Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

DEMI memacu resolusi tahun baru, setiap organisasi pengurusan, sama ada besar mahupun kecil, pasti tertunggu-tunggu belanjawan tahunan yang bakal mereka perolehi. Dengan termaktubnya perbelanjaan yang telah diperuntukkan oleh kerajaan, maka sedikit sebanyak akan mempengaruhi perancangan yang akan dibuat pada tahun baru 2018 ini.

Antara yang diberi penekanan besar adalah dalam sektor pelaburan, perdagangan, dan industri. Sudah semestinya, sektor-sektor yang mempunyai jalinan besar akan sama-sama berprakarsa dalam merealisasikan aspirasi kerajaan membentuk pertumbuhan negara yang telah dirancang.

Industri buku juga turut menerima habuannya. Nampaknya segala harapan dan keluhan yang telah disuarakan oleh penggiat-penggiat besar dalam industri perbukuan, didengari dan direalisasikan –sekalipun tidak sepenuhnya- dan sedikit sebanyak telah memadamkan kekhuatiran terhadap perkembangan dalam industri yang tidak kurang juga penting dalam membina ketamadunan masyarakat, melalui pembacaan yang berkualiti.

KADS1M diperkenalkan dalam Bajet 2017 tahun lalu (FOTO: FreeCoupon)

Seperti mana harapan yang telah disuarakan oleh individu-individu ternama, yang mewakili organisasi dalam merancakkan proses memasarkan buku-buku; Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) antaranya, menerusi presiden persatuan tersebut, Keith Thong, sebelum bajet 2018 dibentangkan, telah mengesyorkan supaya dapat dikembalikan penggunaan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) setelah perlaksanaan dasar kerajaan ketika ini yang telah digantikan dengan penggunaan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).

Alasan penggunaan semula ini adalah sangat jelas, seperti mana kata-kata beliau:

“Kita tahu jika golongan pelajar dibiarkan membuat pilihan tanpa sebarang pengkhususan bagi pembelian buku, mereka akan lebih cenderung memilih sesuatu yang bersifat lebih libur berbanding buku. Keadaan ini tentunya akan memberikan impak buruk kepada industri perbukuan khususnya buat jangka masa panjang,” katanya ketika diwawancara oleh wartawan akhbar Berita Harian.

Sekalipun cadangan ini kelihatan terkebelakang, namun jelas, dari sudut pemerhatian penggerak industri buku, cadangan ini sangat memberi makna dalam meningkatkan ekonomi mereka. Kemudahan teknologi serba maju kini yang menuju ke arah nirtunai belum lagi menyokong inisiatif pemerkasaan pemilikan buku terhadap masyarakat secara sepenuhnya, jika tanpa perancangan yang efektif.

Hal ini juga turut beliau suarakan:

“Pemain industri buku sudah melalui keadaan yang sangat sukar selepas BB1M digantikan dengan KADS1M dan kami mahu isu pengedaran buku teks ini diperbaiki.”

Thong juga berharap supaya pihak kerajaan dapat melakukan inisiatif pelaburan terhadap perpustakaan sebagai satu institusi pembelajaran sepanjang hayat untuk segenap lapisan warganegara ini.

Turut menyuarakan kebimbangan yang sama, Pengarah Urusan Jemari Seni Sdn. Bhd. dan Pengarah Eksekutif JS Adiwarna Publications & Distributors Sdn. Bhd., Noor Suraya Adnan Sallehudin, yang mana tidak menafikan tanpa baucar buku, hampir separuh keuntungan jualannya tidak akan tercatat pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017. Hal ini menandakan betapa sumbangan baucar buku untuk kedua-dua syarikatnya itu signifikan.

“Pada 2015, kutipan jualan tunai adalah sama dengan 2016 apabila baucar buku diterima selepas (berakhirnya) pesta buku dan tahun 2017 tanpa baucar buku.”

Namun, sedikit berlainan pula pendirian yang disuarakan oleh Pengerusi Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MAPOBA), Ishak Hamzah. Sekalipun begitu, matlamat dan tujuan tetap sama; memangkin ekonomi dalam industri perbukuan. Beliau mencadangkan supaya diwujudkan pengkhususan pembelian buku yang terdapat pada KADS1M, selain mengenakan pelepasan cukai gaya hidup terhadap perbelanjaan dalam perbukuan.

