Borhan Hadi

Graduan sains kesihatan dan penterjemah bertauliah. Aktif menulis ulasan buku di Goodreads

AKAN keringkah tinta Melayu menceritakan hikayat hidup Zaaba?

Lahirnya di tengah-tengah era paling rencam dalam sejarah negara, era di mana persoalan identiti Melayu masih kabur dan maruah bangsanya kian luntur. Hidupnya bersekali dengan tokoh-tokoh yang mendefinisikan cara Tanah Melayu dinilai oleh cendekiawan hari ini dan esok; beliau berkhidmat di bawah R.O Winstedt dan O.T Dussek, sezaman dengan W.G Shellabear, guru kepada tokoh sejarah dan budaya Malaysia seperti Mohd Taib Osman, Ishak Hj Muhammad, dan Ibrahim Yaakub serta Ungku Aziz.

Kakinya berderap sekali mendepani gerakan-gerakan progresif zamannya yang merangkumi kebangkitan golongan guru serta perjuangan Kaum Muda. Manakala tangannya tidak gentar membuka pencak melawan mana-mana saingan. Baik lawan mahupun kawan, pena Zaaba digeruni dan dikagumi sama hebat.

Bagaimanapun, Zaaba lebih dikenali generasi terkemudian lewat gelaran Pendeta yang dianugerahkan kepadanya sewaktu Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu 1956. Lagipun sumbangannya kepada usaha pembakuan bahasa Melayu serta pemantapannya sebagai wahana ilmu tiada tandingnya. Walhasil Zaaba hidup dalam imaginasi massa sebagai tokoh Melayu par excellence, lengkap dengan segala ciri dan sifat kemelayuan yang mampu dibayangkan.

Menjejak Zaaba asli

Barangkali Zaaba sendiri pun tidak sanggup mengaku keturunan terhadap ‘Zaaba jadian’ itu yang sering dibayangkan masyarakat (dan cikgu-cikgu bahasa terutamanya) sebagai seorang budiman, patuh pada adat, setia pada raja dan orang-orang bangsawan serta hormat pada agamawan.

Zaaba yang sebenar pantas menghalakan penanya terhadap kebobrokan di sekelilingnya, kadang dengan sekasar-kasar bahasa; kepada orang-orang Islam yang sekadar mengharapkan syafaat Nabi di akhirat tanpa beramal dengan kudrat sendiri, Zaaba menyelar mereka sebagai “bangsat belaka”; sewaktu kemuncak persengketaanya terhadap Abdul Majid Zainuddin, Zaaba menyifatkannya sebagai “you were in reality, a very small, selfish, mean and despicable individual…” betapa mengingatkan Abdul Majidlah orang yang membantu membina karier gurunya.

Adapun sindirannya kepada Kaum Tua tidak bertepi. Pelbagai nama dicipta Zaaba buat mengungkapkan rasa jeleknya kepada kebekuan pemikiran usang mereka: “Kaum Kuno”, “Kaum Cara Tua”, “Tuan-tuan Alim Cara Tua”, “Tuan-tuan Alim Buta” dan “Ahli Sunnah Wal Jamaah Tua”.

Sudah resmi Zaaba melawan sedari kecil lagi. Selepas lulus peperiksaan rendahnya, Zaaba memilih untuk melanjutkan pengajian menengah di St. Paul’s Institution, sebuah sekolah tajaan golongan mubaligh Katolik.

Bapanya yang mengimpikan anaknya itu membesar menjadi seorang ulama, merasa tersangat kecewa sehingga tidak mengaku Zaaba sebagai anak. Di matanya, perbuatan itu sama seperti masuk kafir.

Pada usia dewasa, Zaaba sekali lagi melawan ibu bapanya dengan berkahwin tanpa restu mereka namun kali ini sebentar sahaja kerana beliau tidak sanggup lagi menderhaka dan melalui perkataan ‘ayahanda’. Zaaba akhirnya berkahwin dengan gadis pilihan keluarga.

Zaaba berdepan British dan raja

Kemungkinan detik pertama di mana Zaaba menyedari tinggi-rendahnya langit luar adalah peristiwa-peristiwa susulan pencapaian cemerlang beliau dalam peperiksaan Senior Cambridge 1915.

Bukan sahaja Zaaba anak negeri pertama yang mendudukinya, beliau juga yang pertama memperolehi sijil tersebut. Zaaba berkira-kira untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang kedoktoran di Singapura dengan sijil tingginya itu. Sekurang-kurangnya, beliau mengimpikan peluang melanjutkan pengajian bidang sastera di United Kingdom. Kedua-dua permohonannya ditolak oleh pejabat kolonial British di Malaya atas faktor ketiadaan peruntukan biasiswa.

