Borhan Hadi

Graduan sains kesihatan dan penterjemah bertauliah. Aktif menulis ulasan buku di Goodreads

JIKA komentar pedas Trump terhadap Haiti, El Salvador dan benua Afrika didapati sumbang buat telinga masyarakat antarabangsa kalau bukan celupar, tunggu sehingga mereka mengenali tuan badan berambut jingga itu.

Fire and Fury: Inside The Trump White House (2018), tulisan jurnalis Michael Wolff, memperincikan segenap kebobrokan yang merenteti Trump sejak 2016: daripada kempen pilihanraya beliau yang meretakkan fabrik sosial di Amerika Syarikat seterusnya kemenangan mengejut yang diperolehinya, diikuti dengan peristiwa penabalan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat pada tanggal 20 Januari 2017, berakhir dengan penilaian prestasi setahun Trump menjawat posisi tersebut.

Tumpuan utama buku ini disuluhkan kepada peribadi Trump. Kebebalan Trump memang sudah dimaklumi daripada kenyataan-kenyataan umumnya serta tweet peribadinya tanpa melihatkan pun kepada polisi-polisi beliau. Manakala kebobrokan moral Trump terpamer sendiri lewat kenyataan-kenyataan bohongnya serta skandal peribadi.

Pesona sebenar buku ini sebenarnya terletak pada usaha penulis, dengan bahasa yang begitu bersahaja, merakamkan reaksi individu-individu, baik lawan mahupun sekutu, yang mewarnai perjalanan karier politiknya itu.

Menurut pengarang Fire and Fury, Trump sebenarnya tidak bercadang untuk menang pilihanraya presiden yang lalu (FOTO: Reuters)

Trump dan pasukannya -menurut Wolff- tidak merancang pun untuk memenangi pilihanraya. Di mata mereka, seluruh kempen yang didirikan ini adalah satu publicity stunt. Setiap aktor dalam ‘wayang’ tersebut malah terdorong untuk melihat kekalahan Trump bagi memanfaatkan publisiti yang bakal diperoleh dalam memajukan karier masing-masing yang akan datang sebagai selebriti atau ahli politik, Termasuk bagi Trump sendiri.

Ini bukanlah kejutan sebenarnya untuk sebuah kempen pilihanraya yang begitu kontradik pada sifat. Mempergunakan rasa meluat rakyat terhadap polisi-polisi ekonomi neoliberal yang dipraktikkan pentadbiran Obama dan Clinton sebelumnya, Trump telah mengisytiharkan ‘perang’ terhadap Golongan Berkuasa (establishment). Bagi Trump, golongan ini mendiktat polisi kewangan negara dengan menguntungkan perusahaan luar sehingga mengetepikan nasib ekonomi rakyat Amerika sendiri.

Ironinya, sebagai waris kepada empayar perusahaan hartanah milik bapanya, Trump sendiri memenuhi profil golongan “establishment” itu.

 

Laku bak ‘pisang panas’

Setakat ini, penerbit buku ini, Henry Holt & Co –anak syarikat Macmillan Publishers– tidak menang tangan melayan tempahan yang masuk berpusu-pusu. Buku ini awalnya cuma dicetak sebanyak 150 ribu naskhah sahaja. Berikutan penerimaan hangat, naskhah ini kini diulang cetak untuk kali kesebelas dalam tempoh kurang dari sebulan.

Holt menyasarkan untuk mencetak sebanyak 1.4 juta buah nakskhah baharu; membuatkan Fire and Fury buku bukan-fiksyen terlaris dalam 151 tahun sejarah syarikat penerbitan tersebut.

Malahan, begitu gelojoh sekali Fire and Fury ini dibeli sehinggakan pembeli-pembeli atas talian telah terkeliru dan terbeli sebuah lagi buku terbitan 2008 dengan judul yang hampir sama, Fire and Fury: The Allied Bombing of Germany, 1942-1945!

Michale Wolff, pengarang Fire & Fury (FOTO: CNBC)

Walaupun semua ini mengisyaratkan petanda satu durian runtuh buat Holt, tindakan itu mungkin sudah terlambat dan tidak mendatangkan pulangan seperti yang diharapkan menurut para pengamat.

Rentetan daripada kurangnya anggaran jualan yang dijangkakan oleh Holt, edisi e-buku Fire and Fury kini merupakan satu-satunya alternatif yang ada. Tidak seperti edisi bercetak, e-buku tiada had pengeluarannya.

Eksekutif-eksekutif jualan di Amazon (Kindle), Apple (iBooks), and Google (Play Books) pastinya tersenyum mengikuti perkembangan ini. Hal ini mendatangkan pulangan istimewa pula buat Amazon memandangkan syarikat mereka memonopoli 70-90% pasaran e-buku– satu keuntungan berganda memandangkan majoriti edisi bercetak yang dijual secara atas talian adalah juga dijual melalui Amazon.

Ini seharusnya menimbulkan persoalan: mengapakah syarikat Penerbit Holt tidak mampu membaca perkembangan ini di sebalik isi kandungan Fire and Fury yang sedia lumayan dan ditunggu-tunggu peminat?

