Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

PADA hari ini, hampir mustahil untuk orang biasa bertemu mata dengan seorang ahli hadis, apatah lagi untuk mengetahui tentang buku-buku yang mengisi perpustakaannya. Oleh sebab itu, syarahan umum yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada hari Jumaat 22 Disember 2017 baru-baru ini mengenai Perpustakaan Peribadi al-Hāfiz al-Khatīb al-Baghdādī, menjadi satu peluang yang sangat bermakna bagi tiga kelompok: para pencinta hadis, peminat buku dan penggemar perpustakaan.

Kemunculan seorang ahli hadis daripada ranah peradaban dan budaya ilmu Islam perlu melalui disiplin ilmu yang tinggi, ketat, dan sukar. Malah kata Imam al-Zuhri, pengajian hadis menjadi kesukaan para lelaki sejati, manakala yang bersifat keperempuanan menghindarinya. Ini menunjukkan betapa beratnya beban yang harus dipikul oleh seorang penuntut yang ingin menceburi bidang hadis.

Dr. Khairil Husaini bin Jamil menyampaikan syarahan beliau (FOTO: Norzelatun Rodhiah binti Hazmi)

Pada sesi syarahan yang dianjurkan Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan dan Perpustakaan Dar al-Hikmah, UIAM itu, Dr. Khairil Husaini bin Jamil berkongsi hasil penyelidikan doktor falsafahnya di School of Oriental and African Studies (SOAS), Universiti London, dalam bidang epistemologi Islam mengenai ahli hadis yang berasal dari Baghdad. Penyelidikan beliau dijalankan secara meluas daripada sudut pandang ensiklopedik dan eksploratif, bukan menjurus kepada penentusahan atau verifikasi hadis seperti yang selalu menjadi perbincangan masyarakat umum.

Salah sebuah buku karangan al-Khatīb yang telah diperkenalkan oleh Husaini dalam sesi itu berjudul The Art of Party Crashing in Medieval Iraq, yang telah diterjemah oleh Emily Selove. Dalam buku ini, al-Khatīb menceritakan kisah tentang mereka yang gemar mengambil kesempatan menghadiri majlis keramaian tanpa jemputan.

Buku The Art of Party Crashing in Medieval Iraq, yang telah diterjemah oleh Emily Selove

Pada majlis-majlis itu adakalanya terjadi permainan cinta, perlakuan kurang sopan, malah mabuk-mabuk. Menurut Selove, ini menunjukkan persekitaran sosial di Baghdad pada waktu itu “sebenarnya agak Bohemia… tidak ganas dan menindas seperti yang selalu [Barat] bayangkan.”

Terhadnya penterjemahan bahan-bahan daripada era itu telah memberi gambaran yang tidak tepat mengenai suasana sebenar dalam peradaban Islam.

Husaini menyifatkan Baghdad pada zaman al-Khatīb menandingi kegemilangan Alexandria pada kurun kelima, Paris pada kurun ketiga belas dan Oxford pada kurun kedua puluh. Kawasan pasar buku di Baghdad ketika itu dikuasai kira-kira 100 penerbit dan peniaga buku, dan ini belum termasuk perniagaan buku di tempat-tempat lain.

Penterjemahan buku tentang tetamu tidak diundang itu menonjolkan sisi santai tentang Al-Hāfiz al-Khatīb al-Baghdādī, namun kewibawaan beliau sebagai ahli hadis pada zamannya sangat ketara sekali. Beliau ialah ilmuwan Islam yang menyusun idea khabar dan kitāb dalam penyelidikan yang rapi.

Perpustakaan al-Khatīb

Julukan al-Khatīb yang disandang beliau bukan kerana jawatan rasmi kerajaan sebagai khatīb, tetapi diberikan kerana kefasihannya dalam berkata-kata.

Beliau pernah berguru kepada ahli hadis Abu Bakr al-Barqānī, yang menulis surat kepada al-Hāfiz Abu Nu‘aym al-Asbahānī supaya mengambilnya sebagai murid kerana bakat besarnya dalam dunia keilmuan.Walaupun beliau seorang ahli hadis dalam lingkungan tradisional, beliau turut menuntut ilmu daripada ahli khazanah Mu’tazilah seperti al-Tanūkhī. Sembahyang jenazah beliau telah diimamkan oleh tokoh besar mazhab Syafie, Abu Ishāq al-Shīrāzī.