“Pengkhususan yang dicadangkan dibuat dengan kaedah e-wallet, iaitu pemegangnya boleh membeli buku daripada mana-mana penerbit yang bernaung di bawah enam persatuan berkaitan buku dalam industri buku negara. Kami memohon pelepasan cukai untuk bahan bacaan sebanyak RM1,000 dikembalikan seperti tahun-tahun sebelum ini,” katanya.

Selain pelepasan cukai, beliau juga turut menggesa kerajaan menambah peruntukan terhadap institusi-institusi yang aktif berurusan dalam dunia perbukuan (pusat sumber sekolah menengah dan rendah, perpustakaan universiti awam, dan Bahagian Teknologi Pendidikan di Kementerian Pendidikan) demi menyediakan buku-buku ilmiah yang berkualiti.

“Begitu juga peruntukan untuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM). Sebelum ini ada disebut tentang peruntukan RM2 juta tetapi terus senyap sahaja sedangkan institusi itu memerlukan peruntukan lebih banyak yang mungkin RM20 juta.” tambah beliau lagi.

Baucar Buku 1 Malaysia (FOTO: mybajet.my)
Keputusan kerajaan menerusi Bajet 2018

Ternyata, kegusaran ini mendapat perhatian yang sewajarnya oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak. Setelah hasil penelitian dibuat, tanggal 27 Oktober 2017, Perdana Menteri, merangkap Menteri Kewangan telah membentangkan belanjawan berkaitan industri perbukuan ini. Melalui ucapan pembentangan beliau:

“Setiap penuntut di IPT dan tingkatan enam pula akan terus diberi bantuan baucar buku bernilai RM250.00, memanfaatkan seramai 1.2 juta pelajar.”

Manakala, berkaitan percukaian pula:

“Layanan GST berkadar sifar ke atas bahan bacaan, diseragam dan diperluaskan meliputi semua jenis majalah, komik, journal dan terbitan berkala mulai 1 Januari 2018.”

Trajektori dan implikasi

Dengan penggunaan semula BB1M terhadap golongan sasar, dijangka dapat membantu meningkatkan kadar pemilikan buku untuk para pelajar peringkat tinggi. Hal ini sekali gus merancakkan industri perbukuan.

Pengumuman tersebut sedikit sebanyak memberi kelegaan terhadap penggiat industri perbukuan; dijangkakan mampu meningkatkan penjualan buku-buku sekali gus memangkin penerbitan. Walaupun begitu, ancaman terhadap pemain industri ini masih lagi wujud. Hasil pantauan yang telah dilakukan beberapa tahun kebelakangan, kewujudan entiti ‘sindiket’ baucar ini telah merekodkan penurunan terhadap perbelanjaan buku oleh penerima BB1M. Dilaporkan hampir dua pertiga jumlah bantuan baucar yang diberi telah disalurkan kepada selain perbelanjaan buku.

Arief Hakim Sani Rahmat, Timbalan Presiden MABOPA (FOTO: BH Online)

Melalui kesedaran ini, langkah mitigasi telah disuarakan melalui Timbalan Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat, dalam membendung ketirisan. Antara idea yang dicadangkan adalah dengan mentransformasi baucar buku tersebut ke dalam bentuk digital. Dengan langkah ini, para pemegang baucar akan lebih menumpukan perbelanjaan terhadap buku dan mampu memberikan fokus yang lebih untuk mereka cakna terhadap buku-buku kegemaran mengikut citarasa mereka; sama ada bahan bacaan berbentuk ilmiah mahupun santai.

Selain itu, ia memudahkan pihak pengelola untuk mendapatkan maklumat perbelanjaan dengan lebih pantas, disebabkan kaedah pendigitalan memproses maklumat secara real-time dalam talian.

Langkah pemerkasaan selalu menjadi agenda seluruh badan organisasi mahupun institusi yang terlibat sepenuhnya dalam industri perbukuan. Dengan kemajuan teknologi dan pengurusan pada zaman ini, para penggiat buku akan terus memainkan peranan mereka dalam menyampaikan maklumat berkaedah ilmiah, faktual mahupun narasi daripada pelbagai kategori genre, melalui penulisan.

