Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

KOMUNIKASI dalam bentuk penulisan sangat tidak asing dalam kehidupan manusia sejak rentasan sejarah sebelum masihi, sehinggalah selepas masihi ketika bermulanya sistem tulisan dicipta. Sistem tulisan kini telah melalui pelbagai evolusi dan revolusi, tahap demi tahap sehinggalah apa yang dapat kita lihat dan alami pada hari ini; dipertonton dan dipersembahkan mengikut bahasa ibunda masing-masing.

Sistem tulisan berevolusi daripada penulisan purba yang menggunakan simbol-simbol melalui pahatan mahupun ukiran pada medium permukaan semula jadi (batu-batu, kayu, dan tanah liat) sehinggalah kepada mutakhir ini; penulisan era moden. Cara menulis berkembang sama ada melalui pena ke atas kertas, menekan aksara pada papan kekunci, mahupun secara digital; menaip di skrin elektronik dengan hanya menekan butang abjad-abjad dan simbol.

Namun begitu, falsafah dan tujuannya tetap serupa. Menurut sumber kajian yang telah dilakukan oleh Bricker, Victoria Reifler, dan Patricia A. Andrews, yang bertajuk “Epigraphy. Supplement to the Handbook of Middle American Indians”, mendefinisikan hal yang bersifat subjektif ini sebagai, “penulisan, dalam terma umum, ialah satu kaedah rakaman maklumat yang diolah melalui susunan aksara menjadi perkataan, dan dari perkataan menjadi ayat-ayat yang dapat difahami.”

Oleh hal yang demikian, setiap huruf dan ayat yang terbina, tidak dapat menyampaikan sesuatu maklumat dengan berkesan tanpa bantuan dari ‘perkakas’nya. Yang dimaksudkan ‘perkakas’ di sini ialah tanda baca. Ibarat ingin mencipta sebuah perabot, bahan asas seperti kayu tidak akan tercantum antara satu sama lain dengan sendiri, dan tidak dapat disempurnakan penghasilannya tanpa menggunakan perkakas seperti gergaji, paku, alat pengukur, kertas pasir, dan peralatan pertukangan moden yang lainnya.

Begitulah juga dengan membina atau membina ayat, bertujuan membentuk kefahaman kepada para pembaca.

Ledakan maklumat yang seakan-akan infiniti, saban hari, telah mengevolusikan lagi kaedah bagaimana sesuatu maklumat itu direkodkan melalui penulisan. Daripada semudah-mudah ayat, sehinggalah gabungan maklumat yang kompleks, yang dapat diintegrasikan dalam hanya satu perenggan pada setiap penulisan.

 

Tanda Koma(,) dan Noktah(.) serta fungsi lainnya

Menurut huraian yang disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka; oleh unit ‘Pusat Rujukan Persuratan Melayu’ melalui laman web www.dbp.gov.my, tanda koma dan noktah, masing-masing membawa maksud ‘tanda baca untuk berhenti seketika ketika membaca’ dan ‘tanda baca dalam tulisan yang digunakan setelah sesuatu ayat selesai’.

Naun, noktah juga mempunyai sisi fungsi yang berbeza. Antaranya adalah untuk menunjukkan angka perpuluhan dan diletakkan pada akhir singkatan mahupun pangkat pada nama seseorang. Sebagai contoh: Dr., En., dan Sdn. Bhd. Tanda koma juga dapat digunakan dalam beberapa variasi keadaan. Sama ada digunakan di belakang kata seru (contoh: “Wah, besar rumah kamu!”), dan juga untuk memisahkan unsur-unsur dalam ayat berbeza. Sebagai contoh, “barang ini mahal, tetapi dapat tahan lama.” Ternyata, terdapat fungsi lain untuk dua simbol ini yang sangat klise penggunaannya.

 

Tanda Sempang(-) dan tanda kurung ‘( )’

Sememangnya tanda sempang atau sengkang ini, fungsinya sudah sedia maklum iaitu untuk menyambungkan kata ganda dan kata yang diulang (contoh: berbagai-bagai, berbolak-balik, rama-rama). Garis pendek melintang ini juga berfungsi untuk menghubungkan dua unsur simbol mahupun aksara yang berbeza. Sebagai contoh; tahun 80-an, alaf ke-21, ke-3 dan tingkat B-2.

Walaupun begitu, tanda sempang tidak diaplikasikan pada suatu kombinasi perkataan yang menjadi ringkasan terhadap nombor tersebut; seperti 2 kilogram dan RM 3k.

