Borhan Hadi

Graduan sains kesihatan dan penterjemah bertauliah. Aktif menulis ulasan buku di Goodreads

BAHASA ibunda kita di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah melangkah jauh dengan usaha penyeragaman serta pembakuan bahasa. Walau apa pun kritikan yang dihalakan kepada DBP, tindakan standardisasi bahasa adalah kritikal dalam memelihara kelestarian bahasa kebangsaan sekali gus memungkinkan pembinaan identiti rakyat Malaysia dalam rangka sebuah negara bangsa.

Sejauh manakah penambahbaikan baharu DBP terhadap aplikasi atas talian mereka, Pusat Rujukan Persuratan Melayu versi kedua (PRPM v2) merealisasikan cita-cita itu?

Sarat ciri dan entri

Khalayak PRPM sebenarnya tidaklah terhad kepada golongan pelajar dan peminat bahasa sahaja. Aplikasi ini turut dimanfaatkan oleh pengkaji bahasa, penterjemah dan penyelidik akademik di samping komuniti massa. Memang sukar untuk memuaskan selera setiap golongan tersebut. Sungguhpun demikian, PRPM tampil berani menyahut cabaran seperti yang tertonjol pada ciri-ciri perkhidmatan, produk dan entri yang diperagakan.

Kini, entri tesaurus dirangkumkan bersama-sama dengan definisi perkataan di bawah kolum ‘maklumat kata’. Definisi yang tertera didatangkan dengan lengkap daripada entri sama yang terdapat dalam Kamus Dewan, berlainan dengan PRPM v1 yang cuma menampilkan definisi yang telah diringkaskan.

Entri tesaurus juga begitu. Ditambah pula dengan entri puisi, peribahasa dan ungkapan Inggeris-Melayu, pembeli-pembeli Kamus Dewan dan Tesaurus Dewan yang sudah menghabiskan wang membeli edisi buku tentunya berasa cemburu!

Khidmat nasihat merupakan lubuk emas buat pengkaji bahasa. Di sini para pengunjung boleh melihat soalan-soalan berkaitan perkataan carian mereka diajukan terus kepada pegawai bahasa DBP. Soalan-soalan ini disalin terus daripada soalan asal. Tiada usaha penyuntingan dilakukan menyebabkan beberapa soalan kelihatan bersahaja dan kelakar pula. Ada juga yang bernada sumbang.

Namun persoalan-persoalan yang diajukan sangat praktikal dan jawapannya terpakai sesuailah dengan khalayak penanya yang rata-rata terdiri daripada kalangan pengguna bahasa: pelajar, guru-guru, pegawai bahagian promosi dan bahkan konsultan.

Ragam pengguna Khidmat Nasihat
Polemik bahasa Melayu vs bahasa Malaysia turut disentuh di ruang khidmat nasihat.

 

 

Melalui perkhidmatan Pantau Tegur Bahasa, pengunjung boleh memaklumkan DBP berkenaan kesalahan-kesalahan penggunaan bahasa yang didapati di ruang awam seperti pada kain rentang atau papan iklan. Untuk pengetahuan, ciri khidmat nasihat dan pantau tegur bahasa boleh diakses melalui laman web yang sama (http://sbmb.dbp.gov.my/).

Gerbang kata atau e-Kamus fungsinya mirip PRPM kecuali dengan beberapa fungsi tambahan seperti Saran Kata dan Bicara Terkini. Kedua-dua ciri ini membantu merakyatkan proses perkembangan bahasa. Orang ramai kini turut berpeluang mencadangkan perkataan baharu atau padanan terjemahan bahasa Melayu untuk mana-mana ungkapan bahasa asing. Siapa kata hanya karyawan-karyawan DBP yang berhak menyumbang kepada perluasan perbendaharaan bahasa Melayu?

Penulis cuba menyarankan perkataan baharu dalam ruang yang disediakan.

