Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

PADA Pesta Buku Frankfurt baru-baru ini, satu forum khas AR in Publishing: Disruption or Opportunity telah memberi fokus istimewa kepada teknologi AR (augmented reality atau realiti terimbuh). Dalam forum itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron mengulas harapan cerah teknologi AR yang dikatakan mampu menjana semula kerancakan industri buku negara.

Penggunaan teknologi AR dalam bidang penerbitan tidak memerlukan dana yang besar, menjadikannya satu inovasi yang sangat berguna. Sesiapa yang ingin menghasilkan sebuah buku berteknologi AR hanya memerlukan sebuah perisian AR dan komputer yang mempunyai sambungan internet. Oleh sebab itu, kita dapati para penerbit menyambut inovasi ini dengan tangan terbuka.

Meskipun penggunaan teknologi dan internet berlebihan tidak dapat dinafikan bahayanya, beberapa kajian mendapati penggunaan teknologi AR dapat membantu kanak-kanak prasekolah membina kemahiran berbahasa, menggalakkan keterlibatan kognitif dan pemikiran artistik.

Teknologi AR dalam buku bergambar kanak-kanak membenarkan grafik dan informasi janaan komputer bergabung dengan bahan bercetak, menambah pengalaman pelajar dan membantu tugas pengarahan guru. Contohnya, kanak-kanak dapat melihat objek yang diceritakan guru dalam tiga dimensi dan memanipulasi gambaran maya ini dengan pergerakan semula jadi. Kanak-kanak juga dapat mendengar audio, menonton video atau mencari barangan tersembunyi secara maya.

Seiring dengan meluasnya penggunaan AR dalam industri penerbitan buku, penyelidikan ke atas teknologi ini mula menjadi tumpuan dalam kalangan para penyelidik. Sorotan kepada beberapa kajian terkini menunjukkan beberapa dapatan menarik yang boleh dijadikan panduan.

Baru-baru ini, sekumpulan ahli akademik Turki telah mengelolakan satu kajian untuk menilai sikap 92 orang kanak-kanak berusia antara lima hingga enam tahun terhadap buku bergambar AR, juga dikenali dengan istilah Augmented Reality Picture Book (ARPB). Antara buku-buku bergambar yang dipilih oleh pakar-pakar khusus berjudul Generous Sultan, Cheerful Butterfly, Kaloghlan (watak fiksyen Turki), Two Opposite Dogs, dan Ceren’s Diary.

Integrasi teknologi baharu ini dinilai melalui pemerhatian ke atas sikap kanak-kanak terhadap ARPB, ujian pemahaman cerita, serta temu bual.

Keseronokan vs Kegembiraan ARPB

Sikap kanak-kanak terhadap ARPB dilihat daripada dua sudut. Pertama, keseronokan yang dialami semasa membaca dan berinteraksi dengan ARPB, dan kedua, kegembiraan yang dikecapi hasil melakukan aktiviti menggunakan ARPB.

Keseronokan yang kanak-kanak alami semasa menggunakan ARPB sangat ketara, terutama kerana wujud objek maya tiga dimensi dan bunyi interaktif. Menilainya daripada sudut kegembiraan, kanak-kanak yang menjalani aktiviti pembelajaran dalam suasana gembira menurut kajian terdahulu, akan mendapat pengalaman belajar yang positif, lebih mengingati maklumat yang dipelajari, berkeyakinan diri dan membuka diri kepada orang lain serta persekitaran.

Namun para penyelidik ini menekankan perbezaan antara keseronokan dan kegembiraan. Keseronokan dilihat sebagai sementara dan tidak kekal, tetapi kegembiraan memberikan kepuasan jangka panjang.

Dapatan kajian menunjukkan kanak-kanak sangat menggemari ARPB kerana mereka menganggap pengalaman itu sebagai ajaib. Buku yang boleh berkata-kata dan watak dalam buku yang tiba-tiba hidup sangat mengujakan bagi kanak-kanak. Mereka jatuh hati dengan animasi dan pelbagai bunyi menarik yang boleh didengar.

© EdSurge / edsurge.com

Walau bagaimanapun, kegembiraan membaca ARPB yang diikuti dengan meningkatnya daya faham dan daya ingat mereka tentang watak dan jalan cerita, tidak banyak membantu kanak-kanak ini mengenal pasti tema atau pengajaran yang hendak disampaikan melalui cerita.

Para penyelidik merumuskan, ini boleh jadi kerana mereka hanya menjadi penonton dan pendengar sahaja, dan tidak terlibat sebagai pencerita. Kadar keseronokan kanak-kanak yang keterlaluan semasa berinteraksi dengan ARPB juga didapati mempengaruhi kadar kefahaman – menyebabkan kefahaman itu menurun. Menurut para penyelidik Turki ini, lebih kajian patut dibuat tentang kaitan antara keseronokan dengan kesan ke atas pembelajaran.

Beri kesan negatif

Selain itu, interaksi kanak-kanak dengan bahan digital juga perlu mengambil kira kesan-kesan negatif yang lain, antaranya kesan fizikal (rangka otot, kegemukan, tekanan visual, dan lain-lain), kesan emosi dan sosial (pengasingan sosial, kurang motivasi diri, eksploitasi komersial, dan lain lain), kesan intelektual (kurang kreativiti, kemahiran literasi tergugat, imaginasi terbantut, dan lain-lain) serta kesan moral (keganasan dalam talian, hilang konteks moral dan etika, dan lain-lain).

Oleh sebab platform ARPB adalah digital, kumpulan penyelidik dari Turki ini menyarankan agar penggunaan ARPB dibuat dalam keadaan terkawal dan tidak berlebihan, mengambil kira aspek-aspek positif yang dapat membantu pembelajaran kanak-kanak tanpa mengabaikan kesan-kesan sampingan yang negatif dan meluas.

##

 

Comments

comments