Asyraff Safar Ad-Din

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan -- penulis non-fiksyen & pengulas media sosial.

PERKEMBANGAN pesat industri buku alternatif tempatan atau lebih dikenali masyarakat sebagai buku indie kebelakangan ini menjadi kegilaan para pembaca khususnya golongan muda masa kini.

 

Penghasilan karya-karya baru oleh penerbit buku indie seperti FIXI, Lejen Press, Terfaktab dilihat semakin mendapat tempat serta melonjak naik secara mendadak. Secara tidak langsung, perkembangan ini dapat memupuk dan menyuntik minat membaca khusus buat generasi kini yang kian pudar.

Pernah suatu ketika dahulu, banyak artikel dan kenyataan dikeluarkan mengenai rakyat Malaysia yang tidak gemar membaca buku sehinggakan wujud kempen budaya membaca. Hal ini menjadi dorongon kepada penulis-penulis muda dan penerbit buku indie untuk mengeluarkan novel dan cerpen yang berkonsepkan urban dan kontemporari mengikut kehendak dan selera generasi muda.

Sejarah kemunculan perkataan indie diambil daripada perkataan Bahasa Inggeris iaitu singkatan daripada perkataan independent membawa bermaksud bebas, merdeka dan tidak bergantung kepada orang lain. Di Malaysia sendiri, perkataan indie itu sendiri telah digunakan secara meluas di dalam karya-karya penulisan fiksyen, novel, cerpen, mahupun penghasilan lagu dan muzik.

Penerbit-penerbit buku indie masa kini kelihatan giat bersaing antara satu sama lain dalam menghasilkan buku-buku dengan konsep lebih segar, berani dan luar biasa. Hal ini bertujuan menarik perhatian anak muda yang kurang membaca untuk mula menyemai rasa ingin membaca buku seterusnya menjadi rutin dan budaya.

Menyentuh mengenai genre yang diketengahkan pula oleh penerbit-penerbit indie, boleh dikatakan bersifat variasi kerana penghasilannya tidak memfokuskan dan terhad kepada genre cinta sahaja seperti penerbitan popular, malah turut mengangkat genre lain seperti mistik, seram, cinta, komedi dan fantasi sebaris dengan genre yang sedang laris di pasaran. Keluaran ini membolehkan pembaca untuk memilih bahan bacaan mengikut minat dan citarasa masing-masing.

 

Cabaran buku indie

Namun, di sebalik karya yang dihasilkan oleh penerbit buku indie ini, ada sesetengah pihak berpendapat bahawa penerbitan buku indie tidak mengikut piawaian penulisan yang betul dari segi penggunaan bahasa, ayat dan jalan cerita yang terlalu bebas.

Maksud bebas di sebalik karya yang dihasilkan oleh penulis-penulis buku indie lebih kepada kebebasan dalam meluahkan idea dan pandangan terhadap sesuatu topik.

Kebanyakan kisah yang ditulis dan dibukukan lebih kepada pengalaman hidup mereka dan mereka berasa perlu untuk berkongsi pengalaman tersebut kepada pembaca.

Penulis-penulis ini memilih kaedah alternatif penulisan indie kerana mereka tidak mahu dikongkong oleh sistem atau budaya serta merasakan perlu untuk mempunyai kebebasan dalam berkarya.

Rentetan itu, di sebalik kebebasan berkarya yang dihasilkan, wujud penggunaan bahasa santai atau bahasa pasar dalam penggunaan tatabahasa serta mempromosikan budaya yang bertentangan seperti lucah, seks, carutan dan sebagainya.

Mengikut petikan yang diambil daripada laman sesawang Terfaktab, pengasasnya, Syazrul Aqram berkata, “Penggunaan bahasa pasar yang banyak digunakan dalam sesuatu penulisan buku indie seeloknya dekat dengan bahasa yang diguna pakai dalam masyarakat supaya dapat mendekati mereka”.

Oleh itu, penggunaan bahasa dan ayat yang diguna pakai dalam sesebuah buku memainkan peranan yang penting agar pembaca dapat mendalami kandungan cerita atau mesej yang ingin disampaikan oleh penulis dengan lebih jelas dan tepat.

Persoalannya, adakah penggunaan bahasa pasar yang digunakan di dalam buku indie akan memberi kesan tidak baik terhadap penggunaan Bahasa Melayu dan mampukah buku indie atau alternatif terus bertahan di Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang?

 

Buku alternatif baru

Indie bukan selamanya. Itu yang dapat diungkapkan sebaik sahaja memikir jarak atau perjalanan penerbitan alternatif ini pada masa akan datang.

Sebagai rujukan, berpandukan pada kumpulan muzik misalnya, muzik indie sudah tidak dikategorikan indie jika sering bermain di corong radio dan juga di televisyen iaitu saluran arus perdana.

Begitu juga dengan buku, mungkin hari ini buku keluaran penerbitan alternatif seperti FIXI, Lejen dan sebagainya dikategorikan sebagai indie, tetapi tidak mustahil akan mula bergelar arus perdana satu masa nanti.

Penghasilan buku-buku indie masa kini mula diterima oleh masyarakat tempatan serta diangkat atau diisytiharkan sebaris dengan penerbitan arus perdana yang lain. Fokus dunia perbukuan di Malaysia mula biasa dengan apa yang menjadi ledakan terdahulu dalam industri indie.

Mungkin juga ada syarikat baharu ingin menerbitkan buku yang berkonsepkan lebih indie. Lebih segar dan lebih bebas daripada yang sedia ada. Trend ini akan menolak ke tepi buku indie sedia ada dan menjadikannya lebih alternatif. Apa yang penting bagi penerbit indie ini adalah keadaan ia yang tidak terkongkong, semangat kebebasan berkarya serta bebas menyampaikan apa juga bentuk penulisan.

Tidak dinafikan, kawalan atau syarat baru akan dikenakan di dalam penerbitan buku indie sedia ada menyebabkan kelahiran baru buku alternatif. Yang lama digantikan dengan yang baharu. Jadi, landskap penerbit alternatif akan berubah dari semasa ke semasa.

Mereka harus lebih proaktif bagi memastikan buku-buku mereka bersifat terkini dan sentiasa dalam trend pembaca muda. Jika tidak, pengalihan gelaran buku indie bakal dirampas oleh penerbit alternatif baru. Seterusnya ledakan baru bakal meletus dalam industri perbukuan negara.  ##

Comments

comments