 

Entri bahasa sukuan pula melambangkan kesungguhan DBP merangkumkan bahasa dan kebudayaan Sabah dan Sarawak ke dalam bahasa kebangsaan. Ulasan yang sama terpakai untuk entri dialek tempatan yang turut dimuatkan melalui entri glosari.

Tindakan ini persis Bahasa Indonesia yang telah merangkumkan bahasa-bahasa setempat yang meliputi bahasa Minangkabau, Madura, Bali, Sunda dan Acheh ke dalam perbendaharaan bahasa kebangsaan sekali gus mengukuhkah ideologi kebangsaan. Tentulah tindakan sama oleh DBP ini memgukuhkan citra identiti Malaysia dalam bahasa kebangsaaan sebagai bahasa pertuturan ramai.

Fungsi e-Jurnal pula lebih berpengkhususan cakupan penggunanya. Istimewa buat pengkaji dan pengamat bahasa, tesis-tesis dan kajian-kajian bidang bahasa dan kesusasteraan kini terbuka untuk diakses ramai. Walau bagaimanapun, pilihan jurnal universiti adalah terhad kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Harapnya dapat diperluaskan buat masa mendatang.

 

Versi 1 vs Versi 2

Bukan semua ciri-ciri versi 1 diserap masuk ke dalam versi baharu. Beberapa ciri telah digugurkan tanpa digantikan. Antara pengguguran serius yang dikesani ialah ketiadaan entri ‘Kerajaan Malaysia’ dalam hasil carian.

Sebelum ini, entri ‘Kerajaan Malaysia’ memaparkan contoh-contoh penggunaan perkataan carian dalam dokumen-dokumen kerajaan. Tanpanya, sukar untuk seseorang penterjemah berita antarabangsa -contohnya- memilih padanan perkataan yang tepat. Bayangkan: bagaimanakah perkataan ‘menyatakan’, ‘mengumumkan’, ‘memaklumkan, dan ‘mengisytiharkan’ seharusnya digunakan dalam konteks antarabangsa tanpa sebarang rujukan rasmi?

Selain itu, jenis golongan kata juga tidak lagi tertera dalam hasil carian. Samada satu-satu hasil carian itu kata nama, kata kerja, kata adjektif atau kata tugas, tiada jawapan diberikan. Hal ini tentulah menyukarkan penuntut bahasa Melayu yang mempelajari bahasa ini secara formal terutamanya dalam kalangan golongan bukan penutur asli.

Satu-satunya tindakan pengguguran yang boleh dilihat positif ialah pemansuhan e-Penyelidikan, e-Komuniti, e-Penerbitan, dan e-Penyelidikan. Perkhidmatan ini telah digantikan antaranya dengan e-Jurnal, e-Tesis dan Korpus DBP.

Apabila diimbas kembali, sebenarnya tidak banyak pun ciri baharu diperkenalkan dalam v2. Kebanyakan ciri-ciri induk yang ada seperti perkhidmatan khidmat nasihat, dan entri ungkapan Inggeris-Melayu, serta entri puisi dan peribahasa telahpun terdapat dalam PRPM v1. Sementara itu, laman web perkhidmatan saran bahasa, pantau tegur bahasa serta pilihan rujukan Pusat Dokumentasi Melayu dan lain-lain juga kebanyakannya sudah tersenarai dalam hasil carian v1.

Apa yang dapat diperhatikan ialah ciri-ciri perkamusan tersebut telah disusun paparan antaramukanya. Persembahannya kini lebih kemas. Kod warna digunakan dengan lebih tegas: biru untuk maklumat primer, ungu untuk maklumat sekunder.

Penggunaan ikon juga dimanfaatkan dengan lebih baik seperti mana yang tertera pada senarai perkhidmatan dan produk. Rekaannya minimalistik dan terus kepada inti.

 

Ciri Lama, Masalah Baharu

Tidak semuanya manis bila mana diteliti. PRPM v2 masih lagi mengandungi kelompongan sama yang terkandung dalam v1. Malah, boleh dikatakan bahawa keterampilan v2 yang lebih kemas memudahkan kelompongan-kelompongan ini lebih mudah dikesan.

