Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

DARIPADA kehalusan pekerti dan naluri seni kepengarangan, ternyata membuatkan jiwa Sasterawan Negara, Allahyarham Prof. Dr. Shahnon Ahmad, mempunyai kepekaan yang tinggi terhadap norma-norma dan tingkah laku masyarakat sekitarnya.

Runtunan pengalaman sosial yang panjang dalam berinteraksi dan berkomunikasi dengan masyarakat sekitar dekad 1960-an, suka duka, pahit manisnya, pemikiran dan pandangan, telah beliau rakamkan melalui eksperimentasi di balik buku antologi cerpen bertajuk Debu Merah ini.

Kisah-kisah himpunan cerita pendek ini dikarang beliau ketika umur beliau dalam lingkungan hampir 30-an. Sebagaimana catatan prakata yang turut termuat di dalam naskhah cetakan kali kedua, tahun 1992:

“Dalam antologi Debu Merah ini termuat 19 buah cerpen yang saya karang dalam tahun-tahun terakhir lima puluhan dan sepanjang tahun enam puluhan. Pada detik-detik itu, umur saya masih muda, sekitar dua puluh tiga puluh tahun…”

Selain itu, kelebihan beliau dalam mengarang himpunan naratif ini, sekalipun sekadar berseloroh, bersenda, namun kritikan yang dilontarkan, bisa kata-kata itu tetap tidak dapat ditepis dan mampu meninggalkan bekas dalam hati.

Hal ini membuatkan pembaca teragah lalu tersenyum sendiri, terhibur dalam cuitan kata-kata sinis bernada humor. Hal ini disuarakan tatkala mengkritik kebobrokan dan salah laku yang wujud dalam masyarakat, sama ada tercetusnya niat keji dan terpesong daripada nilai-nilai murni, selain mengikut amarah mahupun keinginan hati tanpa berfikir panjang.

Sekalipun begitu, mesej di sebalik pengisahan tetap juga mengangkat falsafah kesusateraan, iaitu kemanusiaan, sebagaimana kata-kata yang beliau muatkan di dalam naskhahnya:

“…cerpen-cerpen ini sama sekali tidak lari dari landasan yang selama ini saya pegang iaitu inti dan teras kesusasteraan ialah manusia dan kemanusiaan. Teras dan inti ini diberi keutamaan dan ditonjolkan setepat mungkin untuk memperlihatkan permasalahannya dan kalau perlu peleraiannya.”

Ternyata, dengan jiwa kepengarangan dan kesusasteraan yang tinggi, membolehkan setiap cerpen yang dikarangnya dapat disampaikan dengan penuh mesej dan hikmah, selain pengajaran dan teguran yang boleh dijadikan renungan untuk difikir-fikirkan akan natijah dan kesan di sebalik setiap tindak-tanduk sendiri.

Kebolehan luar biasa melalui penyampaian jalan cerita yang seimbang dan matang, selain berat dengan pengisian nilai-nilai hidup sama ada baik mahupun sebaliknya, dengan penggunaan bahasa yang baik dan tinggi, amat bertepatan dengan ucapan salah seorang pemenang Anugerah Nobel Kesusasteraan tahun 2001, Sir V. S. Naipaul, yang disampaikannya ketika persidangan di Manhattan Institute of New York, yang membahaskan mengenai ketamadunan sejagat, bertajuk ‘Our Universal Civilization’, berkaitan tentang kemahiran penulisan:

“But books are not created just in the mind … To write them, you need a certain kind of sensibility; you need a language, and a certain gift of language; and you need to possess a particular literary form.”

 

Elemen-elemen metafora maksud mendalam

Sepanjang 19 kisah-kisah ringkas ini yang dikarangnya hampir 58 tahun lalu, hampir kebanyakannya beliau pelopori sendiri kiasan-kiasan sesuatu perihal dalam memberi gambaran dan bayangan terhadap apa yang sedang berlaku. Sekalipun boleh saja mengambil peribahasa yang telah sedia ada, namun, Shahnon Ahmad mempunyai gayanya yang tersendiri dalam membentuk kiasan. Sebagai contoh, dalam cerpen ‘Di Tengah Keluarga’, Allahyarham menulis:

“Abang pun hampir-hampir sama perangainya dengan ayah: degil dan berkepala batu. Bengkok batang bengkoklah bayangnya, kata orang tua-tua.”

