Asyraff Safar Ad-Din

Graduan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kewartawanan -- penulis non-fiksyen & pengulas media sosial.

PENUBUHAN sekitar tahun 1998, Gerak Budaya semakin mendapat tempat dalam kalangan pembaca yang menggemari buku-buku bergenre kesedaran sosial dan kemanusiaan, perspektif kritikal dan alternatif, sejarah dan budaya Malaysia serta Asia Tenggara.

Pengasasnya, Chong Ton Sin menganggap Gerak Budaya merupakan salah satu perjuangannya dalam menyebarkan bahan bacaan yang bermutu dan mencetus pemikiran berdikari dalam kalangan rakyat Malaysia.

Berteduh di bawah bumbung yang sama juga terdapat sebuah lagi syarikat penerbitan iaitu Strategic Information & Research Development Centre (SIRD), di mana penghasilan buku-buku bersifat lebih akademik dikeluarkan selain membuka ruang untuk seminar, forum, bengkel dan diskusi dalam suasana yang lebih bebas.

Ketika Gerak Budaya ditubuhkan, matlamatnya sudah jelas dan fokus. Mereka menerbitkan buku-buku bergenre sains sosial, pengajian Malaysia dan fiksyen Sejarah. Buku-buku mereka separa akademik supaya lebih meluas pembacaannya kepada mereka yang mendapatkan buku di sini. Pemilihan genre adalah disebabkan genre-genre lain kebanyakannya sudah diterbitkan oleh penerbit lain.

Genre sains sosial dilihat seperti kurang mendapat perhatian daripada golongan penerbit. Bagi pengasas Gerak Budaya ini, penting untuk ada pembacaan bagi genre sebegini. Ilmu pengetahuan dapat membina masyarakat maju yang sihat, adil dan makmur. Secara tidak langsung beliau juga menganggap ini sebagai tanggungjawab dan sumbangannya kepada masyarakat. Revolusi bukan hanya dengan peperangan, tetapi revolusi minda itu lebih penting.

Seleksi buku-buku Gerak Budaya
20 tahun merevolusi

Semenjak Gerak Budaya diperkenalkan berlaku pelbagai perkembangan serta penambahbaikan yang telah dijalankan atau dilaksanakan. Daripada segi fizikal, pada permulaannya Gerak Budaya mempunyai pejabat operasi kecil sahaja. Kini, mereka telah mempunyai bangunan sendiri.

Dari segi penerbitan, setiap tahun jumlah buku yang diterbitkan semakin bertambah. Lebih kurang 40 buah judul dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin telah diterbitkan dalam masa satu tahun.

Gerak Budaya juga semakin lama, semakin diketahui orang ramai. Manuskrip bertambah banyak dihantar, justeru mereka mempunyai banyak pilihan. Hal dianggap satu penambahan baru selain mereka mempunyai penerbitan buku-buku, kandungan berkualiti, reka letak, percetakan dan ini semakin meningkat sejak awal penubuhan. Berdasarkan itu mereka banyak menerima pujian daripada pelbagai pihak.

20 tahun bukan satu masa yang singkat sehinggakan banyak hubungan dengan pihak luar Amerika Syarikat, Singapura dan Indonesia dijalinkan bagi menjadi penerbit teras dan membeli hak cipta untuk diterbitkan di sini. Apabila membeli hak penerbitan dan menerbitkan buku luar negara di sini, harganya akan menjadi lebih rendah berbanding diimport dari luar negara.

Kedai buku Gerak Budaya

Selain penerbitan, Gerak Budaya juga merupakan sebuah syarikat pengedar buku. Mereka ialah penerbit, pengedar dan penjual. Jika dibandingkan dengan dahulu, mereka tidak banyak menghasilkan buku dan jika mahu mengedar buku ke MPH atau kedai buku gergasi yang lain, gedung-gedung buku seperti itu tidak memberi respon yang baik kerana kuantiti buku dihasilkan Gerak Budaya sangat sedikit kuantitinya. Jadi apabila semakin banyak buku yang diedarkan, walaupun bukan terbitan mereka, Gerak Budaya dapat merebut peluang untuk masuk ke kedai-kedai buku yang ada di Malaysia.

