Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

NOVEL-novel dan komik yang mempunyai ramai penggemar di serata dunia, selain pengisian yang berkualiti, sering kali menjadi perhatian para sutradara, tidak kira dalam mahupun luar negara, untuk dijadikan filem hit mereka.

Hal ini secara tidak langsung menjadi pemangkin kepada kemeriahan industri perfileman dan perbukuan. Apabila disebut mengenai filem bersiri yang bergenre dunia magis, pengembaraan, dan bildungsroman (perkembangan psikologi dan moral watak dari kanak-kanak hingga dewasa), Harry Potter, oleh pengarang sohor, J.K. Rowling, hampir seluruh dunia mengetahui akan kisah fantasi yang menarik ini.

Kisah tersebut bermula daripada novel bersiri yang tebal, penuh dengan idea pengisahan. Selain itu, genre filem yang hampir sama, juga tidak asing dalam kalangan penggemar filem, trilogi The Lord of the Rings, hasil tulisan J. R. R. Tolkien juga terlebih dahulu melalui liku-liku dan proses pembikinan filem yang tersendiri.

Keterujaan ini diteruskan lagi dengan penghasilan filem-filem berdasarkan watak adiwira. Paling  popular adalah pertaruhan dua nama besar dalam industri komik Amerika Syarikat, iaitu DC Comics dan Marvel. Masing-masing mengetengahkan personaliti watak-watak protagonis yang mempunyai kekuatan dan kuasa yang luar biasa, menentang kuasa dan anasir jahat (antagonis). Akhirnya mereka disatukan menerusi filem sekuel Justice League, mahupun tetralogi Avengers (filem keempat dijangka pada tahun 2019).

Industri perfileman dan perbukuan negara juga tidak ketinggalan dalam mengevolusikan misi ini. Ternyata, banyak siri program yang seumpamanya telah diwujudkan.

Pada sekitar tahun 2014, pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan seminar Hak Cipta: Dari Novel ke Skrin. Anjuran bersama dengan Media Prima Berhad ini mendiskusikan potensi karya tempatan untuk dikembangkan ke skrin, selain mengambil kira isu-isu berkaitan survival dan cabaran penulis dan kuasa penggiat industri tersebut.

Antara filem adaptasi yang berjaya adalah menerusi filem aksi, thriller, dan drama, Tombiruo: Penunggu Rimba, karya novelis yang tidak asing lagi, iaitu Ramlee Awang Murshid.

Melihat kepada hasil kutipan terakhir di pawagam iaitu dianggarkan sebanyak RM7 juta (sumber: Berita Awani, 2 November 2017) dan peningkatan semula jualan novel tersebut semenjak mula diterbitkan pada tahun 1998, ternyata boleh dibanggakan dan membuahkan harapan untuk penggiat filem mencungkil naskhah karya para penulis berbakat yang lain.

Ini diteruskan lagi dengan usaha yang dilakukan oleh sutradara Che Mie yang mengadaptasikan novel hasil penulisan Ujang, atau turut dikenali sebagai Ibrahim Anon, Jibam ke layar perak.

Di samping mengejar keuntungan dalam pembikinan filem, aspek dari sudut nilai kemanusiaan turut menjadi fokus utama dan penting. Berikut merupakan antara filem-filem hebat Malaysia mahupun antarabangsa, yang diilhamkan dan diadaptasi dari novel dan media lain.

1.  Ranjau Sepanjang Jalan (1983)
Poster teaterikal Ranjau Sepanjang Jalan (1983)

Filem arahan Datuk Jamil Sulong, terbitan produksi Kay-Sarimah Sdn. Bhd. ini diadaptasi dari novel yang juga berjudul sama. Diangkat daripada karya oleh Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dato Dr. Shahnon Ahmad.

Kisah yang mengangkat tema revolusi industri pertanian berasaskan sawah padi, zaman di mana Rancangan Malaysia Pertama dan Rancangan Malaysia ke-2 dilaksanakan untuk membantu ekonomi rakyat yang daif. Dapat difahami bahawa karya ini cuba mengetengahkan pengorbanan, penderitaan, kegigihan dan ketabahan nasib pesawah yang hanya bergantung pendapatan terhadap hasil usaha sawah padi mereka semata-mata.