Sehingga tahun 1953 pada usia yang mencecah 58 tahun, Zaaba takkan lagi mendapat peluang untuk melanjutkan pengajian di menara gading. Zaaba akhirnya terjun ke medan kerjaya dengan bertugas sebagai guru; mulanya di sekolah lamanya di Seremban, kemudian di Johor Bahru sebelum akhirnya berpindah ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) atas bantuan Abdul Majid Zainuddin.

Pada ketika itu, Zaaba sudahpun terpengaruh dengan dakyah Kaum Muda. Zaaba telah berhubungan dengan seorang tokoh reformis di Johor Bahru, Sheikh Tahir Jalaluddin (1869-1956) sewaktu bertugas di sana malah sempat pula mempelajari bahasa Arab bersamanya. Al-Imam, majalah diterajui oleh Sheikh Tahir merupakan majalah yang enigmatik buat zamannya– sebuah majalah yang begitu berani menyifatkan sebahagian adat Melayu sebagai kolot, dan merumuskan idea memuliakan raja dan pembesar-pembesar sebagai “pendeknya merepek” sahaja.

Di MCKK suara-suara kerisauan mula kedengaran kalau-kalau Zaaba menyebarkan dakwahnya dalam kalangan pelajar-pelajar elit sana. Kebetulan rencananya yang membincangkan isu-isu yang mendesak di Malaya waktu itu meningkat berlipat ganda: kemiskinan kaum Melayu, keterbelakangan bahasa ibunda, kepentingan merombak fahaman agama, sebab-sebab kemajuan Barat. Isu-isu ini kekal menghiasi perjalanan intelektual Zaaba buat tahun-tahun mendatang. Namun status quo sudahpun berasa tergugat.

Pegawai kolonial yang menyelia sijil kursus perguruannya, A. Kier memberi amaran lisan kepada Zaaba. Begitu juga Guru Besar MCKK, L.S.S Jermyn yang turut menziarah perpustakaan peribadi beliau serta meneliti bahan-bahan bacaan yang dimilikinya. Fikiran-fikiran Zaaba dianggap berbahaya kepada pelajar. Golongan-golongan diraja Melayu turut berkongsi sentimen sama.

Kepada Zaaba, Raja Sir Chulan mengingatkan,

“Mika [kamu] khabarnya selalu menulis di dalam surat khabar terutama di dalam surat khabar Melayu mengata-ngata kerajaan buat tak patut begini-begini. Ini saya ingatkan, kalau awak selalu buat begitu, esok nanti kerajaan pandang tak betul sama awak. Tak dapat naik gaji, tak dapat jawatan. Barangkali dibuang terus.”

Kenaikan gaji tahunan Zaaba akhirnya memang disekat dan beliau dinafikan jawatan tetap sebagai guru walaupun merupakan lulusan kursus perguruan sejak 1921. Kerjaya guru Zaaba nampaknya kian menuju jalan buntu.

Zaaba tumpas?

Zaaba akhirnya menemui nasibnya di Tanjung Malim, Perak bekerja di Jabatan Karang Mengarang, Sultan Idris Training College (kini UPSI) di bawah pimpinan O.T Dussek serta penyeliaan R.O Winstedt. Winstedt sebagai pegawai tinggi kolonial Malay sudah lama mengawasi kegiatan Zaaba sejak 1920 lagi dengan cara sering berhubungan dengannya untuk mendapatkan beberapa penjelasan mengenai adat serta kepercayaan orang Melayu. Kini di SITC, usahanya menjinakkan Zaaba tentulah lebih mudah.

Di SITC-lah Zaaba mula terlibat secara serius dalam usaha pemantapan bahasa Melayu secara sistematik. Beliau disibukkan dengan tugas menerbitkan buku teks untuk kegunaan sekolah Melayu (The Malay School Series dan buku-buku dalam siri Perpustakaan Umum (The Malay Home Library Series) di seluruh Tanah Melayu. Subjek-subjek ilmu yang disentuhnya pula begitu mencapah menandakan percubaan terawal bahasa Melayu digunakan sebagai wahana ilmu moden.