Jika kita lihat landskap dunia perbukuan di Malaysia, setiap penerbit berisiko untuk menghadapi isu pengharaman buku yang dikeluarkan. Namun, Gerak Budaya bernasib baik kerana sepanjang penubuhannya, belum ada lagi buku terbitan mereka yang diharamkan. Tidak menafikan ada terdapat buku terbitan syarikat lain yang diedarkan atau dijual seperti March To Putrajaya, yang diterbit sendiri oleh penulis dan buku hasil karya Zunar mengalami situasi ini. Pihak Gerak Budaya disiasat dan buku-buku tersebut telah ditarik balik.

Selain pengharaman, terdapat juga gangguan seperti penyiasat yang mengambil buku jualan secara berlebihan atas tujuan penyiasatan. Buku-buku tersebut dijanjikan akan dipulangkan semula seandainya tiada masalah tetapi buku-buku tersebut kebanyakannya tidak dipulangkan semula.

Gerak Budaya masih mengambil langkah berjaga-jaga juga. Buku-buku yang akan diterbitkan, akan dilihat terlebih dahulu kesesuaian isi kandungannya. Sebagai contoh, jika buku tersebut bersifat peribadi seperti mengutuk Perdana Menteri dan isterinya, pihak mereka tidak akan menerbitkan atau menjualnya. Namun, sekiranya buku tersebut mempunyai fakta yang kukuh, tindakan yang sebaliknya akan dilakukan kerana buku tersebut tidak berunsur fitnah.

SIRD dan Gerak Budaya berbeza

Menyentuh berkenaan fungsi Strategic Information & Research Development Centre (SIRD) seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, GB dan SIRD adalah dua syarikat yang berbeza tetapi di bawah satu bumbung yang sama.

Selain menerbitkan buku, mereka juga menjalankan aktiviti ilmiah seperti forum, diskusi intelektual, dan sebagainya. Perbezaan antara kedua-dua ini adalah GB merupakan sebuah syarikat penerbitan manakala SIRD di bawah GB lebih kepada bersifat akademik dan ilmiah. Hal seperti meletakkan signature kepada brand penerbitan. Jika dicampur adukkan genre buku di bawah satu penerbitan, kredibiliti mungkin nampak sedikit goyah dan tidak dapat menarik minat para akademik untuk menerbitkan buku dengan SIRD atau GB.

Bersifat tegas dan berpendirian teguh, Gerak Budaya menegaskan bahawa mereka bukan NGO walaupun menjalankan aktiviti seperti NGO — cuma lebih komersial. Mereka tidak mahu bersifat menyokong mana-mana pihak dan ingin terus menjadi neutral. Melainkan jika mereka mengadakan forum atau aktiviti yang tidak berkait dengan penyalahgunaan nama atau apa-apa yang berkaitan, itu akan dipertimbangkan semula supaya tidak memesong daripada apa yang telah ditegaskan sebelum ini.

Perbualan bersama pengasas Gerak Buku diakhiri dengan perbincangan ringkas mengenai industri buku di Malaysia. Beliau menyatakan bahawa sekiranya melihat kepada industri buku fizikal, ia satu industri yang tidak akan naik. Kehadiran internet akan mempengaruhi jualan buku fizikal. Ini memang satu industri yang menghadapi cabaran besar.

Memandang pula kepada isi kandungan buku-buku di dalam negara, menurut Chong Ton Sin, setiap zaman itu berbeza keadaannya. Zaman dahulu, masyarakat lebih menjurus kepada kondisi daan persekitaran setempat.

“Tak boleh kata content sekarang sangat tidak berkualiti. Saya kata kita sekarang adalah masyarakat yang sihat dan maju. Masyarakat akan jadi lebih demanding. Penerbit buku perlu lihat kepada kualiti dan menjaga kualiti itu.”

“Masyarakat tidak boleh menjadi orang yang mementingkan kebendaan kerana itu akan menjadi satu krisis dan saya khuatir kerana orang samakan dengan nilai wang yang mereka perolehi. Walaupun industri buku fizikal dilihat merosot, masih akan ada orang yang akan mencari buku fizikal dan tidak akan hilang, cuma kurang.” #

Comments

comments