Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

HENRY E. Huntington (1850-1927) taikun kereta api Amerika ada menyebutkan, “Manusia hidup dan mati, tetapi buku tetap abadi. Satu cara paling tepat dan mudah untuk beroleh keabadian adalah dengan memiliki sebuah perpustakaan yang bagus.”

Para pencinta buku Malaysia pasti melalui rutin biasa ini di mana-mana sekalipun; giat membeli buku baru untuk koleksi perpustakaan peribadi masing-masing. Tidak kira untuk dibaca atau dikumpul, semakin ramai yang sanggup membelanjakan duit demi buku.

Malah tidak menghairankan bagi seorang pengumpul tegar memiliki beberapa naskhah judul yang sama tetapi berlainan edisi. Naskhah yang dibaca ialah naskhah yang terkini. Edisi pertama pula dipelihara dengan jagaan paling rapi.

Namun, satu aspek dunia buku yang belum benar-benar diteroka oleh kebanyakan pencinta buku Malaysia ialah mengumpul buku secara profesional. Beza pembeli buku biasa dengan pengumpul profesional adalah wujudnya fokus tatkala membeli buku, sama ada mengenai era, subjek ataupun tokoh tertentu. Jika pembeli biasa membeli secara rambang mengikut kehendak intelek mahupun emosi, pengumpul profesional membeli buku secara terancang dan memburu buku bersandarkan penyelidikan.

Sumbangan kepada kesarjanaan

Kegiatan mengumpul secara profesional walaupun tidak sepopular mengumpul kereta mewah, barangan antik, alat permainan mahupun pakaian, tetap menjanjikan pulangan materi apatah lagi ukhrawi jika yang dikumpul itu buku-buku nadir yang baik mutunya.

Matlamat ini tambah bernilai jika pengumpul buku berhasrat memberi sumbangan kepada kesarjanaan. Ini dapat menjadi satu bentuk filantropi atau wakaf pendidikan yang dapat membantu perkembangan dunia penyelidikan di negara kita.

Sementelah kegiatan mengumpul buku secara profesional dalam peradaban Barat telah berjaya meningkatkan mutu kesarjanaan mereka, para pencinta buku Malaysia wajar bergerak menuju misi yang murni ini.

Bukan tidak ada sarjana dan tokoh tempatan kita yang himpunan buku mereka telah membantu penyelidikan universiti. Antara koleksi yang telah diwujudkan daripada koleksi peribadi ialah Koleksi Yusoff Zaky Yaakub di Perpustakaan Syed Muhammad Naquib al-Attas (ISTAC), Koleksi Shaharom Hussain di Perpustakaan Tun Sri Lanang (UKM) dan Koleksi Wan Muhammad Saghir Abdullah di Perpustakaan Dar al-Hikmah (UIAM). Namun, lebih banyak koleksi lain mempunyai potensi untuk dibangunkan pada masa hadapan.

Nicholas Basbanes dalam bukunya Editions and Impressions, telah menemu ramah beberapa tokoh pengumpul buku daripada pelbagai latar belakang yang gigih mengumpul buku, ramai melakukannya sejak usia muda. Mereka kemudiannya mengabadikan koleksi mereka untuk kesarjanaan dengan cara menyumbangkan koleksi kepada pihak universiti, sama ada secara percuma atau dengan mendapat tawaran harga yang bukan calang-calang.

Pengumpul buku profesional di dunia Barat

Pengumpul buku yang menginspirasikan antaranya ialah Matthew Bruccoli, peminat F. Scott Fitzgerald yang telah mengumpul kira-kira 3,000 buah buku dan 11,000 dokumen lain mengenai pengarang The Great Gatsby itu. Koleksi yang dihimpunnya sejak masih bergelar pelajar Yale kini dimiliki oleh Universiti South Carolina yang membelinya pada separuh harga pasaran iaitu hampir dua juta dolar.

Kesungguhan sikapnya sebagai pengumpul terbukti apabila beliau sanggup menulis surat kepada semua pelajar Princeton sezaman dengan Fitzgerald yang masih hidup demi menjejak bahan-bahan produksinya sewaktu di sana. Skop koleksi ini kini penting bagi penyelidik dalam bidang kesusasteraan Amerika.

Antara koleksi surat F. Scott Fitzgerald dikumpulkan Matthew (FOTO: University of South Carolina)

Seorang lagi pengumpul buku yang berwibawa ialah seorang pakar masakan bernama Louis Szathmary kelahiran Hungary yang kemudiannya mencipta nama di Amerika Syarikat. Sebanyak enam belas treler buku berkaitan dunia kulinari telah beliau hadiahkan kepada Universiti Johnson & Wales, institusi pengajian terbesar dalam bidang pemakanan dan industri perkhidmatan. Koleksi itu kini dikenali sebagai Koleksi Seni Kulinari Szathmary.