Ini mengisahkan konflik keluarga yang terjadi di antara seorang abang dan ayah penulis. Dia menjadi orang tengah yang menceritakan perihal keluarga tersebut. Ayah berang kerana abang berkahwin dengan mem orang putih; tidak mengikuti pendirian tegas yang lebih gemar anaknya kahwin dengan perempuan Melayu sahaja.

Selain itu, cerpen berjudul ‘Doktor Zaqlul’ juga mempamerkan hal serupa. Pada awal cerita lagi beliau sudah bermetafora:

“Kehidupan murid-murid sekolah itu merdeka sampai ke bulu-bulunya.’ Ini bukan kata-kata pujangga … ini cuma kata-kataku sendiri…”

Hal ini beliau nukilkan melalui watak ‘cikgu’ yang saban waktu menanggung masalah harian, baik keluarga mahupun kerjaya. Kesukarannya itu sangat bertentangan dengan betapa bebasnya hidup beliau ketika zaman kanak-kanak, ketika menjadi murid sekolah yang saban hari kebergantungan hidupnya ditanggung oleh ibu bapa.

Melalui cerpen ‘Borang G.147’ turut beliau nukilkan: “Riuh rendah mereka bertiga: menyanyi, bersiul dan gelak ketawa; bising selayak Cina karam tongkang di tengah-tengah lautan.

Dalam cerpen berjudul ‘Nadinya Masih Berdenyut’ pula, ditulisnya, “Hayati kemudian mengambil timba dan terus mencurahkan neneknya hingga basah. Milah meneliti bagaikan anaknya sedang memandikan kerbau yang baru lepas berkubang.”

Begitu juga dengan permulaan cerpen ‘Kahwin Kerekot Tiga Tiga’. Beliau berkias, “KEGAMATAN sekonyong-konyong lenyap. Yang tertangkap kuping hanya bunyi biji loto berlompatan dalam takar; tak ubah macam anak-anak seluang segar bergelupuran mencari gelung keluar dari nadi buluh dinding berumpan anai-anai itu.” Kisah ini adalah mengenai keghairahan sekumpulan komuniti dalam berjudi dan bertaruh.

 

Kritikan dan sindiran

Selain kiasan-kiasan bak peribahasa ini membentuk jati diri bangsa melalui bahasa, tidak kurang juga penting dalam menyampaikan sesuatu mesej melalui penulisan. Ternyata Shahnon Ahmad ialah pengarang yang dapat melemparkan suara-suara kritikan, bidasan mahupun sindiran yang mampu memberikan kesan rasa dalam sanubari, dalam sesebuah cerpennya.

Dalam cerpen ‘Doktor Zaqlul’, Shahnon Ahmad membidas kata-kata watak bernama Zaqlul. Seorang doktor yang bakal mempunyai kerjaya yang gemilang satu hari nanti apabila dia sedang dalam proses untuk diserapkan sepenuhnya bekerja dengan kerajaan dalam sektor kesihatan. Dia mengkritik rakan seasramanya yang lain, Kudus, yang tersiratnya berjiwa kebangsaan. Beliau membidas sikap Zaqlul yang tidak memahami jiwa seni, seperti mana yang beliau karangkan:

“Dia gila … sudah lulus begitu tinggi, masih tak mahu kerja. Asyik mengarang cerita pendek dan sajak-sajak sahaja. Gilalah orang seperti itu.”

Lalu beliau membidas dengan rendah hati:

‘Aku ingin membidas dengan kata-kata itu. Seorang doktor memang buta tentang nilai sastera. Apakah cerpen untuknya? Apakah seorang penyajak Chairil Anwar untuknya? Barangkali seumur hidup tak pernah mengikut perkembangan sastera bangsa. Tapi mengingatkan dia seorang doktor yang baru lulus, memang tak elok berbalah tentang satu-satu perkara dengan aku serendah ini.’

