Borhan Hadi

Graduan sains kesihatan dan penterjemah bertauliah. Aktif menulis ulasan buku di Goodreads

PERNAHKAH anda terfikir suasana kehidupan pada zaman tanpa visual rekaan? Bukan sahaja zaman tanpa lukisan digital di poster atau gambar bergerak di papan skrin, tetapi juga maklumat-maklumat yang disampaikan melalui medium tersebut. Zaman tanpa tanda pagar di Twitter, petikan ‘like’ pada Instagram dan pos facebook. Juga, zaman tanpa televisyen dan wayang.

Inilah latar hidup dan suasana kemasyarakatan milik nenek moyang kita dahulu kala. Dari situlah naluri dan perasaan terdalam mereka diungkapkan melalui permainan-permainan bahasa dan susun rangkap kata. Melalui mereka kita dianugerahi warisan seni-seni berbahasa berikut: puisi, pantun, syair, gurindam, nazam, sajak dan seloka.

Apa Bezanya?

Masih ramai dalam kalangan masyarakat kita yang mengguna pakai bentuk-bentuk bahasa berseni seperti di atas. Contoh yang paling terkehadapan tentulah pantun dan puisi moden atau sajak. Hal ini menunjukkan betapa tradisi Melayu tetap malar segar walau zaman jauh berubah.

Pantun dengan skema rima a-b-a-b memang mudah dikenali dan mudah pula untuk ditiru. Tambahan pula satu-satu rangkap pantun boleh berdiri dengan sendiri tanpa perlu dihafal pantun sesudahnya ataupun kemudiannya.

Akan tetapi falsafah yang melatari pantun kian terabai penghayatannya. Pantun seharusnya datang bersama pembayang dan maksud. Sewaktu karakter Nordin Ahmad dan Latifah Omar saling berpesan kepada satu sama lain supaya sentiasalah menjenguk yang satu kepada yang lain dalam filem Gurindam Jiwa (terbitan 1966), maksud tersebut telah terlebih dahulu diisyaratkan dalam pembayang pantun tersebut:

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Padi seperti adatnya dalam kalangan petani, bukanlah dituai selepas semuanya masak. Kalau semuanya sudah kekuningan itu tandanya sudah terlambat. Nanti belum sempat mengetam padi-padi sudah layu di tangkai. Faktor itulah yang cuba dicuplik pantun ini. Hubungan cinta antara sang kekasih perlu dibajai sebaiknya pada waktunya sebelum hasil boleh dituai.

Berlainan pula dengan syair. Rima akhir syair ialah a-a-a-a.

Seperti pantun, satu rangkap syair memang terdiri daripada empat baris, akan tetapi syair selalunya disampaikan dalam satu rangkaian naratif yang lebih besar selain syair tidak mengandungi sebarang pembayang, hanya maksud. Hal ini menyukarkan syair untuk dihafal dan dikongsi seperti halnya dengan pantun.

Kenyataan itu diungkapkan tanpa kita mengurangkan nilai keasyikan yang dinikmati pembaca sewaktu menekuni sesebuah syair.

Dalam Syair Si Tenggang Anak Derhaka umpamanya, pembaca tidak akan dapat menghayati klimaks kisah tersebut tanpa rentetan peristiwa yang terakam dalam bait sebelumnya:

Sebelum Tenggang menjawab kata,
terdengar suara isteri jelita,
lihatlah kanda perempuan tua,
gila agaknya mengaku bonda.

Sudah bertahun bertambahlah umur,
ibu yang tua semakin uzur,
kulit di badan hodoh dan kendur
malulah Tenggang hendak menegur.

Mendengar isteri berkata begitu,
Tenggang sungguh merasa malu,
terus dia menghalau ibu,
pergi jauh dari situ.

Betapa hancur hati si ibu,
bagai kaca terhempas ke batu,
anak seorang yang amat dirindu,
tidak disangka begini laku.

Berkayuh ibu balik ke pantai,
dengan langkah lemah dan longlai,
hancur hati berkecai-kecai,
air mata jatuh berderai.

Ibu bermohon kepada Tuhan,
jika benarlah anak kandungan,
dengan susuku aku besarkan,
anak yang derhaka tunjukkan balasan.

Tiba-tiba turunlah ribut,
guruh berdentum sahut-menyahut,
orang di bahtera kelam-kabut,
masing-masing menjerit takut.

Tenggang tersedar kejamnya laku,
barulah berteriak memanggil ibu,
ibu sudah tiada di situ,
seluruh bahtera menjadi batu.