Selain itu, dewasa ini, fungsi tanda sengkang juga membawa makna, sama ada untuk melontarkan pendapat peribadi penulis terhadap sesuatu pemerhatian (dengan satu mahupun dua sengkang) atau juga menjelaskan sesuatu kenyataan supaya dapat difahami dengan lebih mendalam dan berkesan.Fungsi kedua ini seolah-olah hampir sama dengan fungsi tanda kurungan.

Contoh definisi pertama, “Orang yang berjaya, mereka mempunyai ciri-ciri rajin dan bekerja keras –pada pendapat saya.” ataupun, “ketika beliau memberikan ucapan penghargaan terhadap kejayaannya memenangi anugerah itu, seolah-olah suaranya tersekat-sekat –saya beranggapan hatinya menahan sebak-, tetapi jelas dan dapat didengari.”

Definisi kedua pula dapat difahami dengan contoh ayat, “penemuan teori Big Bang­­ –teori yang menyatakan bahawa alam semesta terbentuk atas satu letupan yang dahsyat- telah mengubah pemahaman kita terhadap alam semesta ini.”

Untuk tanda kurungan pula, tanda ini berfungsi sebagai pengapit untuk menambah keterangan atau penjelasan terhadap sesuatu pernyataan. Misalan untuk tanda yang dimaksudkan dapat dilihat pada beberapa keterangan dalam subtajuk ini.

  

Koma bernoktah(;) dan noktah bertindih(:)

Fungsi koma bernoktah pula biasanya digunakan sebagai pengganti kata penghubung yang setara, lalu memberikan tambahan maklumat selain sebagai pemerincian dari beberapa kumpulan makna yang hampir serupa.

Definisi pertama seperti dalam ayat: “Untuk tugasan ini, Ahmad menjadi editor terhadap manuskrip yang telah siap; Ayu sebagai pereka kulit muka buku; Ali menyelia pusat percetakan buku.”

Definisi kedua pula dapat difahami melalui ayat berikut: “Setiap peserta harus memilih satu warna daripada merah, biru, kuning, atau hijau; nombor sepuluh, dua puluh, tiga puluh atau empat puluh; simbol haiwan semut, lebah, kucing ataupun labah-labah.”

Bagi penggunaan tanda baca noktah bertindih pula, tanda tersebut ibarat memperkenalkan atau menyenaraikan sesuatu. Tanda ini juga berfungsi memberi perincian terhadap pernyataan lengkap yang sebelumnya.

Sebagai contoh, “Ani membuat resepi roti sandwich beraneka yang terdiri daripada beberapa bahan: sardin, timun, mayonaise, roti dan lain-lain.”

Selain itu, penggunaan tanda baca ini juga berfungsi sebagai menyampaikan maklumat jilid atau nombor dalam halaman, surah dan ayat dalam kitab suci, judul dan subjudul, serta tajuk karya penulisan dan penerbit dalam bahagian rujukan. Antara contoh seperti:

  • Surah Al-Baqarah:1-10
  • Ibnu Khaldun: Riwayat Hidup dan Karyanya
  • Izard, C.E. (1997) Human Emotions. New York: Plenum
Variasi fungsi elipsis (…)

Menurut terjemahan kamus atas talian Dewan Bahasa dan Pustaka, tanda baca tiga titik berturutan ini merupakan pengguguran kata dalam teks ataupun ungkapan.

Walaupun begitu, hal tersebut dapat difahami dalam konteks berkenaan, memandangkan perkara tersebut sudah dijelaskan sebelum ayat dibina, ataupun pembaca sudah sedia maklum akan apa maksud yang ingin disampaikan. Contoh ini banyak digunakan sama ada dalam menyampaikan sesuatu maklumat dan pandangan, mahupun melalui ayat dialog.

Sebagai contoh: “Keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu telah memberi kesan terhadap urusan kebanyakan syarikat berasaskan penghasilan produk. Antara kesannya ialah merosotnya keuntungan serta berkurangnya pelanggan…”

Tanda elipsis ini juga digunakan dalam penyampaian yang terputus. Contohnya, “jika saudara bersetuju … saya akan laksanakan projek itu dengan segera” atau boleh juga berbentuk seperti ini, “pengetahuan dan pengalaman kita … masih sangat terbatas.”

Terdapat juga beberapa kemusykilan yang telah dikemukakan oleh para penulis yang terlibat dalam penggunaan tanda baca ini. Kebanyakannya adalah bersifat teknikal, iaitu bagaimana kaedah yang betul untuk mengaplikasikan tanda elipsis dalam penulisan. Menurut jawapan yang telah dikemukakan, antara kaedah yang tepat dalam beberapa kondisi tertentu adalah seperti berikut:

  1. Elipsis perlu dijarakkan sebelum dan selepas ayat. Contoh: “saya … agak keliru.”
  2. Menurut pakar juga, apabila pada akhir ayat, perlu mempunyai empat titik (tanpa ada spacing selepas ayat). Iaitu tanda baca elipsis beserta noktah, yang ditulis seperti ini, “ke detik itu… .”

