Shamsul Amin

Eksekutif Kandungan di Perbadanan Kota Buku. Editor MukaSurat.my.

SELAMAT hari jadi Dato’ Seri Siti Nurhaliza!
Tarikh 11 Januari setiap tahun bagaikan istimewa, apatah lagi kepada peminat-peminat penghibur nombor satu negara ini. Ulang tahun kelahiran beliau dirayakan bagai keraian nasional; seluruh rangkaian radio tempatan memutarkan seleksi lagu-lagu popular beliau sepanjang dua dekad malah ada slot khas didekasikan khas kepada beliau.
(Saya sendiri, malah, ketika menuliskan artikel ini, sedang mendengar lagu-lagu beliau melalui siaran sebuah saluran radio swasta. Siaran 4 jam lagu tanpa henti!)

Dalam industri hiburan, Siti Nurhaliza dikenal sebagai penyanyi ulung, mendapat gelaran nombor satu, berprofil tinggi dan kejayaan beliau tidak sekadar melorekkan wilayah di sekitar peta negara, namun menjangkaui pentas Nusantara, ke seluruh Asia, malah.

Berderet-deret anugerah peringkat nasional malah antarabangsa; namakan apa sahaja– sudah digenggaminya. Perjalanan diskografi beliau dicantikkan lagi jualan album studio dan album kompilasi yang mencatatkan jualan platinum serta jualan tiket konsert dan persembahan residensi yang sentiasa laku keras. Beliau ialah buah hati rakyat Malaysia.

Siti Nurhaliza melancarkan album SimetriSiti pada pertengahan tahun lalu

Dengan imej konservatif Melayu penuh santun yang disesuaikan dengan muzik mutakhir yang dibawa beliau meletakkan Siti Nurhaliza dalam liganya yang tersendiri. Reputasi yang baik ini membuatkan nama beliau sering menjadi subjek pilihan dan ‘skop panas’ untuk sesuatu majalah dan isu-isu akhbar nasional. Beliau sering ditampilkan sebagai penghias muka depan majalah, malah menjadi tajuk muka depan akhbar sekiranya ada sesuatu isu terkini yang melibatkan diri beliau.

 

Siti Nurhaliza dalam lembaran penerbitan

Kisah kejayaan dan reputasi baik yang beliau miliki tidak hanya melarik perhatian penerbitan majalan dan akhbar, malah juga mencuri minat pelbagai agensi, syarikat penerbitan malah ahli akademik yang menjadikan beliau sebagai subjek dalam kajian akademik dan didokumentasikan melalui penerbitan buku dan makalah ilmiah, dalam dan luar negara.

Menurut pemerhatian (dan carian saya melalui servis gelintar maya), tidak banyak buku atau penerbitan yang memang ditulis khusus tentang Siti Nurhaliza namun terdapat beberapa projek penerbitan yang menampilkan Siti sebagai subjek atau membariskan Siti dalam senarai-senarai tertentu.

Mengejutkan juga kepada saya; apabila digelintar nama Siti Nurhaliza di pangkalan data kertas-kertas ilmiah (penyelidikan akademik) seperti laman Google Scholar dan ResearchGate, rupa-rupanya terdapat sejumlah penerbitan jurnal yang menjadikan Siti sebagai sampel atau skop kajian sama ada yang mengkaji tentang jenama Siti Nurhaliza, produk-produk beliau, kajian sikap dan makna-makna dalam lirik lagu beliau.

Saya kira, untuk Siti sebagai penyanyi, kajian-kajian dan penerbitan ini meskipun sedikit tetapi signifikan kerana jelas membuktikan kredibiliti Siti sebagai personaliti tidak hanya dikagumi di pentas hiburan, tetapi juga di pentas intelektual.

Sempena ulangtahun kelahiran beliau yang ke-39 pada hari ini, di sini saya rangkumkan lima penerbitan/makalah akademik yang menyebut/menampilkan Siti Nurhaliza sama ada secara umum mahupun khusus.

