Asyraff Safar Ad-Din

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan -- penulis non-fiksyen & pengulas media sosial.

ZINE (singkatan perkataan fanzine, atau majalah yang disebut “zeen”) adalah majalah atau buku kecil (booklet) yang dibuat sendiri, diedar-edarkan, saling bertukar atau dijual kepada orang lain dengan kos percetakan. Zine lazimnya diedar dalam kumpulan kecil. Karya sendiri ini diterbitkan daripada teks serta imej asal dan disusun mengikut kehendak penghasil.

Penghasilan zine selalunya bagi berkongsi pengetahuan atau perasaan pengkarya atau pengalaman pengkarya dengan cara yang lebih ketara daripada blog. Zine lazimnya kurang komersial dan lebih pantas daripada media cetak. Tumpuan utama zine adalah pada kandungan — tetapi reka bentuk, gaya dan kaedah cetak bervariasi menjadikan zine kelihatan sangat menarik dan luar biasa.

Bagi mereka yang tidak menyedari kewujudan zine di Malaysia, sebenarnya zine sudah lama menapak di negara ini. Mungkin scene ini tidak terlalu didedahkan kepada masyarakat umum kerana kurang publisiti atau beberapa faktor yang lain — zine tidak popular dalam kalangan masyarakat umum. Seperti mana muzik indie yang mempunyai khlayak sendiri yang aktif dalam kumpulan muzik genre tersebut sahaja, begitulah konsepnya dengan zine.

Zine bergerak secara underground dan tidak terikat dengan mana-mana penerbit secara asasnya. Target pengedaran zine pula tidak meluas kerana zine banyak dijual atau diberikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan berhampiran sahaja.

Masih ingat drama “KAMI” yang pernah popular suatu ketika dahulu? Siri tersebut memaparkan senario dunia muzik indie dan penghasilan zine sebagai penggerak cerita tersebut.

Sekitar sepuluh hingga 15 tahun dahulu, begitulah kaedah zine dihasilkan — seseorang perlu menulis, melukis, menampal, menyusun dan membuat fotokopi atas jumlah bilangan yang diinginkan oleh pembeli. Kekangan teknologi sedikit sebanyak menjadi penghalang untuknya tersebar secara meluas.

Seperti yang dikatakan tadi, hanya golongan tertentu dan kumpulan kecil sahaja yang dapat mengetahui mengenai zine.

(FOTO: FB KL Zine Fest)
KL Zine Fest

Kehadiran teknologi yang semakin canggih dan media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter serta pelbagai lagi medium lain menjadikan zine kini lebih dikenali.

Landskap zine kian popular di Kuala Lumpur serta beberapa negeri lain dan acara bebas ini disediakan juga untuk para penggiat seni yang lain. Buktinya, pelbagai jenis festival zine diadakan belakangan tahun ini bagi meraikan penggiat seni cetak bebas ini. Sambutannya memberangsangkan apabila festival sebegini menarik minat pelbagai golongan masyarakat tempatan terutamanya golongan muda.

Kuala Lumpur Zine Fest (KLZF) ialah acara bebas yang mewujudkan ruang jual beli media kecil dan penerbit bebas bersama dengan zinesters, zine distros, pengusaha dan pengkarya seni untuk mempamerkan karya mereka. Matlamat KLZF adalah untuk memberi akses kepada zine ‘DIY’, menyerlahkan bakat seni yang diterbitkan sendiri, dan memberi peluang kepada artis bebas untuk berinteraksi, dan bertukar kemahiran melalui pembentangan, acara komuniti, dan bengkel.

Acara tahunan yang berlangsung pada setiap Disember (kebiasaannya) ini bermula pada tahun 2006 dan sudah masuk edisi kelapan pada tahun ini, dibuka kepada orang ramai yang menampilkan penulis dan artis bagi mempamerkan majalah dan karya seni yang diterbitkan mereka sendiri.

Menariknya, akses kepada KLZF ini percuma. Disebabkan itu, ramai penggiat zine di luar sana akan berkumpul di sini bagi menjual serta bertukar-tukar zine — meraikan kehadiran zine di Malaysia.

(FOTO: FB KL Zine Fest)
(FOTO: FB KL Zine Fest)
Perlukan publisiti

Acara ini juga menyamai suasana perayaan, seperti pameran kraf tetapi dengan bahan cetak. Persembahan daripada beberapa artis alternatif, perbincangan mengenai beberapa zine terpilih melalui ‘zine talk sessions’ antara pengalaman yang baru buat penulis.

KLZF ialah ruang yang tepat untuk mempelajari sesuatu yang baru, mendapat inspirasi, berbincang, berinteraksi, bertemu rakan, berhubung dengan penulis tempatan dan terlibat dengan pelbagai bentuk media yang boleh diakses. Peserta pameran kebanyakannya membuat pelbagai jenis zine untuk mempamerkan tulisan, ilustrasi, fotografi, wawancara, masakan, dan apa sahaja yang mereka mahukan untuk berkongsi dengan khalayak.

Tahun ini, KL Zine Fest yang bertempat di ATAS by Bijan FX, Petaling Jaya berjaya menghimpunkan pelbagai penggiat aktif zine. Terdapat bengkel penulisan kreatif daripada beberapa penggiat zine, persembahan gig, serta perkongsian-perkongsian ilmu berkenaan dengan dunia zine dari dalam serta luar negara oleh pengkarya bebas.

Zine seharusnya diberikan publisiti yang lebih pada masa akan datang. Dengan adanya liputan mengenainya, landskap baru hasil seni dalam negara dapat diiktiraf serta dilihat mampu memberikan variasi yang lebih unik kepada setiap penggiat seni. Ini akan memberikan ruang yang lebih luas kepada mereka yang ingin berkarya.

Comments

comments