Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

KHALAYAK pembaca Malaysia heboh setiap kali buku himpunan ungkapan selebriti seperti Fattah Amin dan Hafiz Hamidun terbit di pasaran. 99 Kata-kata #Qalifmoden (2017) dan Cerita Hati Hafiz Hamidun (2016) menjadi tular dengan pelbagai pandangan, sama ada positif mahupun negatif.

Pada awalnya, kebanyakan ungkapan pilihan selebriti ini terbit di media sosial, kemudian dikumpul dan diterbitkan semula dalam bentuk bercetak bertemankan foto mereka. Penerbitan buku-buku ini dianggap lebih banyak bersandar kepada populariti pengungkap, berbanding keunikan ungkapan yang dihimpunkan.

Namun, para peminat yang setia memberi sumbangan besar kepada jualan buku, sehingga salah satunya menggondol hadiah Kategori Buku Popular pada Anugerah Buku Negara 2017. Ungkapan daripada kedua-dua buku turut dipanjangkan di banyak media sosial.

Fattah Amin menerima Anugerah Buku Negara pada tahun ini– Gambar: BERNAMA

Ternyata himpunan ungkapan ini menjadi sambutan di kalangan ramai orang kerana begitulah sifat aforisme; ia senang dihafal dan disampaikan kepada pendengar yang lain. Malah kata seorang ahli akademik Manfred Wolf, ungkapan seperti ini jauh jangkauannya sehingga sanggup sampai kepada mereka yang tidak suka membaca.

Aforisme menurut ensiklopedia Britannica ialah satu bentuk pengungkapan ringkas sesuatu doktrin, prinsip atau kebenaran yang diterima umum lalu disampaikan dalam bentuk kenyataan bernas yang mudah lekat di fikiran.

 

Lima ciri aforisme

James Geary menyenaraikan lima ciri aforisme dalam bukunya The World in a Phrase yang terbit pada tahun 2005.

Pertama sekali, ungkapan aforisme sifatnya pendek sahaja. Pendek di sini menghimpunkan ciri tepat dan ringkas. Sebuah buku aforisme yang ditulis seorang rahib pada hujung abad ke-14 menerangkan rasional kependekan ini.

Kata rahib itu, ketika berlaku kebakaran yang memerlukan tindakan segera dan penting, orang yang meminta tolong tidak akan membuang masa menjerit perkataan yang panjang tetapi hanya akan menyebut, “Tolong! Tolong!”

Di sini gambaran fungsi aforisme begitu jelas; tujuannya menyampaikan hal-hal penting dan perlu difahami segera.

Selain pendek, ungkapan aforisme harus berbentuk muktamad dan sahih. Ciri yang perlu ada pada seorang pengungkap aforisme tidak jauh beza dengan ciri penyusun kamus. Dia perlu yakin dengan makna yang disusun, namun tidak teragak-agak pula untuk mengakui kemungkinan wujud kesilapan pada ungkapannya. Apabila pengungkap sudah melontarkan ungkapan, bererti dia mahu pendengar menerimanya tanpa dolak-dalih dan soal jawab.

Oleh sebab itu, aforisme sangat sering ditemui dalam bentuk ‘x ialah y’.

James Geary — Gambar: Open Book Toronto

William Hazzlitt ialah seorang pengumpul buku yang terkenal dengan ungkapan aforisme yang sebegini:

“Satu-satunya kejahatan yang tidak boleh dimaafkan adalah kepura-puraan. Taubat orang yang berpura-pura itu sendiri adalah satu kepuraan-puraan.”

Seterusnya, aforisme selalu bersifat peribadi. Di sini letak keistimewaannya kerana ia menggambarkan falsafah dan prinsip yang dipegang oleh pengungkap.

Logan Pearsall Smith yang menyusun sebuah antologi pepatah Inggeris pada tahun 1947 mencatatkan, “Setiap pemikiran dicap dengan cap kempa minda yang memikirkannya.” Seorang pemikir agama tentu memilih untuk mengungkapkan tentang Tuhan dan ketuhanan, manakala seorang ateis mungkin mengkritik konvensi keagamaan kerana tidak percaya mengenainya.