1) Longgokan maklumat tanpa saringan

Wawasan di sebalik PRPM masih lagi kabur. Tampaknya PRPM versi kali ini cuba menarik perhatian pengunjung teramai dengan paparan antaramuka yang mesra mata. Namun, andai diteliti pada kandungan dan isi PRPM sangkaan itu seperti meleset.

Hasil carian memaparkan definisi yang terlalu berjela tanpa sebaran pemerengganan yang jelas mahupun suntingan ringkas. Perbezaan pada nuansa definisi serta contoh-contoh yang mengiringi tidak terang memandangkan fon tulisan adalah serupa.

Terbalik pula dengan Kamus Dewan edisi cetak yang mana ayat-ayat contoh telah dicondongkan (italized) tulisannya. PRPM v2 seolah cuba menyumbat masuk keluasan perbendaharaan Kamus Dewan edisi cetak ke dalam versi atas talian tanpa menghiraukan perbezaan medium dan mutu!

Jika itulah wawasan yang dimaksudkan oleh penyelenggara laman web PRPM, tentulah ini satu kesilapan percaturan. Pengguna Kamus Dewan edisi buku lazimnya datang daripada golongan penyelidik bahasa yang aktif, baik secara amatur mahupun profesional. Daya tumpuan mereka tinggi.

Kekangan masa bukanlah persoalan utama. Dapatan yang serupa tidak terpakai untuk pengguna atas talian yang ingin mengetahui definisi perkataan secara pantas. Mereka tidak arif dengan istilah perkamusan. Penggunaan tanda sempang beralun (~) dan istilah-istilah kependekan seperti ‘sl’ (sastera lama), ‘ark’ (arkaik), ‘bk’ (bahasa kasar) agak asing bagi mereka. Dengan definisi berjela seperti di bawah, bagaimana mungkin pengunjung mengetahui bahawa ‘hilang’ dalam bahasa sastera klasik boleh bermakna ‘sudah mati’; dan ‘tulis’ boleh membawa maksud ‘lukis’?

Entri ‘hilang’ dan ‘tulis’ berjela-jela panjangnya. Bandingkan pula dengan paparan carian di dictionary.com.
Kemas, ringkas. Definisi tambahan diberikan poin khas.

 

2) Kekaburan Fungsi, Pertindihan Tugas

Sehingga kini, penulis belum menjumpai kegunaan perkhidmatan Korpus DBP, dan semakan manuskrip Pusat Dokumentasi Melayu. Korpus DBP dikatakan menawarkan contoh penggunaan perkataan yang betul dalam konteks ayat. Jika demikian bukankah tugas itu sudahpun ditunaikan melalui entri artikel akhbar, majalah dan buku? Mungkin entri-entri tersebut tidak mencukupi pada mata penyelenggara PRPM memandangkan orientasi ayatnya lebih kepada ayat-ayat judul bukan ayat-ayat karangan. Kalau begitu bukankah contoh penggunaan ayat sedia ada yang terdapat pada definisi sudah sempurna sifatnya?

Isu kekaburan fungsi ini sering berkembar bersama masalah pertindihan tugas. Hal ini paling kenampakan dalam kes perbandingan antara e-Kamus bersama fungsi pencarian sedia ada di halaman utama PRPM. Hampir semua fungsi e-Kamus yang meliputi definisi, kata seerti dan kata berlawanan sudahpun wujud di halaman PRPM.  Jika bukan kerana fungsi saran kata yang tidak terdapat di PRPM itu, penggunaan e-Kamus tentulah tidak relevan sama sekali. Apatah lagi dengan penemuan ralat yang serius pada tapak web e-Kamus!

 

3) Ralat!

Terdapat beberapa ralat dikesani pada laman web e-Kamus (http://ekamus.dbp.gov.my/). Kadang kala e-Kamus gagal memaparkan hasil carian yang dikehendaki. Pada waktu yang lain pula, e-Kamus memaparkan hasil carian yang nampaknya sama sahaja dengan hasil carian bagi perkataan-perkataan lain.

