Nisah Haron terima Hadiah Sasterawan Muda MASTERA 2017

JAKARTA: Pengarang wanita terkemuka, Nisah Haron, menerima Hadiah Sasterawan Muda Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA). Pengarang yang juga bekas peguam dan pengusaha kedai buku atas talian diumumkan sebagai penerima bagi tahun 2017 dalam satu sidang MASTERA yang diadakan di Hotel Sari Pan Pacific, Jakarta, hari ini.

FOTO IHSAN: Koleksi gambar peribadi Nisah Haron

Anugerah tersebut sebelum ini pernah diterima beberapa sasterawan Malaysia, antara lain Faisal Tehrani, SM Zakir, Siti Jasmina Ibrahim dan Rahimidin Zahari sejak diperkenalkan pada tahun 2000.

Dalam laporan BH pada hari ini, Nisah berkata, pemilihan beliau sebagai penerima hadiah tersebut merupakan testimoni terbaik untuk memetakan karya Malaysia di peringkat Asia Tenggara tanpa melihat faktor jantina, sebaliknya kekuatan karya itu sendiri.

Beliau juga menegaskan, keupayaan penulis wanita sering tidak dipandang serius dan selalu dipaksa untuk berfikir dan berkarya dalam kerangka lawan jenisnya meskipun pengarang wanita juga mempunyai kekuatan yang tersendiri.

Dengan menyebut beberapa penulis wanita ternama yang lain, Nisah juga menegaskan karya yang dihasilkan oleh setiap pengarang wanita berbeza antara satu sama lain dari segi isu yang disampaikan dan gaya penyampaian.

Dalam satu catatan apresiasi beliau di FB, Nisah berkata, penghargaan yang diterima beliau bukan kecil kepada dunia kesusasteraan malah petanda bahawa sastera Melayu itu signifikan.

“Ini suatu tanda bahawa sastera Melayu itu relevan dan degup jantungnya masih kencang membawa aliran darah peradaban ke serata tubuh kemanusiaan,” catat beliau.

 

Comments

comments