Selain itu, ungkapan aforisme mesti mempunyai teknik tertentu yang menjadikannya unik. Penggunaan paradoks terutama sekali, sangat terkenal dalam aforisme. Apabila membacanya, kita seolah-olah menonton persembahan silap mata; pada mulanya ia mengejutkan, kemudian kita berasa teruja, dan akhir sekali kita tertanya-tanya cara ahli silap mata itu membuatnya. Seperti ungkapan seorang pakar aforisme Perancis, Chateaubriand:

“Cinta kian berkurang apabila ia berhenti bertambah.”

Akhir sekali, James Geary berpendapat aforisme perlu mengandungi falsafah tertentu. Ungkapan ini sepatutnya mampu memberi pencerahan mengenai hal-hal seputar hidup manusia dan membantu orang lain untuk melihat kehidupan dengan lebih bernas serta menambah nilainya. Keperluan manusia kepada kata-kata hikmah wujud sejak zaman silam lagi, malah ada ungkapan yang merentas ribuan tahun tegar sampai kepada kita hari ini.

 

Aforisme dalam kebudayaan dan peradaban

Ungkapan bernas ini yang turut wujud dalam budaya Arab-Islam dinamakan Jawāmi’ al-kalim. Ia bukan sesuatu yang asing kerana banyak hadis Rasulullah SAW yang diungkap dalam bentuk begini. Walaupun singkat, tetapi sabdanya menghimpunkan makna yang dalam, luas dan menusuk.

Selain Rasulullah SAW, antara sahabat yang terkenal dengan keindahan susunan kata ialah Saidina Ali bin Abi Talib. Nahj al-Balaghahnya sampai sekarang masih diterbitkan dan dibaca ramai orang.

Peradaban China pula memiliki ungkapan Lao-Tzu, Buddha dan Confucius yang melalui perjalanan panjang ribuan tahun sebelum sampai kepada pembaca moden.

Dunia Barat berbangga dengan ungkapan daripada Injil, juga ahli falsafah mereka seperti Diogenes, Epicurus, Seneca, Epictetus, dan Marcus Aurelius. Pada zaman itu, aforisme turut berfungsi sebagai medium menyampaikan ajaran falsafah.

Manakala dalam bidang sastera Barat, Shakespeare cukup terkenal dengan kebolehan berkarya dengan menyelitkan banyak aforisme. Sastera Islam sememangnya tidak asing lagi dengan himpunan kata-kata hikmah dalam pelbagai karya.

Hari ini, ungkapan yang dahulu dihafal dan ditulis tangan dalam manuskrip mula diterbitkan penuh berwibawa, dengan foto dan halaman berwarna-warni.

 

Buku aforisme di Malaysia

Buku aforisme kini semakin banyak terbit di Malaysia. Mutakhir, kita ada The Wit and Wisdom of Dr. Mahathir Muhammad dan juga Catatan Matluthfi yang terbit pada tahun 2014. Seterusnya pada tahun 2015 kita dihidangkan Kanvas oleh pendakwah Muharikah, Love Like Rumi oleh Haidar Bagir, dan 365 oleh Dr. Anwar Fazal.

Love Like Rumi terbitan Nubook — Gambar: Dubook Press

Ini disusuli beberapa himpunan ungkapan selebriti seperti yang disebutkan di atas. Ungkapan bernas, indah, padat dan mudah diingat ini mencapai populariti memberangsangkan kerana secara semula jadinya ia sesuai dengan jiwa manusia. Ditambah dengan beberapa faktor sampingan, seperti wajah yang kacak atau kerjaya yang popular, para pembaca cepat tergiur membeli.

Pertimbangan isi kandungan sudah tentu perlu menjadi keutamaan dan tanggungjawab sosial penerbit. Apabila meneliti semula sejarah panjang himpunan aforisme, wajar untuk meletakkan penanda aras supaya tidak terlalu jauh ketinggalan daripada kehebatan himpunan aforisme peradaban silam sebelum ini.

Kata James Geary dalam bukunya lagi, aforisme adalah bagasi tangan kesusasteraan. Ringan dan padat, aforisme dengan mudahnya dapat menempati petak barang dalam akal kita dan menjadi tempat simpanan bekalan penting demi mengharungi hari yang sukar di pejabat atau sunyi jiwa di tengah malam. Tidak salah memilih barang yang paling baik untuk menempati tempat yang paling mulia.

Demikian aforisme dengan caranya tersendiri, menambah warna-warni dunia buku dan kehidupan. ##

Comments

comments