Asyraff Safar Ad-Din

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan -- penulis non-fiksyen & pengulas media sosial.

IBARAT kejadian air laut yang ada pasang dan surutnya, siri animasi di Malaysia seakan-akan tenggelam ekoran kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 yang memberi kesan kepada seluruh warga penerbitan animasi tempatan pada waktu itu.

Filem animasi Silat Legenda yang ditayangkan pada 27 Ogos 1998 bagaikan tidak mendapat sambutan daripada penonton kerana hanya berjaya mengutip sebanyak RM 141,700 sahaja manakala nasib filem animasi Putih yang diterbitkan pada 2001 juga menerima nasib yang sama dengan kutipan sebanyak RM 392,020.

Sejak itu, dunia animasi tempatan dilihat suram daripada karya-karya yang mampu mencetuskan fenomena dan kegilaan dalam kalangan peminat siri kartun tempatan seperti sebelum ini sehinggalah munculnya siri animasi Upin dan Ipin sekitar tahun 2006 terbitan produksi Les Copaque Productions (LCP) Sdn. Bhd.

Berbeza dengan animasi Kampung Boy daripada karya Datuk Lat yang berkisar tentang kehidupan seorang budak kampung, siri animasi Upin dan Ipin pula mengangkat tema kehidupan seharian kanak-kanak tadika dari pelbagai kaum yang tinggal di kampung, ternyata memberi satu evolusi baharu dalam memikat hati penonton tanpa mengira peringkat umur.

Dijayakan oleh dua orang adik-beradik kembar sebagai watak utama dan disokong oleh beberapa karakter lain seperti Opah, Kak Ros dan rakan-rakan seusia iaitu Mail, Ehsan, Fizi, Mei Mei dan Jarjit, siri Upin dan Ipin berjaya mewarnai semula siri animasi di Malaysia.

Selain membawa penonton dalam realiti sebenar kehidupan kanak-kanak dalam kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia, penghasilan siri Upin dan Ipin yang dibuat dalam bentuk 3D menjadikan animasi ini bertambah istimewa.

Penghasilan animasi Upin dan Ipin tidak ditiru atau dicedok daripada mana-mana animasi sedia ada dari dalam mahupun luar negara sekali gus menjadikannya suatu penghasilan produk yang bersifat asli.

Paling menarik, siri animasi itu telah ditayangkan di 14 buah negara termasuk di Turki selain mencatatkan rekod keuntungan tertinggi dalam laman perkongsian YouTube dari seluruh Asia Tenggara oleh Head of Global Content yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Seiring dengan peredaran zaman, kualiti produk animasi yang diterbitkan semakin dipertingkat dan berubah menjadi lebih baik, malah kerajaan menerusi Multimedia Development Corporation (MDeC) juga banyak menyokong penggiat animasi tempatan.

Biarpun perkembangan produk animasi tempatan agak lambat berbanding di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat dan Jepun, ketika ini sudah banyak syarikat penerbitan produk animasi tempatan yang telah diwujudkan mampu menjadi saingan kepada nama-nama besar pengeluar animasi di dunia.

Kelahiran Filem Animasi

Tidak hanya menembus siaran ke kaca televisyen, penerbit animasi di Malaysia mula mengorak langkah dengan membuat percaturan. Mereka berani untuk membawa dari siri animasi ke layar perak.

Menamatkan zaman animasi 2D, kini filem animasi di Malaysia lebih fokus ke arah melahirkan filem-filem daripada konsep 3D pula seperti Geng: Pengembaraan Bermula, Ribbit, Boboiboy: The Movie dan beberapa lagi yang lain.

Dimulakan dengan Geng: Pengembaraan Bermula terbitan Les Copaque, filem ini berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM 6,314,526. Jenama animasi ini dilihat sebagai nama yang sudah lama Upin dan Upin bertapak di Malaysia menjadikan filem ini berjaya meraih kutipan sebanyak itu.

Seterusnya pada tahun 2012, filem animasi kembali menjadi pertaaruhan kebanyakan syarikat penerbitan animasi. Antara filem animasi yang menjengah ke panggung wayang adalah Seefood terbitan Silver Ant dan filem War of the Worlds: Goliath terbitan yang bertemakan sains fiksyen.

Kemudian, pada tahun 2014, KRU Studios yang juga merupakan salah sebuah syarikat yang mempunyai kelengkapan infrastruktur teknologi terkini di Malaysia telah menghasilkan sebuah filem animasi Ribbit yang mendapat kutipan sebanyak RM1,116,326.

Terbaru, siri animasi Boboiboy yang mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2011 telah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton. Mempunyai keunikan yang tersendiri, Boboiboy berjaya memukau setiap lapisan umur untuk turut serta menonton di kaca televisyen.

Tidak hanya berhenti setakat itu, produksi Animonsta Studios telah menggerakkan tenaga kerjanya untuk menghasilkan filem Boboiboy The Movie sekitar tahun 2013 yang lalu. Hasil kerja dan berkat kesabaran setelah berjaya menyiapkan keseluruhan kerja pada pertengahan Februari 2016, akhirnya Boboiboy The Movie memulakan tayangan sulungnya di pawagam bermula 3 Mac pada tahun yang sama.

Animonsta berjaya memecah rekod Malaysia, tampil dengan filem animasi pertama dan kutipan kedua tertinggi di negara sebanyak RM17.48 juta.

Comments

comments