Puisi-puisi tradisional lain tidak mempunyai sebaran luas seperti yang di atas. Mungkin ada yang menyangka bahawa faktornya ialah kaedah penulisannya yang memerlukan bakat semula jadi. Andai diletakkan bersebelahan dengan pantun atau puisi moden, dari sudut susunan kecanggihan puisi-puisi tradisional tidak lebih kompleks daripada pantun. Kita boleh mulakan dengan gurindam

Bentuk-bentuk lain

Gurindam selalunya terdiri daripada dua baris sahaja, dengan rima a-a. Tiada konsep pembayang-maksud seperti pantun, sebaliknya gurindam mementingkan pola syarat-jawab atau sebab-akibat. Isi-isinya ialah nasihat dan pedoman yang jelas manakala tema yang ditonjolkan pula hampir semuanya pemikiran dan falsafah keagamaan dan Islami.

Ini boleh dilihat pada Gurindam Dua Belas tulisan Raja Ali Haji tersohor itu yang berbunyi antaranya,

Hukum adil atas rakyat,
Tanda raja beroleh inayat.

Kasihkan orang yang berilmu,
Tanda rahmat atas dirimu.

Hormat akan orang pandai,
Tanda mengenal kasa dan cindai.

Akan tetapi terdapat juga gurindam tidak terikat yang ditulis tanpa bentuk atau skema rima tertentu. Gurindam jenis ini sukar dikenal pasti. Hanya bahasa dan isinya -selalunya padat dan bernas- yang memberikannya jenama gurindam tersebut.

Hal ini menyebabkan gurindam apabila dibandingkan dengan seloka dianggap sebagai “sama sahaja pada fahaman orang Melayu” menurut pendeta Zaaba. Walhal gurindam sama ada dalam bentuk terikat atau tidak terikat, isinya berunsur nasihat dan falsafah manakala seloka isinya gurauan, ejekan atau sindiran yang selalunya merupakan kritikan sosial.

Bersampingan dengan syair dan gurindam, berdirinya nazam.

Nazam menyerupai gurindam dari sudut satu rangkap nazam terdiri daripada dua baris serta pola pembayang-maksud adalah tidak terpakai bagi nazam. Nazam juga menyerupai syair dari segi satu rangkap nazam tidak boleh berdiri sendiri.

Perbezaan timbul apabila nazam dibandingkan dengan bentuk puisi-puisi tradisional lain. Kedua-dua baris nazam ialah berupa maksud dan rimanya lebih longgar samada a-a, a-b, c-b, d-b atau d-e.

Perhatikan Nazam Alif Ba Ta yang berikut:

Allah menjadikan sekalian alam
Langit dan bumi, laut yang dalam

Baru hukum akal
Qidam dan Baqa sedialah kekal

Tak dapat lagi hendak disangkal
Jika hendak faham kajilah akal

Tajamlah akal menuntut ilmu
Supaya jangan kita tersemu

Rajinkan belajar jangan jemu
Pada yang lain jangan diramu

Sabil tak billah liku bahri
Ilmu pengetahuan wajib dicari

Seperti yang dapat diperhatikan, nazam begitu sarat dengan tema keagamaan seperti puji-pujian terhadap Allah SWT dan selawat ke atas Nabi SAW. Perkataan Arab juga banyak digunakan. Lantaran itu nazam seperti juga syair bukti gejala Arabisasi positif yang berlaku ekoran kedatangan pendakwah Islam dari Timur Tengah pada abad ke-16.

Tidak jarang, jurang budaya Arab-Melayu tersebut terserlah sewaktu istilah-istilah Arab baharu diperkenalkan ke dalam bahasa tempatan seperti yang ditemukan dalam nazam ‘Aqidat al ‘Awwam’ (ditemui pada 1879M):

Akan nadham ini Aqidat al ‘Awwam
Daripada yang wajib bagi agama sudah tamam

Terjemah nadham tiada boleh disebutkan
Kerana gharib lagi miskin kehinaan

Akhir sekali ialah seloka. Beberapa ciri seloka telah diisyaratkan sebelumnya dan ciri tersebut, iaitu membongkar dan mengkritik kepincangan dalam masyarakat, memanglah ciri seloka yang paling ketara tetapi puisi jenis ini juga boleh dimanfaatkan untuk tujuan yang kurang serius seperti usik-mengusik sesama taulan. Adapun dari sudut rima, seloka tiada bunyi hujung yang tetap. Bilangan baris seloka juga tidak tetap malah tidak terhad.

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang.