Lahuma, lakonan hebat Datuk Ahmad Mahmud sebagai suami dan Datuk Sarimah (Jeha) sebagai isteri, saban hari bergelut dengan gelora dugaan yang melanda perusahaan sawah padi mereka yang seluas empat belas relung itu.

Tambahan pula, tanggungjawab mereka membesarkan kesemua tujuh anak perempuan sangat mencabar. Dugaan terhadap keluarga Jeha teruji lagi tatkala suaminya mati akibat terpijak onak nibung. Lalu dia mengambil alih mengusahakan sawah padi arwah suaminya.

Akibat tak tahan dek dugaan, Jeha menjadi gila, lalu dimasukkan ke Hospital Tanjung Rambutan di Perak. Anak perempuan sulungnya pula meneruskan membanting tulang di sawah padi, demi menyara kehidupan adik-beradiknya yang lain. Mereka meneruskan perjuangan keluarga sebagai petani sawah sehingga ke akhirnya. Jika dianalisis dan dihayati dengan mendalam, karya nukilan Sasterawan Negara ini sarat dan berat dengan nilai-nilai perjuangan dan kemanusiaan.

2.  Jogho (1999)

 

Sutradara U-Wei Hj Saari memegang tanggungjawab dalam menghasilkan filem bertemakan kemasyarakatan ini. Filem ini adalah hasil adaptasi novel bertajuk ‘Juara’, yang juga dikarang oleh salah seorang Sasterawan Negara, S. Othman Kelantan. Novel ini akhirnya dibawa ke layar perak setelah hampir dua puluh tiga tahun (Novel ‘Juara’ diterbitkan pada tahun 1976).

Menampilkan pelakon ternama pada masa itu, seperti Khalid Salleh dan Normah Damanhuri, filem ini mengisahkan ragam masyarakat di sekitar Siam dan Kelantan. Mamat, seorang pelatih pertempuran lembu jantan (jogho) menempuh liku-liku hidup dengan kerjaya tersebut. Maka sudah pasti konflik yang dialaminya terhadap masyarakat sekitar yang kasar sentiasa berlaku, sama ada terhadap dirinya sendiri mahupun keluarga.

Apabila abangnya, Lazim, dibunuh oleh Isa, maka bermulalah episod dendam untuk menuntut bela atas kematian yang kejam itu. Akhirnya perkelahian mereka terganggu oleh campur tangan polis Thailand dan Mamat ditangkap. Pun begitu, latar kekerasan sikap masyarakat tetap tidak terhakis. Ini sedikit sebanyak membuka kesedaran masyarakat, betapa pentingnya mewujudkan kehidupan yang harmoni mengikut norma-norma kehidupan yang sejahtera.

 

3.  Srengenge (2017)

 

Sebuah lagi karya novel Prof. Emeritus Datuk Dr. Shahnon Ahmad turut mendapat perhatian pihak penggiat perfileman. Novel beliau bertajuk ‘Srengenge’ telah dibawa ke skrin dengan tajuk yang sama oleh pengarah, iaitu Mahuddin Ibrahim.

Dibarisi pelakon-pelakon hebat dalam penghayatan seni layar perak seperti Eman Manan, Shahronizam, Jasmin Hamid, Fathil Dani dan Fadilah Mansor, telemovie ini berkisarkan kehidupan masyarakat era 80-an yang masih lagi mempercayai hal-hal tahyul dan karut, dalam masa yang sama bersikap degil menolak revolusi pembaharuan dan kemodenan yang digambarkan lebih realistik dan mampu memacu ke arah kehidupan yang lebih maju dan sejahtera.

Kisahnya bermula dengan khabar-khabar mulut yang mengatakan Bukit Srengenge (sebuah bukit di Negeri Kedah) berpuaka. Maka timbullah konflik sesama komuniti masyarakat di situ.

