Shamsul Amin

Eksekutif Kandungan di Perbadanan Kota Buku. Editor MukaSurat.my.

KUALA LUMPUR:  Galeri Petronas melancarkan sebuah penerbitan kolaboratif bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), ALEGORI: Ekspresi Seni Kontemporari Berasaskan Manuskrip Melayu, di sini, semalam.

Naskhah tersebut mengimpunkan sejumlah esei berkenaan manuskrip klasik Melayu yang mencerminkan pemikiran dan kearifan asli dalam masyarakat Melayu. Kumpulan esei ini diterbitkan bersempena dengan pameran ‘ALEGORI’ yang sedang berlangsung di Galeri Petronas, Suria KLCC, Kuala Lumpur.

Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan menyampaikan ucapan

Buku tersebut dilancarkan oleh Pengerusi Petronas, Tan Sri Sidek Hassan. Turut hadir ialah Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah (Liza) Abdul Rahman.

Tan Sri Sidek dalam ucapannya berkata, komitmen penerbitan Petronas bersama ITBM ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Petronas kepada “Amanah” serta tanggungjawab untuk memperkukuh ekosistem yang positif dalam menumbuhkan dan menjiwakan warisan seni dan budaya rakyat Malaysia.

“Penerbitan ini menyelidiki penerangan terperici daripada pelbagai subjek dan amalan peradaban merangkumi sejarah, undang-undang dan perundangan, persenjataan, keperajinan dan juga hukum alam yang turut meliputi perubatan, laut dan astronomi,” tambah beliau.

Sebelas penulis dalam kalangan sarjana tempatan dan serantau dari pelbagai institusi menyumbangkan esei dalam penerbitan kali ini.

Menyentuh mengenai pameran pula, beliau berkata pameran yang dibuka kepada awam sejak November 2017 ini dapat membawa pengunjung menerokai pemikiran metaforikal dari pelbagai manuskrip klasik Melayu yang mengutarakan daya estetika budaya bangsa Melayu.

“Antara manuskrip yang dapat kita renungi bersama dalam pameran ini ialah Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Siti Zubaidah, Taj As-Salatin, Adab Raja-Raja, Hukum Kanun Melaka dan banyak lagi.”

Pameran ALEGORI merupakan program satelit bagi Kuala Lumpur Bianalle 2017 yang pertama kali diadakan di Malaysia. Pameran yang menampilkan 10 instalasi seni kontemporari ini daripada artis tempatan dan Nusantara ini masih berlangsung di Galeri Petronas sehingga 4 Februari ini.  #

Comments

comments