 

Publisiti Percuma

Sebenarnya tiada sebarang petanda muktamad yang mengisyaratkan kejayaan dahsyat Fire and Fury.

Sudah banyak buku dengan topik serupa diterbitkan. Isi-isi kandungannya pula tidak kurang hebat. Antara judul tersebut ialah The Making of Donald Trump (David Cay Johnston, 2016), Trump Revealed: An American Journey of Ambition, Ego, Money, and Power (Michael Kranish dan Marc Fisher, 2016), The Making of the President 2016 (Roger Stone, 2017).

Judul terbitan yang lebih baharu ialah Understanding Trump (2017) ditulis oleh bekas Speaker Dewan Amerika, Newt Gingrich dan Devil’s Bargain (Joshua Green, 2017). Jika dibandingkan dari sudut keahlian, penulis-penulis di atas lebih arif dalam penulisan lapangan politik berbanding Michael Wolff, seorang wartawan media.

Sebaliknya, publisiti terbesar buku ini diperoleh secara percuma: susulan arahan Presiden Trump untuk memberhentikan percetakan pengedaran Fire and Fury kepada penulis dan penerbitnya. Inilah pertama kali dalam sejarah Amerika untuk seorang Presidennya bertindak sedemikian. Mengingatkan pula betapa hal ini menyentuh batu asas republik tersebut iaitu hak kebebasan bersuara, perhatian khalayak terus teralih kepada buku ini.

Bertindak balas terhadap ugutan Trump itu (di samping memanfaatkan tumpuan ramai yang sudah menunggu ketibaannya di rak-rak kedai buku) Holt lantas menganjakkan pengedaran Fire and Fury lebih awal dari 9 Januari kepada Khamis, 5 Januari.

 

Dilema mutakhir syarikat penerbitan

Eksekutif jualan di meja syarikat penerbit Holt bukanlah ahli nujum yang boleh meramal segala perkembangan di atas. Apatah lagi buku tulisan Newt Gingrich cuma dicetak sebanyak 37 ribu buah untuk cetakan pertama, manakala Devil’s Bargain 50 ribu buah.

Sebelum Fire and Fury terbit, buku-buku lain tulisan Michael Wolff pun tidak pernah terjual sebanyak dua judul yang disebutkan.

Tambahan pula, tiada insentif buat syarikat percetakan buku untuk mencetak dengan banyak judul-judul yang belum terbukti laku keras atau best-selling. Kebanyakan untung penerbit datang daripada buku-buku itu. Untuk mengenal pasti judul bakal best-selling pula bukanlah mudah.

Fire and Fury mendapat sambutan menggalakkan (FOTO: BBC)

Ukuran yang biasa digunakan oleh para editor ialah dengan bersandarkan kepada (i) reputasi penulis dan (ii) rekod jualan judul lain untuk topik yang sama. Semua ini merupakan ukuran subjektif menyebabkan pilihan akhirnya bergantung kepada firasat para editor dan rasa agak-agak sahaja. Berdasarkan penilaian tersebut, penerbit seterusnya akan mencadangkan kepada pengedar dan kedai-kedai buku judul mana yang dijangka laku keras melalui katalog mereka.

Dari sudut yang lain, penerbit Holt sebenarnya agak optimis dengan penerimaan buku ini; mengingatkan cetakan pertamanya sudahpun berjumlah 150 ribu buah. Keyakinan mereka mungkin bersandarkan kepada sosok penulis yang dikhabarkan mempunyai sumber dalaman yang eksklusif di Rumah Putih. Namun, bagaimana seorang penulis yang mempunyai rekod mensensasikan berita fakta dianugerahkan kebebasan sedemikian?

Menurut Wolff, beliau bukan sahaja mempunyai sumber dalaman, malah juga mempunyai lesen untuk keluar-masuk Rumah Putih dalam rangka kajian buat menulis Fire and Fury. Di sanalah beliau mendengar perbualan-perbualan harian yang berlaku dan berinteraksi bersama staf-staf di sana. Lebih mengejutkan, semua ini berlaku atas persetujuan Trump sendiri selepas Wolff meminta keizinannya secara peribadi.

Agak mencurigakan betapa bukan sahaja Rumah Putih membenarkan permintaan penulis seperti Wolff, malah mereka tidak menetapkan sebarang syarat terhadap isi kandungan yang dibenarkan untuk dipaparkan kepada tatapan awam.

Bersandarkan fakta bahawa semua pendedahan ini berlaku depan batang hidung Trump bersama anggota pasukannya yang tiada pengalaman dalam politik dan lebih-lebih lagi seni berurusan dengan media, apa yang dilaporkan Wolff itu boleh jadi benar.

Sekurang-kurangnya ia tidaklah se-absurd perbalahan antara Trump dengan Kim Jong Un sekitar punat nuklear siapa lebih badang. Hasilnya, dunia buku telah dikurniakan sebuah buku yang paling hangat dicari selepas siri Harry Potter

Sama ada itu ialah suatu rahmat atau sebaliknya, hal tersebut menjadi perbincangan buat hari mendatang. ##

 

  • imej thumbnail kredit kepada WENN.com

Comments

comments