Karya ini sebenarnya cuba untuk menonjolkan sindiran-sindiran pedas kepada tahap pemikiran dan kepercayaan masyarakat Melayu, khususnya terhadap penerimaan perubahan semasa di sekitar mereka. Penulis tetap menyenaraikan karya hebat ini sebagai sebuah bentuk penghargaan terhadap karya-karya tempatan. Sekalipun bukanlah sepenuhnya berbentuk filem, akan tetapi penceritaan (telefilem) yang disiarkan di televisyen ini disiarkan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

 

4.  The Silence of The Lambs (1991)

Beralih kepada filem adaptasi antarabangsa, bagi penulis, The Silence of the Lambs ialah filem bergenre thriller, crime dan horror fiction hebat yang menarik untuk diikuti jalan penceritaannya.

Kisah penyiasatan kes jenayah ini bermula melalui penulisan novel pertama Tom Harris berjudul Red Dragon (diterbitkan pada tahun 1981). Kemudiannya dibawa ke layar perak oleh sutradara Micheal Mann pada tahun 1986 bertajuk Manhunter. Meneruskan kesinambungan cerita, novel The Silence of the Lambs pula diterbitkan pada tahun 1988, dan pada 1991, dengan meletakkan tajuk yang serupa, filem tersebut ditayangkan.

Walau bagaimanapun, sekuel ini tidak terhenti setakat di situ. Pada tahun 1999, novel bertajuk Hannibal pula diterbitkan, manakala filem dengan tajuk yang sama pula ditayangkan pada tahun 2001, sebagai sambungan.

Pada tahun 2002, pembikinan semula filem Manhunter telah dilakukan dan diberi tajuk yang sama seperti novel sulungnya, iaitu Red Dragon. Mungkin kerana sambutan yang memberangsangkan, remake filem tersebut dapat dilaksanakan dengan memberi sedikit nafas baru, namun, jalan ceritanya masih tetap mengikut plot-plot pada novel debut tersebut.

Pada tahun 2006, Thomas Harris menyambung kembali kisah thriller ini menerusi novelnya bertajuk Hannibal Raising, dan setahun selepas itu, pengarah Peter Webber mengadaptasikannya ke layar perak dengan menggunakan juga tajuk yang serupa.

Secara ringkas, kesemua cerita ini mengisahkan siri perjalanan watak Dr. Hannibal Lecter (lakonan Anthony Hopkins), seorang doktor pakar psikiatri yang licik dan pada masa yang sama adalah seorang kanibal dan pembunuh bersiri. Beliau sering menjadi buruan pihak FBI, untuk mereka menyelesaikan misteri kes jenayah kejam tersebut. Antaranya ialah Ejen FBI Will Graham dan Ejen Clarice Starling (lakonan Jodie Foster).

 

5.  In the Heart of the Sea (2015)

Menjadi antara salah satu karya kesusasteraan terhebat Amerika Syarikat, novel Moby Dick, tulisan pengarang Herman Melville diterbitkan pada tahun 1851. Dengan meletakkan tajuk yang lebih komersial, pengarah filem, Ron Howard ternyata dapat menggarap filem dengan cemerlang hasil bantuan kemajuan teknikal dalam industri perfileman tersebut.

Kisah ini berlatarbelakangkan zaman revolusi perindustrian Amerika Syarikat sekitar tahun 1840-an. Kapten Ahab mempunyai obsesi untuk memburu dan membunuh ikan paus besar (Moby Dick) di tengah lautan, yang mana niatnya itu dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain.

Beliau sanggup menempuh risiko termasuklah bakal meragut nyawanya sendiri, mahupun krew-krew kapal semata-mata memenuhi kegilaannya itu. Beliau berdendam terhadap Moby Dick yang telah mencacatkan kakinya. Akhirnya kapal yang dinaiki mereka telah hancur angkara paus besar tersebut dan karam. Dua krew kapal terbunuh dan yang lain terselamat dengan menaiki bot keselamatan yang kecil.

