BUKU audio merupakan rakaman suara seseorang yang membacakan buku, selalunya novel, dan disimpan dalam cakera padat atau kaset. Podcast pula ialah fail audio berbentuk digital yang dimuatnaik ke Internet dengan tujuan supaya pendengar dapat strim atau muat turun fail tersebut ke dalam peranti. Kebiasaannya akan dimuat naik secara berkala, dan episod baharu akan dimaklumkan kepada pendengar secara automatik melalui langganan elektronik.

Buku audio merupakan format yang sedang pesat membangun dalam penerbitan buku, dan fenomena ini sedang berlaku pada tahap global. Faktor terbesar perkembangan ini adalah integrasi penggunaan telefon pintar dalam kehidupan seharian dan capaian internet yang semakin baik. Namun pada masa yang sama, format podcast juga semakin mendapat perhatian pengguna. Buktinya, sebanyak 3.3 bilion fail podcast telah dimuat turun pada tahun 2015, dan bilangan tersebut semakin meningkat saban hari.

Apa yang membuatkan format podcast menarik ialah format tersebut bukan sahaja mengandungi dialog, malah terdapat juga isyarat-isyarat audio atau muzik dan skrip yang bergaya dokumentari. Ini membuatkannya lebih menarik perhatian dan melekakan pendengar, dan menjadi pesaing yang hebat kepada format buku audio yang bersifat lebih baku.

Audibooks.com antara platform pelopor buku audio sedunia

Jadi, apa yang patut dilakukan oleh pengkarya dalam persekitaran sebegini? Adakah mereka perlu mengambil kira podcast sebagai satu bentuk ancaman atau peluang? Ian Small, pengurus besar di Audiobooks.com, telah membina kerjayanya dengan menguruskan isu-isu yang berkaitan dengan pertumbuhan pesat pelbagai format audio dalam pasaran. Beliau mempunyai perspektif yang unik bagaimana penulis boleh mengambil kesempatan dalam era perkembangan podcast ini.

PEWAWANCARA: Apakah perbezaan utama antara buku audio dan podcast? Siapakah pendengarnya dan bagaimana khalayak pendengar kedua-dua format yang berbeza ini?

IAN SMALL: Pendengar podcast dan buku audio mempunyai audiens yang lebih kurang sama: secara amnya, golongan muda, berpendidikan dan bekerja yang mendengar melalui telefon pintar sewaktu berulang-alik daripada kerja. Kami mendapati bahawa pendengar-pendengar buku audio lebih cenderung kepada wanita yang sedikit berumur jika dibandingkan dengan pendengar podcast. Hal ini demikian kerana golongan peminat buku audio berpendapatan lebih tinggi; podcast boleh didapati percuma manakala buku audio berbayar.

PEWAWANCARA: Adakah industri buku audio ini melihat podcast sebagai ancaman, atau dua jenis entiti yang berkongsi platform dan kenapa?

IAN SMALL: Saya menerima podcast dengan hati terbuka, kerana format ini membuka pintu kepada buku audio. Kandungan yang mempunyai rakaman suara (kata-kata yang dituturkan) baru-baru ini semakin menarik perhatian dan ramai orang menikmatinya. Ini petanda bagus kerana boleh melonjakkan perkembangan buku audio.

PEWAWANCARA: Adakah tuan melihat format buku audio semakin rancak bersaing dengan podcast, atau sebaliknya yang berlaku?

IAN SMALL: Saya melihat sebaliknya yang berlaku: podcast sedang berusaha kuat untuk mengejar ketinggian kualiti produksi dan kandungan yang telah ditawarkan oleh buku audio sejak sekian lamanya. Podcast sekarang bukan seperti dahulu – bilamana hanya kawan-kawan bersembang mengenai sesuatu topik di depan mikrofon – kini podcast dihasilkan dengan baik sekali, termasuk penulisan skrip yang padat dan kemasukan naratif fiksyen yang semakin banyak. Adakalanya podcast merentangi format sepenuhnya, sebagai contoh buku audio Welcome to Night Vale yang dihasilkan berdasarkan podcast dengan judul yang sama.

PEWAWANCARA: Apa yang ditawarkan oleh buku audio yang tidak ditawarkan oleh podcast?

IAN SMALL: Buku audio akan sentiasa ada keupayaan untuk menghidupkan teks yang sedia ada kepada media yang berbeza. Perasaan apabila sang penulis membacakan sendiri buku atau memoir yang ditulisnya, dengan suara mereka sendiri, tak boleh dihuraikan dengan kata-kata; seolah-olah mereka berada di sisi kita, meluahkan perasaan dan berkongsi rahsia mereka dengan kita. Keintiman sebegini tidak boleh dikomunikasikan melalui teks. Dan semestinya, nilai produksi buku audio yang tinggi adalah satu kelebihan jika dibandingkan dengan podcast, lebih-lebih lagi jika kita melihat trend terkini, pendengar boleh memilih jantina pembaca buku audio yang diadaptasikan daripada novel kegemaran mereka dengan penambahan kesan sinematik audio, ataupun buku pengembaraan gaya ‘pilih-sendiri’ (customized journey). Semua ini memerlukan pelaburan yang besar daripada pihak penerbit.

PEWAWANCARA: Antara kedua-dua format ini, yang mana satu menjadi pilihan anda?

IAN SMALL: Tentulah buku audio – tetapi, saya mengaku saya pilih kasih! Saya suka buku audio kerana dapat memberikan satu pengalaman yang mengasyikkan, dan buku itu seolah-olah hidup. Namun saya masih menikmati podcast kerana podcast menawarkan pelbagai jenis pandangan berbeza mengenai sukan, isu semasa dan budaya popular dalam masa yang singkat. Podcast amat membantu supaya orang pertengahan umur macam saya ini tak ketinggalan zaman.

PEWAWANCARA: Bagaimana industri ini telah berubah jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya?

IAN SMALL: Buku audio yang dihasilkan pada tahun 2016 amat besar jumlahnya – naik mendadak dibandingkan dengan tahun sebelumnya – pada saya ini sangat hebat! Jumlah buku audio yang bakal dihasilkan pada tahun 2017, jika mengikut unjuran ini, akan lebih besar daripada jangkaan asal. Dengan evolusi media yang semakin berkembang pesat untuk memenuhi ruang-ruang masa kita, contohnya seperti masa yang dihabiskan di rumah dan dalam kereta, merupakan faktor terbesar yang menyumbang kepada trend ini, dan ini merupakan petanda yang amat baik untuk perkembangan industri ini.

Sebagai kesimpulan, pengkarya harus mengambil apa sahaja peluang untuk mengembangkan lagi capaian karya mereka kepada pelbagai jenis media, justeru buku audio dan podcast merupakan capaian ke ruang audio. Dengan teknologi perakaman audio yang semakin berpatutan kosnya, sesuatu yang amat rugi jika pengkarya tidak mengambil kesempatan ini untuk meluaskan capaian kreativiti mereka ke ruang-ruang yang masih ada potensi untuk berkembang.

 

* Artikel ini diterjemah dan diadaptasikan daripada artikel asal “Podcasts Vs. Audiobooks: Threats or Opportunities for Authors?” di DBW.

** Artikel asal boleh diakses di sini. 

Comments

comments