 

Pembuka dan penutup kata (“…”) serta tanda petik tunggal (‘…’)

Pada kebiasaannya, tanda pembuka dan penutup kata digunakan untuk mengungkapkan ucapan, kutipan frasa atau kata-kata. Tanda petik tunggal juga berfungsi hampir sama, namun melalui beberapa syarat. Dialog, seperti yang sedia maklum, menggunakan tanda pembuka dan penutup kata (“…”), manakala tanda petik tunggal sesuai digunakan untuk monolog dan kiasan.

Tanda baca ini digunakan untuk ‘mengapit’ ayat yang ingin diberikan penekanan kerana ayat atau perkataan tersebut mempunyai makna, terjemahan atau penjelasan

 

Tanda soal (?) dan pengaruh tanda seru (!)

Menurut khidmat nasihat yang diberikan oleh DBP, tanda seru digunakan sesudah ungkapan atau pernyataan yang berupa seruan, perintah, atau yang mengungkapkan kebenaran, ketidakpercayaan, atau rasa emosi yang kuat. Contohnya, “Wah, cantiknya barang kemas dekat kedai besar tu. Bersinar-sinar!” atau, “Hakikatnya, sebanyak mana harta yang kau kumpul dan kejar, tiada satu pun yang akan kau bawa ke liang lahad, melainkan jasa dan amal!”

Dewasa ini, kesemua tanda baca -17 tanda baca menurut rekod DBP- tidak dapat digunakan hampir dalam satu ayat. Sebagai contoh, penggunaan tanda seru dan tanda soal. Pada penghuraian khidmat nasihat yang diberikan oleh pegawai perancang bahasa sekitar tahun 2014, kedua-dua tanda ini tidak boleh digunakan secara serentak. Ini berikutan menjawab persoalan yang berupa dialog seperti, “engkau faham?!” bentaknya. Ataupun “hah?!”, yang pada kebiasaannya dinukilkan pada buku komik mahupun nukilan lainnya. Hal ini kerana kedua-dua simbol memainkan peranan dan maksud yang berbeza. Sebagaimana deskripsi tanda seru, tanda soal pula adalah digunakan pada akhir kalimat tanya sahaja.

 

Penggunaan tanda baca yang terus berkembang

Tidak dinafikan, penggunaan ‘perkakas’ atau tanda baca ini yang bersesuaian dan efektif, menambahkan lagi keberkesanan dan tarikan di dalam penulisan terhadap para pembaca yang sedang mengikuti bahan bacaannya. Hal ini sekali gus dapat menambat hati pembaca untuk meneruskan bacaannya hinga ke penghabisan.

Tanda baca ini sangat penting dan tidak akan sama sekali dapat dipisahkan bersama komunikasi berbentuk ayat, yang cuba untuk menyampaikan sesuatu maklumat, pemberitahuan, idea, mahupun penceritaan. Ibarat ‘irama dan lagu’, seperti lagu yang didendangkan oleh Seniman Agung, Tan Sri P. Ramlee, gugusan ayat yang dipisahkan dengan tanda baca, pasti akan mengakibatkan kepincangan bahasa.

Dengan kegiatan penulisan yang semakin aktif pada masa kini, tanda baca dapat digunakan dengan lebih bestari dan mengagumkan. Daripada pelajar sekolah rendah hingga menengah yang saban hari mengarang karangan sama ada dalam Bahasa Melayu, Inggeris atau bahasa ibunda masing-masing; agamawan mahupun cendekiawan yang halus, berhikmah dan pintar, dalam penyampaian ilmunya melalui pengarangan; para mahasiswa yang menulis laporan akhir tahun mahupun tesis projek kajian mereka; jurnalis yang menulis laporan hasil pemerhatiannya, mahupun para wartawan yang mengarang laporan berita-berita; juga penulis skrip, novelis atau pengarang buku, artis komik, atau siapa sahaja yang menulis sesuatu yang menarik, bermaklumat, dan penting untuk kebaikan masyarakat umum, telah menyemarakkan lagi fungsi kehadiran tanda baca ini.

Tidak dinafikan, tanda baca juga mempunyai daya tarikannya tersendiri terhadap pembaca, melalui penyampaian maklumat yang lebih pintar, sesuai dengan zaman teknologi yang serba pantas dan maju ini.

##

Comments

comments