Sepanjang perjalanan pulang ke daratan yang jauhnya beratus-ratus batu, ada di antara mereka terlantar kesakitan, kelaparan dan ada yang maut akibat kehabisan bekalan. Hanya Chase dan Pollard yang berjaya pulang. Mendengar berita yang tragis ini, pemilik perusahaan kapal tersebut memaksa mereka berdua memalsukan laporan demi semata-mata untuk melindungi periuk nasi mereka.

6.  Magika (2010)

Filem tempatan bergenre muzikal fantasi ini adalah hasil garapan pengarah, Edry Abdul Halim, yang turut dibantu oleh Yusry Abdul Halim dan Norman Abdul Halim, masing-masing memainkan peranan penting selaku produser, penulis skrip mahupun pelakon.

Di bawah syarikat produksi KRU Studios Sdn. Bhd., filem ini dibarisi oleh bintang-bintang popular dan ternama, seperti Datuk Jalaludin Hasan, Fauziah Ahmad Daud, Diana Danielle, Mawi, Shafimie Saedon dan ramai lagi, ternyata mempunyai auranya yang tersendiri apabila berjaya mengungguli dan merangkul pelbagai anugerah.

Antara yang terbesar: menang Anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) dan Filem Terbaik di Anugerah Skrin 2011. Kehebatan filem ini tidak lain tidak bukan ialah ramuannya yang memaparkan elemen-elemen intertekstual (penggabungan ceritera, teks atau penulisan) dan surrealisme (ruang dimensi abstrak, separa sedar, pelik, fantasi, dan tidak normal) dalam pengkisahan.

Episod bermula tatkala keluarga Murad (lakonan Jalaludin Hasan) diselubung kesedihan setelah kematian isterinya. Perasaan bersalah yang dialami anaknya, Malik, membuatkan jiwa anak kecil itu memberontak dan merajuk keluar rumah setelah berlaku pertengkaran dengan kakaknya, Ayu. Pada waktu senja yang semakin gelap itu telah menemukan Malik dengan dunia bunian di hutan berhampiran rumah kediaman, yang mana Ayu juga turut terlibat.

Setelah terperangkap dalam dunia yang serba asing, mereka bertemu dengan pelbagai watak kisah dongeng dan mitos lagenda Melayu termasuklah Pak Pandir, Mak Andeh, Bawang Putih dan Bawang Merah, Hang Tuah lima bersaudara, Mahsuri, Puteri Gunung Ledang dan Pak Belalang (anda boleh namakan sendiri selebihnya).

Advencer bermula tatkala mereka berdua mencari jalan pulang dan keluar dari dunia bunian tersebut. Niatnya dihalang oleh Nenek Kebayan dan Penunggu Tasik Chini. Namun, akhirnya misi mereka berdua berjaya setelah dibantu oleh Badang.

 

7.  Hikayat Merong Mahawangsa (2011)

 Kisah ini adalah antara karya sejarah peninggalan terbesar negara selain Hikayat Hang Tuah, dan seumpamanya. Para sejarawan saling membahaskan akan permulaan dan asal manuskrip ini dihasilkan. Mereka meragui bahawa manuskrip ini dikarang seawal tahun 1612 atas alasan pada ketika itu budaya literasi masih lagi belum berkembang.

Sebaliknya, para sejarawan Kedah terutamanya, meyakini bahawa manuskrip hikayat ini ditulis pada tahun sekitar 1821, iaitu tahun yang sama peristiwa pembakaran manuskrip oleh Tentera Siam. Tindakan penyerbuan tersebut dipercayai akibat berang dengan kandungan manuskrip yang mendakwa Kerajaan Kedahlah yang merintis Benua Siam. Setelah peristiwa pembakaran manuskrip itu, maka timbullah salinan-salinan yang lain yang menceritakan kembali kegemilangan pelopor Langkasuka pada ketika itu.

Menurut sumber sahih, lebih kurang lapan salinan manuskrip yang kekal sehingga kini dan disimpan di perpustakaan besar di beberapa negara termasuklah Singapura dan London. Manuskrip turut terkatalog di salah sebuah perpustakaan di Indonesia, namun dilaporkan telah hilang.