Di situ juga telah lahir buku-buku ilmu bahasa Zaaba seperti Ilmu Bahasa Melayu (1927) dan salah satu magnum opus-nya, Ilmu Mengarang Melayu (1934). Adapun sumbangan rencananya kepada majalah-majalah utama di tanah air seperti Majalah Guru, Al-Ikhwan dan Saudara tetap diteruskan namun sentimen antikolonial nyata tidak lagi terselit seperti dahulu. Pihak berkuasa akhirnya mampu menarik nafas lega.

Namun itupun sebelum Zaaba melepas ‘jeritan terakhir’ beliau.

Celupan reformis dalam fahaman Kaum Muda ala Muhammad Abduh dan Rashid Ridha sudah termaklum lewat pertalian Zaaba dengan Sheikh Tahir Jalaluddin yang merupakan murid kepada dua tokoh tersohor itu tadi. Lewat pengaruh gurunya itu, Zaaba mewarisi permusuhan Kaum Tua vs Kaum Muda. Syair Kejatuhan Darjat Islam nukilannya ialah kritikan keras beliau kepada Kaum Tua sekali gus juga penggarisan agenda-agenda utama Kaum Muda Tanah Melayu:

Islam kita weh kejatuhan
Sebab karut masuk tambahan;
Quran dan Hadis terbulang baling.

Awal ulama dikira penyudahan,
Barang apa pun semuanya burhan;
Orang kemudian ikut keliling.

Benar salah tidak payahan,
Usah diuji buat kesusahan;
Terima sahaja! Tak boleh menggeleng.

Bidaah sesat jadi tuduhan,
Jadi hakim seperti Tuhan;
Ulama jadid [baru] dikata Maling.

Persengketaan ini menemui kemuncaknya dengan penerbitan buku Falsafah Takdir (1932) dan sebuah buku terjemahan yang berjudul Pendapatan Perbahasan Ulama pada Kejadian Perbuatan dan Perusahaan (1934).

Kedua-dua buku ini diharamkan oleh pihak berkuasa kerana kandungannya dianggap berlawanan dengan iktikad Ahlus Sunnah di samping mencabar konsep ijtihad dan taklid.

Buku kedua itu sebenarnya diterjemahkan oleh Zaaba atas permintaan Sheikh Tahir yang ingin menguji penguasaan bahasa Arab muridnya itu. Di dalamnya terkandung pemikiran Syeikhul Islam ibn Taimiyyah dan Muhammad Abduh. Zaaba menerima kunjungan khas oleh Residen British Perak di SITC berikutan penerbitan buku itu. Sultan Iskandar Syah, Sultan Perak ketika itu sendiri bertindak mengarahkan Zaaba membuat permohonan maaf. Zaaba terpaksa akur.

Kebangkitan Zaaba

Selepas peristiwa tersebut, sengat penulisan Zaaba tidak lagi berbisa seperti dahulu. Akan tetapi, adalah sesuatu yang silap untuk menganggap bahawa selepas 1934 Zaaba sudah tewas. Apa yang terjadi sebaliknya adalah Zaaba menjadi lebih realistik dalam perkiraannya selain bijak memilih jalan-jalan perjuangannya.

Tenaga terbesar Zaaba dipusatkan kepada menjayakan penubuhan Sahabat Pena yang bermatlamatkan usaha-usaha memajukan bahasa Melayu dalam kalangan umat Melayu yang prihatin. Pihak kerajaan sentiasa mencurigai pertubuhan tersebut dan cuba untuk melakukan usaha-usaha pensabotajan melalui proksi mereka, Abdul Majid Zainuddin.

Hal ini demikian kerana Zaaba menjadikan persoalan bahasa sebagai kenderaan untuk membawa persoalan-persolan lain yang subversif. Niat tersirat Zaaba itu terjelma antaranya dalam salah satu rencana beliau dalam Warta Malaya yang memperkatakan tentang keperluan penulisan karangan asli dalam bahasa Melayu yang menggambarkan hal ehwal keadaan Melayu betul – hati Melayu, kesusahan Melayu, kesenangan Melayu dan pandangan Melayu di atas hal-hal hidup keduniaan ini. Ternyata terdapat persoalan lebih besar yang ingin dibawa Zaaba.

Zaaba juga tidak mensia-siakan pengaruhnya dalam persatuan guru. Selepas tertubuhnya Persatuan Guru-Guru Melayu Pulau Pinang pada 1920 yang merupakan persatuan pertama seumpamanya di Tanah Melayu, tumbuh selepasnya pula persatuan-persatuan yang serupa di Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor. Akan tetapi, persatuan Pulau Pinang mempunyai penerbitan majalah yang berasingan daripada persatuan-persatuan guru yang lain. Zaaba yang bercita-cita melihat suatu ketumbukan utuh dalam kalangan guru-guru di tanah Melayu mengherdik sifat kenegerian persatuan di Pulau Pinang itu,

“We must combine…do you want us here (Malacca, Negri Sembilan, Selangor) to combine and issue our own organ, ignoring and rivaling the one at Penang?”