 

  1. The 500 Most Influential Muslims (The Muslim 500)

 Siti Nurhaliza termasuk dalam senarai 500 Muslim paling berpengaruh di dunia untuk tiga tahun berturut-turut bermula pada tahun 2015 sehingga yang terkini (2017)bagi kategori seni dan budaya.

The 500 Most Influential Muslims (atau lebih dikenali sebagai The Muslim 500) merupakan penerbitan berpangkalan di United Kingdom yang membariskan 500 muslim berpengaruh seluruh dunia dalam pelbagai bidang termasuk politik, selebriti, ahli sukan, radikal dan sebagainya. Buku ini diterbitkan The Royal Islamic Strategic Studies Centre (MABDA) dalam dua versi bercetak dan digital.

Catatan Siti Nurhaliza menerusi laman Instagram beliau (FOTO: NSTP)

Disenaraikan buat kali ketiga tahun lalu, Siti berkata kepada BH Online: “Saya yakin, setiap individu mempunyai peranan dan sumbangan mereka tersendiri. Begitupun, setiap perkara dilakukan itu bukan semata-mata untuk mendapat penghargaan atau pengiktirafan.

 

  1. The Malaysia Book of Records (TMBR)

Siti Nurhaliza dan Malaysian Books of Records bukanlah sesuatu yang asing. Penerbitan tahunan yang menyenaraikan rekod-rekod terhebat rakyat Malaysia tersebut pernah menyenaraikan Siti Nurhaliza sebanyak empat kali.

Kali pertama, nama Siti direkodkan dalam  TMBR adalah pada 2001 untuk rekod artis yang paling banyak menerima anugerah dengan 53 anugerah dan kali kedua untuk rekod yang sama (dengan 112 anugerah pada 2004).

Pada tahun 2005 pula, Siti Nurhaliza memecah rekod penyanyi Malaysia yang pertama mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall, London. Pencapaian tersebut turut direkodkan dalam TMBR. Dalam bidang perniagaan pula, kempen yang dianjurkan oleh Siti melalui rangkaian produk kosmetik beliau, SimplySiti, diiktiraf sebagai penyertaan terbesar dalam acara transformasi kulit dalam satu hari, pada tahun 2013.

Pada tahun 2014 pula, Siti menerima anugerah Ikon Malaysia  daripada TMBR.

 

  1. Vamping the Stage: Female Voices of Asian Modernities (2017)

Vamping the Stage ialah koleksi makalah ilmiah yang memfokuskan kajian akademik berkenaan muzik dan seni persembahan Asia dan Asia Pasifik dengan memberi penekanan kepada kajian wanita, kemodenan dan muzik popular Asia.

Sebagai ikon muzik Asia, sudah tentu muzik Siti Nurhaliza turut dijadikan skop kajian dengan bersandarkan kerangka antropologi dan etnomuzikologi.

Kumpulan makalah ini diterbitkan oleh University of Hawaii Press dan disunting oleh dua ahli akademik iaitu sarjana dalam bidang muzik dari University of Pittsburgh, Andrew N. Weintraub dan juga Bart Barendregt, seorang profesor madya di Leiden Institute of Cultural Anthropology and Development Sociology.

Bart dalam kajian lain juga pernah menjadikan Siti sebagai subjek kajian dalam kertas penyelidikan beliau yang berjudul “Princess Siti and the Particularities of Post Islamist Pop: Gender, Music and Publicity in Malaysia and Beyond” dan “The art of no-seduction: Muslim boy-band music in Southeast Asia and the fear of the female voice” di Leiden University.

Bukan sekadar menjadi skop kajian, imej Siti ketika mengadakan konsert bersama Yonder Music pada tahun 2016 juga dijadikan muka hadapan buku ini. University of Hawaii Press juga menggunakan imej yang sama untuk muka hadapan katalog penerbitan musim luruh mereka pada tahun 2017. (katalog tersebut boleh diakses di sini)

  1. Celebrity Entrepreneur Endorsement and Advertising Effectiveness (kertas penyelidikan)

Kejayaan Siti Nurhaliza dalam bidang membangunkan jenama kosmetik beliau, SimplySiti,  juga turut mencuri perhatian ahli akademik untuk menjadikannya sebagai subjek penyelidikan.