Penyelidikan Prof. Madya Dr. Khairil Husaini adalah berdasarkan manuskrip dari koleksi Zāhiriyah. Manuskrip itu menyenaraikan semua judul buku yang dibawa oleh al-Khatīb semasa beliau berhijrah ke Damaskus. Jumlahnya kira-kira 500 naskhah. Manuskrip ini ditulis oleh Muhammad ibn Ahmad ibn Muhammad al-Mālikī

Antara koleksi penting al-Khatīb adalah pelbagai tafsir al-Quran termasuk oleh Atiyah, semua versi kitab Muwatta’ Imam Malik, Sahih Bukhārī, kitab sunan yang lain, kitab-kitab ilmu wujūh wa naẓa’ir, bahasa, qira’āt, nasab dan maghāzī (kempen ketenteraan Rasulullah s.a.w.). Beliau juga mengumpulkan majoriti karya Ibnu Abi Dunya.

Buku-buku lain yang turut beliau miliki ialah koleksi sastera berkenaan kisah-kisah lucu dan orang-orang yang bakhil.. Buku yang diterjemahkan oleh Selove dan disebutkan pada awal artikel ini adalah daripada kategori ini.

Selain itu, turut terdapat himpunan qasidah dan syair yang dipanggil dīwān dalam bahasa Arab. Qasidah ialah sejenis syair yang dilagukan untuk memuji dan mengagungkan Rasulullah s.a.w. serta rasul-rasul yang lain.

Perpustakaan al-Khatīb juga memuatkan buku-buku berkenaan zuhud, fitnah akhir zaman, sejarah, himpunan hikmah dan kisah orang-orang sufi. Sebagai seorang ahli hadis, sudah tentu beliau tidak lupa menghimpun judul berkaitan keahliannya seperti yang ternyata dalam karya-karyanya iaitu Naṣihat Ahl al-Hadīth (Nasihat Ahli Hadis), Sharaf Ashāb al-Hadīth (Kemuliaan Ahli Hadis) dan al-Jāmi’ li-Akhlāq al-Rāwī wa ādāb al-Sāmi’ (Panduan Lengkap Akhlak Perawi dan Penerima Hadis)

Antara penonton yang hadir dalam sesi syarahan (FOTO: Norzelatun Rodhiah binti Hazmi)

 

Pada sesi itu, penonton bertanyakan penyampai syarahan sama ada perpustakaan al-Khatīb masih lagi kekal pada hari ini. Sayang sekali, menurut penyampai, perpustakaan ini sudah tidak ada lagi di mana-mana melainkan diketahui melalui penyelidikan akademik seperti yang beliau usahakan.

Begitu juga dengan nasib pusat pendidikan terawal Islam yang lain. Contohnya Dar al-Hadīth al-Nuriyah yang ditubuhkan oleh Nuruddin al-Zanki, seorang pemerintah Muslim yang penting dan terkenal pada zamannya.

Pengetua pertama pusat pengajian ini ialah Ibnu Asakir yang masyhur dengan karyanya Tārīkh Dimashq (Sejarah Damaskus). Sudah tentu di sebuah institusi sedemikian juga terdapat perpustakaan yang baik sebagai tempat rujukan. Namun, institusi ini sendiri sudah tidak wujud melainkan hanya pada papan tandanya sahaja. Sebahagian kecil koleksi perpustakaan itu bagaimanapun dikatakan berjaya diselamatkan ke Damaskus.

Sesi yang turut dihadiri oleh tokoh-tokoh daripada pelbagai bidang ini telah memberi peluang kepada orang awam untuk mengetahui tentang kehebatan perpustakaan seorang ilmuwan Islam yang terkemuka. Seperti yang disebutkan para ahli hikmah, untuk mengenal seseorang, maka kenalilah buku-buku di perpustakaannya. Pesona perpustakaan al-Khatīb memberi cerminan pemikiran beliau sebagai seorang ahli hadis. ##

Comments

comments