Andai diteliti, bentuk-bentuk puisi moden terutamanya yang digubah oleh aktivis-aktivis politik sebenarnya sangat mirip dengan definisi dan ciri seloka tradisional dan itulah pemerhatian yang telah diutarakan oleh Sasterawan Negara, Zurinah Hassan.

Nasib Puisi-Puisi Tradisional

Dunia moden memang kurang bersimpati dengan puisi-puisi tradisional. Kemaraan seni visual moden antaranya telah meragut keupayaan berimaginasi masyarakat Melayu moden. Seni menglipur lara yang terkandung dalam syair, gurindam dan nazam hilang kerelevenannya.

Perkara-perkara yang menyinggung perhatian orang zaman sekarang juga tidaklah sama seperti orang dahulu kala. Keprihatinan tentang falsafah hidup, kelestarian adat, hidup berukun-tangga dan bermuafakat, serta nilai budi pekerti rata-ratanya kian sirna daripada semangat metropolitan nan moden.

Tambahan pula, tiada definisi yang teguh bagi setiap bentuk puisi tersebut. Hal ini menyukarkan usaha pemeliharaan. Syarat-syarat rima selalunya tidak tetap, dan jenis puisi-puisi tradisional lebih sering dikategorikan berdasarkan isi-isi utamanya. Andai orientasi tema beralih dalam sesebuah puisi yang panjang, kecelaruan penamaan berlaku.

 

Puisi tradisional dalam era baru

Pokok utama tentulah penggunaan semberono masyarakat terhadap nama-nama bagi jenis puisi tradisional tersebut. Prof Mohd Taib Osman ada menyatakan bahawa orang Melayu silam memang tidak begitu berhati-hati tentang definisi sesuatu perkara sehingga sukar untuk generasi dinihari membuat definisi yang jitu tentang bentuk-bentuk puisi lama.

Malang sekali, kecemerkapan tersebut berlarutan sehingga ke dinihari. Gurindam Jiwa (1966) dendangan Nordin Ahmad hampir pasti bukanlah sebuah gurindam hatta jika dinilai dari segi definisi.  Begitu juga seloka Aziz Jaafar bersama Normadiah dalam filem Norlela (1962) adalah betul pada nama cuma dari segi isinya bukan bentuknya. Dapatan yang serupa terpakai untuk Nazam Lebaran (2003) nyanyian Siti Nurhaliza.

Pada masa yang sama, melodi-melodi syair lama juga bolehlah disifatkan sebagai pupus. Baik Irama Selendang Delima, Irama Dandan Setia, Irama Narasi mahupun gubahan modennya Gurindam Bangsawan, begitu sedikit generasi muda yang pernah mendengarnya apatah pula mengingatnya.

Ini seharusnya menggugahkan kita untuk memulih aspek lisan –melodi, seni bercerita– dalam tradisi sastera tulisan.

Seniman Agung P. Ramlee telah menunjukkan kita jalan tersebut sewaktu beliau menyerapkan irama-irama tradisional dalam lagu-lagu yang dipersembahkan dalam filemnya.

Jangan terkejut, lagu Tolong Kami Bantu Kami daripada filem Tiga Abdul (1964) iramanya berasal daripada nazam lama ‘Naam Sidi’.

Hakikat bahawa beberapa lagu-lagu nazam masih terpelihara dalam institusi-institusi pengajian agama secara tradisional juga perlu dilihat sebagai isyarat buat masa hadapan yang lebih cerah.

Ada yang berpendapat kedatangan bentuk-bentuk ekspresi baharu seperti haiku dan rap bakal menggugat seni-seni tradisional tadi. Hal itu tidaklah betul sepenuhnya kerana apa yang dapat dilihat ialah puisi-puisi tradisional tersebut masih belum dimanfaatkan sepenuhnya

Dalam diaspora Melayu, Dr Azhar Ibrahim seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) ada menukilkan syair berjudul Syair Si Malim Khadam. Isinya mengandung persoalan falsafah moden yang segar, kebugaran semangat dan nilai-nilai kemanusiaan serta wacana-wacana liberatif. Syair ini ada disisipkan dalam bukunya, Cendekiawan Melayu Penyuluh Emansipasi (2014).

Manakala jiran seberang kita telah lama rancak memeriahkan bahasa Melayu, jika tidak lebih. Bahkan seni mantera juga menerima rejuvenasi di tangan penyair Melayu dari Riau, Sutardji Calzoum Bahri

Ternyata bahawa seni-seni berbahasa yang lahir daripada tanah ini masih menaruh khazanah berharga buat anak-anaknya.

Lagipun, bukankah sudah resminya sirih untuk pulang ke gagang?

Comments

comments