Asyraff Safar Ad-Din

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan -- penulis non-fiksyen & pengulas media sosial.

NEGERI MELAKA amat terkenal dengan peninggalan kisah sejarah semasa zaman kegemilangannya terdahulu, berjaya meletakkan negeri ini sebagai tempat yang harus dilawati dalam kalangan pelancong terutama bagi industri pelancongan domestik. Bahkan, ia menjadi destinasi penting kepada sesiapa sahaja untuk hadir ke negeri ini kerana tanah di bumi Melaka kaya dengan sumber khazanah yang tidak ternilai harganya.

Zaman kegemilangan Melaka yang berlatarbelakangkan pelbagai kisah serta kesan sejarah pastinya telah mengangkat Melaka menjadi salah satu pusat kebudayaan Melayu di Nusantara.

Selain itu, warisan sastera negara pada peringkat  awal juga banyak dihasilkan di negeri Melaka sendiri seperti Sejarah Melayu, Hukum Kanun Melaka, Hikayat Hang Tuah dan sebagainya. Ini menjadikan Melaka merupakan lambang kebangsaan bagi kebangkitan empayar dan tradisi kebudayaan di negeri-negeri Melayu dan Malaysia secara amnya.

Lantaran itu, Muzium Sastera, Melaka telah diwujudkan bagi mempamerkan segala kegiatan, karya-karya dan tokoh-tokoh penulisan bagi menggambarkan khazanah tanah air dan warisan dunia Melayu yang sangat tinggi disanjung serta berharga buat warga Malaysia pastinya.

Matlamat penubuhan muzium ini sendiri adalah untuk memastikan karya-karya agung hasil penulis Melayu yang lalu tidak hilang dimamah zaman selain menjadikan Muzium Sastera ini sebagai pusat penyelidikan dan informasi tentang karya Sasterawan Negara, juga penulis-penulis lain. Tambahan pula, dengan penubuhan muzium ini, warisan budaya Malaysia juga dapat diperlihatkan melalui sastera lisan dan penulisan yang menggunakan bahasa kebangsaan. Hal ini membolehkan proses pemeliharaan khazanah budaya dan warisan sastera kebangsaan dunia Melayu berterusan.

Bangunan Muzium Sastera ini unik — bercirikan seni bina Inggeris dan telah dirasmikan pembukaannya pada tahun 1984. Muzium Sastera ini boleh dilawati di sekitar kawasan Bandar Hilir, berdekatan dengan muzium-muzium lain yang juga terkenal di Melaka seperti Muzium Rakyat, Muzium Samudera dan Muzium Istana Kesultanan Melaka. Secara spesifiknya, Muzium Sastera terletak di bangunan lama Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) iaitu berhampiran dengan Bangunan Stadthuys.

Antara tarikan utama di Muzium ini sudah pastinya pada bahan-bahan pameran itu sendiri yang terdiri daripada lukisan gambaran peristiwa-peristiwa penting berdasarkan petikan Sejarah Melayu dan bentuk-bentuk hukuman yang dilaksanakan menurut Hukum Kanun Melaka.

Turut terdapat di sini, sejumlah koleksi naskhah manuskrip asal tulisan tangan dari seluruh pelusuk dunia.  Koleksi manuskrip asal pelbagai jenis ini masih kekal sifatnya hingga sekarang. Pemeliharaannya nyata amat penting dalam mengekalkan khazanah sejarah yang tinggi nilainya.

Muzium Sastera yang terulung di Malaysia ini memberikan penekanan kepada sejarah penulisan dan pengkaryaan bermula dari era awal penulisan seperti cerita-cerita rakyat, Sejarah Melayu, Munsyi Abdullah sehinggalah ke tahap perkembangan Kesusasteraan Melayu Moden.

Pada masa yang sama, penghormatan turut diberikan kepada penulisan berbentuk tradisional merangkumi pantun, gurindam, dondang sayang, cerita legenda, nazam dan puisi di mana terdapat bahagian khusus yang menceritakan asal usul dan keistimewaan  penulisan berbentuk tradisional  ini dengan terperinci bersama alatan-alatan yang digunakan bersamanya.

Bukan itu sahaja, Galeri Sasterawan Negara dan Penulis-Penulis Melaka turut merupakan sebahagian tarikan utama untuk para pelawat. Sudah pastinya, buku-buku hasil karya sasterawan ini indah tersusun di rak-rak kaca untuk dipamerkan buat tatapan mereka yang berkunjung.

Keistimewaan lain yang terdapat di sini adalah muzium ini juga mempunyai rekod tokoh-tokoh penyelidik mahupun penulis negara dari yang terdahulu sehinggalah terkini, membolehkan kita mengenali tokoh-tokoh yang telah banyak berjasa dalam menyumbangkan idea pemikiran kritis mereka dalam bentuk penulisan. Secara tidak langsung, setelah pelawat membaca naskhah ini, sedikit sebanyak mampu membuka minda mereka melalui ideologi yang terkandung di dalamnya.

Muzium Sastera ini secara asasnya terbahagi kepada tiga bahagian, di mana pada tingkat pertama didedikasikan kepada bahagian sejarah perkembangan semasa, peranan Melaka dalam perkembangan sejarah dan bahagian khusus sasterawan negara A. Samad Said.

Seterusnya di ruangan tingkat bawah pula adalah bahagian untuk tradisi lisan, pengumpulan manuskrip asal dan penyelidikan, senarai tokoh-tokoh sasterawan terkini dan juga bahagian bergenre percetakan dan kewartawanan.

Manakala bahagian ketiga muzium ini pula adalah ruang pameran hadapan, di mana kawasannya adalah di luar sekitar muzium ini sahaja. Bahagian ini mempamerkan bilik audio visual dan juga kegiatan persatuan bahasa dan sastera.

Bagi menyaksikan sendiri kehebatan hasil-hasil karya sastera lampau ini, orang ramai digalakkan untuk datang mengunjungi Muzium Sastera di Melaka serta alami kehebatan yang ada pada muzium ini. Pastinya akan membuat pengunjung kagum dengan bahan-bahan pameran yang ada. Pelawat juga akan merasakan seribu satu pengalaman baru dan merasai penghayatan sebenar keindahan kesusasteraan sebagai media kebudayaan kebangsaan sejagat.

Itulah antara kehebatan bandar Melaka, popular sebagai Bandar Bersejarah malah turut menyediakan produk pelancongan yang bersesuaian dengan gelaran tersebut — menyediakan sejumlah muzium-muzium untuk dikunjungi oleh pelancong dari dalam mahupun dari luar negara. Tidak dinafikan, Muzium Sastera inilah antara yang menjadi daya tarikan utama para pelancong khususnya peminat sastera yang mengunjungi Bandar Melaka.

Semoga kegemilangan khazanah Melaka serta negara terus dipelihara dan terjaga dengan kewujudan muzium sastera seperti ini. Justeru, demi memperkaya dan memperkasakan lagi seluruh muzium di negara ini, wajarlah pihak-pihak berkepentingan memberi fokus kepada penyelidikan serta meneguhkan usaha menjaga khazanah sejarah di Malaysia agar generasi akan datang tidak tandus dengan sumber asli yang membentuk tamadun pada hari ini.

##

Comments

comments