Sekalipun begitu, pihak produksi KRU Studios terus mengabadikan hikayat ini dengan mengambil inisiatif mengadaptasikannya ke layar perak, yang kemudiannya turut dipasarkan secara besar-besaran sehingga ke lebih 70 negara.

Kandungan kisah ini berkisarkan sejarah pengasas Langkasuka, seterusnya pembentukan awal kerajaan Negeri Kedah. Secara ringkas, kisah ini berkisarkan pemerintah besar di Empayar Rom yang ingin mewujudkan hubungan diplomasi dengan Kerajaan China semasa Dinasti Han; memandangkan kedua-dua benua pada zaman itu adalah kuasa besar.

Semasa pelayaran, keadaan ribut dan gelora yang mengganas telah memusnahkan banyak rombongan kapal mereka yang akhirnya telah memaksa mereka berlabuh di pesisir pantai Goa. Di tempat itulah orang-orang Rom diperkenalkan dengan Merong Mahawangsa (berketurunan Alexander the Great) oleh penduduk tempatan.

Merong Mahawangsa telah mengikuti rombongan pembesar-pembesar Rom ke sebuah tanah semenanjung yang diwakili oleh Marcus. Tatkala sampai di tanah itu, Merong Mahawangsa memaklumkan bahawa di ‘tanah semenanjung’ inilah tempat beliau dibesarkan dan dihuni oleh penduduk asal yang terdiri daripada beberapa bangsa. Serangan tentera Garuda telah menyebabkan mereka saling bertempur dengan sengit. Di bawah pimpinan Merong Mahawangsa, beliau cuba untuk menyelamatkan Marcus daripada terbunuh dan akhirnya memakan diri sendiri. Tindakan persis pahlawan itu membuatkan beliau digelar sebagai ‘Perwira dan Raja Pertama Langkasuka’.

Adaptasi dalam media lain

Selain diadaptasi kepada filem, terdapat karya-karya bermutu lain yang turut diolah kepada layar televisyen, iaitu menjadi drama-drama bersiri sama ada melalui syarikat penyiaran awam, mahupun berbayar.

Drama bersiri antarabangsa, Game of Thrones yang ditulis oleh George R. R. Martin sebagai contoh, mendapat perhatian media dan tayangan yang meluas. Ditambah pula dengan kewujudan Netflix, iflix, Astro Go ataupun Tonton.my (penyiaran strim melalui internet), medium ini turut menjadi medan bersiri yang mana kebanyakan karya daripada novel dapat disiarkan dengan sangat meriah.

Ini memberi pilihan kepada penggemar novel untuk menonton kisah yang diminati selain membacanya. Jika drama-drama antarabangsa dapat menterjemah karya novel mahupun komik mereka ke kaca televisyen seperti Gotham, DC’s Legend of Tomorrow, dan The Walking Dead, Malaysia juga tidak kurang mendapat sambutan. Antara drama bersiri televisyen yang mendapat perhatian dan buah mulut adalah seperti Ariana Rose (diadaptasi dari novel The Wedding Breaker, nukilan Evelyn Rose), Suri Hati Mr. Pilot dan Hero Seorang Cinderella.

Dijangkakan akan lebih banyak kisah adaptasi novel ini akan disiarkan dari semasa ke semasa yang pastinya menjanjikan jalan cerita yang menarik dan unik.

Mungkin anda mempunyai filem adaptasi -daripada buku, novel, mahupun medium lain- kegemaran sendiri yang tidak kurang juga hebatnya. Boleh kongsikan kepada kami melalui ruangan komen di bawah ini.

Pun begitu, kedua-dua usaha sama dalam industri perfileman dan perbukuan di negara ini masih lagi sedang berkembang. Jalan masih lagi berliku dan panjang. Namun, dengan kepakaran yang dimiliki, tidak mustahil untuk diperjuangkan sehingga setiap karya mendapat sambutan hangat oleh masyarakat, sama ada dalam mahupun luar negara. ##

Comments

comments