Sekalipun industri ini bergelut dengan atmosfera perbelanjaan penggunaan dalam membeli bahan bacaan, laporan telah merekodkan peningkatan dalam kewujudan syarikat-syarikat penerbitan buku, sebagaimana yang telah diwartakan oleh akhbar-akhbar ternama tempatan.

Mengambil contoh terhadap penganjuran acara buku mega seperti Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, pada tahun 2015, sebanyak 214 pempamer telah melibatkan diri, yang juga mewakili syarikat-syarikat penerbitan buku, sama ada tempatan mahupun antarabangsa. Dengan jumlah tersebut, sebanyak 900 reruai telah dibuka.

Sehingga catatan terbaru pada tahun 2017, pesta buku terbesar negara ini telah menerima penyertaan dari pempamer sebanyak 229. Dijangkakan angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa, memandangkan aktiviti gergasi ini telah mendapat perhatian dari beberapa negara terutamanya Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Indonesia, Arab Saudi, Australia dan beberapa negara lagi.

 

Usaha penggiat industri buku tidak terhenti setakat di situ sahaja. Gugusan gabungan persatuan dan agensi kerajaan terus mengorak langkah dalam misi untuk mengukuhkan ekonomi dan memartabatkan industri, selain mahu membuka mata dunia luar akan pasaran buku-buku tempatan.

Misi untuk mencanang Malaysia sebagai negara maju dalam penerbitan buku-buku akan terus dilaksanakan. Menurut standard Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), status sebuah negara maju sekurang-kurangnya menerbitkan judul buku sekitar 0.1% dari jumlah populasi dalam sesebuah negara dan nisbah seorang penulis (karyanya berjaya diterbitkan) dalam lingkungan seribu orang.

Menurut statistik terbaru yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pada suku ketiga tahun 2017, memberi makna bahawa jumlah penerbitan tahunan seharusnya beranggaran lebih 32,000 judul buku perlu diterbitkan di negara ini.

Menurut almanak Country Report: Malaysia 2016 yang disediakan oleh MABOPA pula, mencatatkan penerbitan buku keseluruhan pada tahun 2015 adalah sebanyak 15 354; mencatat penurunan semenjak tahun 2013, iaitu sebanyak 19 987 judul.

Lompongan angka dalam keinginan memenuhi standard antarabangsa ini telah menggiatkan lagi usaha pihak berkaitan untuk menjana kuasa penulis supaya dapat dilahirkan dengan lebih ramai dan berkualiti di negara ini. Penghebahan juga turut memainkan peranan.

Trafik maklumat berkaitan pembangunan penulisan yang merentas setiap ibu kota mahupun bandar-bandar besar di setiap negeri diharapkan dapat diperluaskan lagi dan mampu sampai ke pengetahuan para penulis pemula yang berpotensi. Ini bagi memastikan mereka sentiasa bermotivasi untuk menyiapkan manuskrip mereka dan mendapat hak sewajarnya sebagai penulis.

Kuala Lumpur membida status Ibu Kota Buku Dunia menjelang tahun 2020 (Foto: FB KL BACA)

Dengan menjangkakan industri perbukuan ini akan berkembang merentas tahun-tahun berikutnya, pihak MABOPA, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), serta penggiat industri berkaitan yang lain, telah membuat resolusi serius dalam keinginan membida gelaran ‘Ibu Kota Buku Dunia 2020’.

Jika usaha ini berjaya, maka Malaysia akan menjadi negara ASEAN kedua yang akan mendapat pengiktirafan dunia selepas Bangkok, yang telah berjaya mencapainya pada tahun 2013.

Dua misi yang penting ini diharap mampu menghasilkan keputusan yang realistik dan positif terhadap proses metamorfosis industri perbukuan, dengan semangat dan usaha yang tekal serta berterusan dalam penghasilan dan penerbitan karya buku-buku tempatan. Sekalipun usaha ini sentiasa diduga dengan pelbagai cabaran yang tidak kurang hebatnya, namun, jatuh bangun industri ini tetap dilihat mampan.

##

Comments

comments