Kajian tersebut yang dijalankan oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengkaji endorsement selebriti dalam pengiklanan sebagai strategi yang berkesan bagi sesuatu produk.

Kajian ini menghipotesiskan bahawa kredibiliti seseorang selebriti dan kredibiliti pengiklanan produk-produk mereka akan mempengaruhi tiga ukuran tradisional keberkesanan sesuatu iklan– sikap terhadap iklan, sikap terhadap jenama dan matlamat pembelian.

Kajian ini mengguna pakai instrumen soal selidik yang menampilkan produk SimplySiti dan dilengkapkan oleh 542 responden wanita sebagai sampel kajian. Kajian ini diterbitkan dalam jurnal Procedia: Social and Behavioral Sciences Volume 130 dan dibentangkan di 4th International Conference on Marketing and Retailing 2013, INCOMAR 2013.

 

  1. Perenggu Minda Melayu dalam Lirik Lagu: Satu Analisis Makna (kertas penyelidikan)

Lirik-lirik lagu nyanyian Siti Nurhaliza juga mendapat perhatian di pentas akademik. Sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Bitara Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan satu kajian linguistik pada tahun 2017 yang mengkaji makna-makna lirik beberapa lagu terpilih Siti dari sudut semantik (kajian makna).

Dalam kajian berjudul Perenggu Minda Melayu dalam Lirik Lagu: Satu Analisis Makna (Malay Mindset in Lyrcs: The Analysis of Meaning), para pengkaji menganalisis jenis-jenis makna perkataan yang diperkenalkan oleh Geoffery Leech (1974) yang terdapat dalam 38 lirik lagu terpilih Siti Nurhaliza (dari tahun 1996 hingga 2010) dan analisis mengikut model Six Thinking Hats yang diperkenalkan oleh Edward de Bono.

Lirik-lirik lagu Siti Nurhaliza dipilih dalam kajian tersebut atas justifikasi “lirik-lirik tersebut berjaya mendapat tempat di hati pendengar dan pelbagai anugerah yang dimenangi oleh penulis-penulis lirik tersebut”.

Antara lagu yang dipilih untuk dianalisis dalam kajian ini ialah Kerana Jelingan, Tanpa Kalian, Dalam Taman Syahdu dan Diari Hatimu.

Makalah ini diterbitkan dalam jurnal e-Bangi (Journal of Social Sciences and Humanities) Vol 12 oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM pada tahun lalu.

 

Senarai buku dan makalah yang disenaraikan di atas hanya sebilangan kecil sahaja yang dianggap signifikan daripada sejumlah yang ditemukan. Meskipun kecil jumlahnya, ini membuktikan Siti Nurhaliza bukan sahaja relevan dalam industri hiburan dan bidang perniagaan sahaja, tetapi juga sangat bermakna untuk didokumentasikan.

Siti Nurhaliza bukan satu nama biasa. Namanya ikonik, pencapaiannya merentas Nusantara malah tidak keterlaluan dikatakan merentas benua. Pengaruhnya tumbuh sejak dua dekad lamanya, segar hampir di mana-mana sahaja. Dokumentasi perjalanan hidupnya dan karier (paling tidak) sangat diperlukan, lengkap untuk dibuat rujukan dalam banyak cabang baik dalam pembacaan kasual mahupun rujukan intelektual.

Pendek kata, Siti Nurhaliza, paling tidak, perlu didokumentasikan dalam bentuk buku biografi. Justeru diharapkan suatu hari nanti, ada pihak yang sudi mendokumentasikan perjalanan Siti Nurhaliza dari awal kemunculan beliau sehingga mutakhir, bagi melengkapkan lagi khazanah bertulis mengenai penyanyi legenda itu.

##

Comments

comments