Teguran Zaaba itu benar-benar mengusik hati budi ahli-ahlinya. Akhirnya Majalah Guru kekal sebagai satu-satunya wadah persatuan guru Melayu. Majalah ini konsisten membahaskan masalah kemiskinan Melayu sehingga meletusnya Perang Dunia Kedua.

Menilai Zaaba

Percaturan Zaaba ternyata memberikan pulangan lumayan dengan tertabalnya kemerdekaan 1957. Hal itu tentulah tak terbayangkan tanpa penyertaan menyeluruh golongan guru yang tertonjol dari segi kepantasan orang Melayu bertindak menentang rancangan Malayan Union pada awal 1946. Kepimpinan Zaaba sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Kongres Melayu Se-Tanah Melayu pula bertanggungjawab secara langsung dalam melahirkan UMNO.

Aktivisme Sahabat Pena turut memainkan peranan kritikal dengan memberikan sumbangan positif kepada perbincangan konsep bangsa Melayu yang dicita menjelang kemerdekaan. Sedang Abdul Rahim Kajai, Bapa Kewartawanan Melayu ketika itu membahagi-bahagikan orang Melayu kepada Melayu Jati dan Melayu Dagang sambil menyingkirkan mereka yang berdarah keturunan Arab (Darah Keturunan Arab; DKA)) dan India (Darah Keturunan Keling; DKK) sebagai bukan Melayu, Zaaba tegar menyertakan mereka dalam rangkum definisi Melayunya berasaskan persaudaraan Islam.

Hakikat ini terserlah dalam hierarki Sahabat Pena sendiri yang mana S.M. Zainal Abidin dan Syed Alwi al-Hadi merupakan keturunan Jawi Peranakan. Ternyata idealisme Islam Zaaba tak pernah luntur.

Di sebalik seribu satu kritikan yang dihadapkan kepada sang Pendeta, tiada sesiapa mampu mempersoalkan ketulusan niat beliau. Zaaba mungkin kelihatan berkompromi dalam nada penentangannya terhadap beberapa isu, namun prinsipnya kekal utuh.

Zaaba mungkin tidak lagi mengkritik golongan raja secara terbuka namun beliau cuba menyelitkan mesej-mesej tersebut dalam buku-bukunya. Ilmu Mengarang Melayu, sebagai contoh, dalam salah satu latihannya meminta para murid meringkaskan ayat panjang berikut:

“Semenjak beberapa ratus tahun orang-orang kita Melayu ini telah biasa terlatih jadi hamba rakyat yang sentiasa tersembah-sembah dan tertunduk-tunduk kepada rajanya barang ke mana pergi, sampai sekarang pun.”

Seperti mana Zaaba menyeru umat Islam untuk berani berijtihad dan merdeka pada pemikiran, beliau sudah pun mengamalkannya dalam pendiriannya. Zaaba tidak teragak-agak membelakangi pendirian gurunya, Sheikh Tahir ketika beliau menyatakan sokongan terhadap perjuangan golongan Ahmadiyyah yang dianggap ramai sebagai sesat dan terkeluar daripada Islam.

Seperti mana juga Zaaba menyergah kejumudan fahaman agama dalam kalangan umat Melayu, beliau juga mengkritik budaya dan tradisi bangsanya sendiri. Zaaba umpamanya tidak bersetuju hikayat-hikayat Melayu lama seperti Hikayat Hang Tuah dan Hikayat Abdullah diajarkan kepada kanak-kanak melihatkan kandungannya yang bercerita tentang jin dan mambang serta cerita-cerita ajaib yang melibatkan tuan puteri atau putera yang selalu baik paras rupanya sahaja.

Sejarah Tanah Melayu sebagai negara dan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda tidak mungkin dihayati tanpa menghargai bersamanya jasa Zaaba. Namun peribadi Zaaba sudahpun mencabar identiti Melayu pada zamannya apatah lagi pada zaman kita. Begitulah pesona Zaaba. Oleh sebab demikian, hikayat hidup beliau tidak akan putus diriwayat zaman. **

 

Sumber:

(i) Adnan Hj. Nawang, Zaaba dan Melayu, Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris, 2009.

(ii) Za’ba, Mencapai Keluhuran Budi, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2015.

Comments

comments