan banyak lagi. Nabibliomania juga pernah memuat naik video reaksinya terhadap budaya popular yang berkaitan dengan buku seperti ulasan filem adaptasi daripada novel seperti Me Before You, malah membuat video reaksi terhadap trailer filem Fantastic Beasts dan Everything, Everything. Gadis penggemar buku-buku siri Harry Potter ini juga memuat naik video berkisarkan tentang sisi peribadi hidupnya.

5.  Husna Reads

Husna, pelajar dalam jurusan Sains Perpustakaan melalui saluran BookTube-nya, Husna Reads, mengulas buku-buku tempatan, kebanyakannya dalam bahasa Melayu. Husna dilihat cenderung membuat video resensi terhadap buku-buku bergenre thriller atau seram. Selain video ulasan buku, Husna juga memuat naik video-video seperti tangkapan buku (book haul), aktiviti nyahkotak (unboxing) pakej buku yang dibeli dan juga travelog berkaitan buku seperti video perjalanan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017. Husna juga aktif menganjurkan giveaway buku-buku percuma kepada pelanggan-pelanggan salurannya.

6.   AwkwardWijaya 

AwkwardWijaya ialah saluran BookTube yang diusahakan oleh gadis berketurunan Filipina-Sunda, Tia Wulansari Wijaya, yang lebih bertumpu kepada karya fiksyen. Berbanding kebanyakan gadis BookTuber lain yang lebih banyak mengulas buku YA, Wijaya fokus kepada buku-buku kesusasteraan tempatan dan luar negara, malah pernah membuat resensi buku-buku karya sastera Inggeris tempatan dan buku-buku sastera Melayu yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris seperti Salina (A. Samad Said), Beauty Is A Wound (Eka Kurniawan) dan Turmoil (Othman Puteh).

7.   Encik Nomik

Novelis dan pekomik, Aman Wan, turut tidak ketinggalan menyerti komuniti BookTube di Malaysia melalui salurannya, Encik Nomik. Nomik, menurut beliau ialah gabungan dua genre yang digemari (dan diceburinya) iaitu novel dan komik. Aman Wan memecahkan video-videonya kepada empat segmen iaitu Reviu Buku (ulasan buku tanpa spoiler), Kupas Buku (mengulas buku dengan lebih mendalam dan kritikal), Borong Buku dan juga Sembang Buku (bual bicara berkenaan isu perbukuan dan dunia pembacaan). Awan Wan juga pernah muncul bersama pekomik Syed Alwi dalam video yang mengkritik muka hadapan buku-buku yang terdapat di kedai buku dalam video ‘Kritik Kaver‘,

Budaya BookTube sebenarnya masih baharu di Malaysia. Jika diperhatikan, kebanyakan BookTuber juga lebih banyak fokus kepada genre-genre yang setumpu seperti buku-buku remaja dan buku-buku fantasi. Hal ini demikian mungkin disebabkan oleh pengaruh BookTube sendiri yang datang daripada gerakan oleh golongan remaja di Barat yang bertumpu kepada genre yang sama.

BookTube ialah satu cara untuk menyampaikan maklumat berkenaan sesebuah buku, untuk menarik pembacaan  masyarakat massa terhadap buku tersebut selain membuka diskusi yang kritikal terhadapnya.  Cara ini dapat menggantikan resensi yang tradisional seperti sedia ada contohnya ulasan buku di majalah-majalah atau surat khabar (dan di Goodreads, meskipun Goodreads juga sudah sedia digital). Namun melalui YouTube, penyampaiannya lebih interaktif, intim dan persuasif.

Semoga lebih ramai BookTuber akan tumbuh di Malaysia dan amalan resensi buku amnya akan lebih berkembang, secara tidak langsung mencambahkan aktiviti-aktiviti yang bercorakkan perbukuan dan pembacaan di pelbagai peringkat di negara kita. ##

Comments

comments