Paparan hasil carian yang sama untuk perkataan yang berlainan – ralat!

Selepas diselidiki, penulis mendapati bahawa ralat ini mampu diperbetulkan dengan memanipulasi alamat web tersebut. Apa yang perlu dibuat hanyalah memadamkan kepilan ‘KamusDDT’ dan hasil carian yang dikehendaki akan tertera.

4) Mutu Tidak Konsisten

Paparan ‘maklumat kata’ tidak konsisten mutunya. Definisinya kadang datang daripada Kamus Dewan, kadang-kadang daripada Kamus Pelajar. Hal ini berlaku tanpa sebarang sebab yang jelas. Maklumat tesaurus pula jarang didapati.

Carian perkataan ‘keras’ menampilkan maklumat tesaurus yang begitu komprehensif lengkap dengan sinonim bersama antonim.

Akan tetapi, carian perkataan ‘risau’ cuma menampilkan sinonim tanpa antonim manakala ‘benci’ langsung tiada mengandungi tesaurus. Memandangkan Tesaurus Dewan edisi cetak sudahpun memiliki entri lengkap untuk perkataan-perkataan tersebut, pemerhatian di atas adalah membingungkan buat para peneliti.

Hakikatnya masalah ini berlarutan sejak daripada versi 1 di mana contoh puisi, peribahasa dan ungkapan Ingggeris-Melayu juga jarang sekali ada. Ini kerana semua contoh-contoh itu datang daripada sumber yang tunggal: puisi atau pantun semuanya diambil daripada buku Kurik Kundi Merah Saga (DBP); peribahasa daripada Kamus Istimewa Peribahasa Melayu (Abdullah Hussain) manakala ungkapan Inggeris Melayu datang daripada buku Peribahasa dan Ungkapan Inggeris-Melayu (Amir Muslim). 35 ribu entri Kamus Dewan tidak mungkin dilangsaikan khazanah bahasanya dengan buku yang sekelumit sebegini.

 

Ruang penambahbaikan ruang terbesar

Sebenarnya PRPM v2 sudahpun cukup bagus buat liganya. Rata-rata kamus negara serantau belum mampu menyaingi PRPM dari sudut perbendaharaan kata dan gudang ciri yang diberikan. Hal ini selayaknya untuk sebuah bahasa yang kaya dengan sejarah dan begitu luas penggunaannya di rantau Asia Tenggara ini. Peralihan PRPM dari versi 1 kepada versi 2 menandakan keseriusan DBP memelihara dan memperkayakan khazanah bangsa.

Namun transformasi perlulah menjangkaui perubahan kosmetik.

Pembahagian tugas antara perkhidmatan-perkhidmatan DBP eloklah diperhalusi supaya tidak berlaku pertindihan fungsi yang ketara. Sekurang-kurangnya DBP boleh menyelesaikan kebanyakan masalah ini dengan menyediakan suatu panduan atas talian untuk pengguna.

Usaha pemapanan dan pemantapan isi kandungan PRPM harus diorak langkahnya. Mulakan dengan apa yang di tangan: kembalikan maklumat golongan kata dan lengkapkan kemasukan entri daripada Tesaurus Dewan ke dalam PRPM. Tugas yang lebih penting: lakukan usaha penyuntingan yang intensif terhadap definisi yang berjela panjangnya. Sekurang-kurangnya letaklah perenggan!

Jika ingin pergi lebih jauh, rangkumkan lagi banyak kamus peribahasa serta buku pantun dan ungkapan ke dalam gudang carian sediada. DBP mungkin boleh meninjau buku-buku dalam topik tersebut yang diterbitkan oleh syarikat selain mereka. Ciri rujukan peribahasa, pantun, ungkapan yang sudahpun lumayan itu, tentu mampu diperkayakan dengan lebih lagi menurut langkah ini. Dengan demikian, barulah berhasil usaha DBP mendaulatkan bahasa kebangsaan – ibarat pepatah lama: bertemu baji dengan matan, bertemu beliung dengan ruyung!

##

Comments

comments