Beliau juga menghadiahkan sebanyak 22,000 buku masakan nadir kepada Universiti Iowa. Ada antaranya disunting dan diterbitkan semula oleh Penerbit Universiti Iowa. Buku masakan itu ialah The Khwan Niamut, atau Nawab’s Domestic Cookery, memuatkan resipi Parsi berasal dari kediaman Qasim Uli Khan yang pertama kali terbit di Kalkuta pada 1839.

Louis Szathmary (FOTO: Getty Image)

Manakala, seorang pengarah perpustakaan dan penterjemah di Perpustakaan Lilly, Universiti Indiana di Bloomington pula mengumpul kamus terbitan pertama bagi setiap bahasa minoriti bukan Eropah yang masih lagi hidup dan digunakan. Broen Mitchell bercadang untuk menerbitkan sebuah bibliografi untuk koleksinya yang kini berjumlah sekitar 2,000 buah.

Beberapa kamus bahasa eksotik yang menarik dalam koleksi beliau adalah kamus bahasa Zulu yang terbit pada tahun 1861 dan kamus bahasa Inuit (bahasa orang Eskimo) terbitan 1804.

 

Mengumpul bahan bentuk lain

Jika pengumpul seorang yang kreatif, bahan buruan sebenarnya tidak terhad kepada buku tetapi boleh jadi nota muzik antik seperti yang dilakukan Minor Myers Jr. yang mengumpul bahan-bahan sedemikian yang berasal dari kurun ke-18.

Ada pula pengumpul seperti Michael Zinman yang menjadikan risalah, lembar naskhah balada, almanak, jurnal, writ, kontrak dan efemera lain dari kurun ke-17 dan 18 sebagai bahan koleksi. Bahan-bahan ini akhirnya dibeli melalui pakej belian hadiah oleh Library Company of Philadelphia pada tahun 2000 dengan nilai harga lapan juta dolar.

Hakikatnya, peluang kini terbuka luas kepada sesiapa sahaja untuk mengumpul buku merentas bahasa dan geografi. Ini dibantu kewujudan kedai buku dalam talian yang membuat penghantaran seantero dunia. Meskipun tidak dinafikan masih ada keterbatasan tertentu, namun banyak halangan era dahulu sudah tidak relevan lagi. Apatah lagi dengan wujudnya penerbangan tambang murah, golongan pencinta buku yang ingin menjejak buku sehingga ke luar negara sekalipun tidak lagi begitu terikat masalah kos pengangkutan!

 

Sumbangan koleksi khas kepada universiti

Bayangkan manfaat yang dunia kesarjanaan kita boleh nikmati jika ada seorang anak watan mengumpul ribuan buku mengenai reaktor nuklear misalnya, lalu menghadiahkannya kepada mana-mana universiti sebagai koleksi khas. Seorang yang lain pula mengumpul ribuan buku mengenai industri penternakan tuna, atau penyelidikan mengenai perang gerila, atau semua buku puisi Melayu yang diterbitkan pada abad ke-21, atau mengenai terorisme pasca 9/11, atau falsafah Cina atau sastera kanak-kanak, serta banyak lagi topik lain yang punya kelebihan dan daya tarikan masing-masing.

Pada masa yang sama, perpustakaan universiti harus turut memainkan peranan sebagai tempat penyimpanan khazanah negara dalam konteks ini. Koleksi khas dapat menambah nilai koleksi perpustakaan, kesarjanaan dan tradisi ilmu untuk diwarisi generasi yang akan datang.

Tidak mustahil malah, jika sebuah institusi baharu boleh tumbuh untuk mengkaji bahan-bahan yang telah disumbangkan. Menurut Richard Landon, pengarah Perpustakaan Fisher di Universiti Toronto, reputasi sesebuah perpustakaan penyelidikan turut bergantung kepada bahan-bahan nadir dimilikinya yang tidak boleh dirujuk di mana-mana perpustakaan lain.

Kehebatan koleksi sebegini turut disentuh oleh Profesor Wan Mohd Nor Wan Daud dalam bukunya Rihlah Ilmiah. Menurut beliau, “Keadaan universiti-universiti di negara-negara Islam yang mengajar agama dan tamadun Islam telah menjadi amat lemah kerana ketiadaan koleksi perpustakaan yang lengkap.”

Demi menutup lompang ini, para pencinta buku Malaysia boleh memberi sumbangan koleksi buku peribadi bernilai tinggi yang telah dikumpul secara profesional.

Sungguh benar kata Huntington, jalan tepat dan mudah untuk mencari keabadian adalah melalui koleksi buku; lambang ilmu yang sentiasa menyala dan tidak pernah padam. Ini sesuai sekali dengan sifat ilmu dalam peradaban Islam iaitu cahaya. Keabadian tidak semestinya digapai melalui keagungan seni bina atau kemasyhuran kedudukan.

Binaan boleh diruntuhkan dan kedudukan boleh dilucutkan. Hanya cahaya yang abadi.

##

 

Comments

comments