Tatkala Zaqlul ingin pulang, sempat juga beliau menyindir dengan kata-kata bernada sinis; antara serius dan senda:

“Lain kali tak usahlah datang ke rumah saya tuan doktor…”

“Kenapa?”

“Saya kurang gemar mahasiswa-mahasiswa datang ke rumah saya. Mereka begitu bongkak.”

Ketawa dia bagaikan mengerti bahawa kata-kata aku itu cuma palsu sahaja.

Dalam cerpen ‘Jangan Beritahu Orang Lain’ pula, beliau cuba menyindir secara tidak langsung akan sikap seorang YB, watak Muluk, yang tidak bertanggungjawab dan gemar mengambil kesempatan terhadap status sosial yang dimilikinya. Segala aktiviti temu janji ingin berjumpa dengan wanita-wanita yang menjadi sasarannya sentiasa dirahsiakan daripada isteri dan selalu bersubahat pula dengan pemandunya, Abdul.

Seperti yang dikarangnya:

“Mak Encik dah diberitahu?” soal Muluk…

“Sudah Tuan,”

“Kaubilang ada meeting di Penang?”

“Ya, tuan.”

“Apa Mak Encik bilang?”

“Dia tidak bilang apa-apa.”

Sindiran ini diteruskan lagi lewat karyanya ini, melalui monolog Muluk:

‘Tapi orang lain juga memburu-buru keburukan dan kesyaitanan itu. Muluk mesti berpandu kepada orang ramai. Dia mesti ikut demokrasi … Biar ke neraka beramai-ramai, fikir Muluk.’

Antara kisah lain yang dikarangnya, yang juga turut terselit kritikan dan sindiran adalah bertajuk ‘Penyambutan’. Cerpen ini mengisahkan seorang Ketua Jabatan dalam pejabat kerajaan, Tuan Mahammad Sutan Ali Muda J.P. yang bersikap talam dua muka dalam menyambut ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’.

Baginya bahasa penjajahlah –Bahasa Inggeris- yang bersifat maju dan mereka yang masih setia mengamalkan bahasa kebangsaan sepenuhnya sebagai pendek akal dan disamakan sebagai ‘katak di bawah tempurung’. Jiwa nasionalisnya tidak berkobar dek keangkuhannya tinggal di United Kingdom selama 12 tahun, lalu lebih mengagung-agungkan bahasa penjajah tersebut. Hal ini telah dinukilkan:

“Bulan Bahasa Kebangsaan ini sama juga dengan Bulan Puasa dulu. Saya tak pernah berpuasa. Tapi siapa pun tidak tahu kerana saya tidak pernah makan di luar. Bulan ini pun tak ubah juga; turut menyeksa batin kita. Tapi ini tidak lama. Habis saja, kita berhari raya. Dan jangan siapa mengucapkan ‘selamat pagi’ kepada saya lepas bulan ini. Cuma bikin semak saja fikiran saya.”

Walau bagaimanapun, sifatnya ini dapat dihidu oleh Menteri Muda dan Menteri Besar tatkala kedua-dua pembesar itu terlihat akan sebuah poster sambutan bulan bahasa yang masih tidak diperbaharuinya. Hal ini sedikit sebanyak memberi pandangan bahawa Tuan Sutan tidak teliti dan buat endah tak endah terhadap sambutan tersebut. Melihat keadaan itu, kedua-dua Menteri Muda dan Menteri Besar tertawa sinis.

Sebenarnya lebih banyak lagi nilai-nilai yang terkandung di sebalik setiap cerpen yang dikarang oleh Shahnon Ahmad. Kisah-kisah ini mengajak kepada masyarakat supaya dapat mempelajari akan jatuh bangunnya manusia dalam pemilihan nilai-nilai hidup yang telah dijadikan pegangan. Beliau turut, menekankan betapa perlunya integriti dan penyemaian nilai-nilai murni dalam setiap tingkah laku, yang akhirnya akan menyumbang kepada kesejahteraan hidup bermasyarakat. ##

Comments

comments