Mohd Faiz Rasip

Penulis bebas MukaSurat.my, penggemar buku.

TEORI Transportasi yang dipelopori oleh Melanie C. Green dan Timothy C. Brock dalam jurnal kajian mereka telah diterbitkan sekitar tahun 2000 oleh American Psychological Assosiation Inc. Dengan terciptanya teori ini, maka para sarjana lain turut mengaplikasikan teori mereka dalam kertas kajian masing-masing.

Perbahasan demi perbahasan dijelaskan dalam ‘sorotan literatur’, memberitahu bahawa wujudnya elemen tarikan dalam medium pembacaan terhadap manusia. Teori ini dicetuskan oleh Green dan Brock melalui penerangan ‘transportasi’ yang dibahaskan oleh Richard Gerrig sekitar tahun 1993, yang bertajuk Experiencing Narrative World.

Menurut Gerrig, seseorang (“the traveler”) adalah dikatakan bertransportasi, hasil daripada melakukan sesuatu tindakan. “The traveler” telah mengembara keluar dari dunia asalnya, yang menjadikan beberapa aspek dunia asal tidak boleh diakses.

Setelah bertransportasi, pengembara kembali ke dunia asal, dengan membawa pertambahan atau perubahan semasa dalam pengembaraan. Dengan kenyataan ini, mereka kelihatannya sangat obses untuk melihat sejauh mana rahsia tarikan psikologikal ini dapat dieksplorasi sedalam yang mungkin.

Perbahasan terperinci merungkai makna

Sarjana tempatan juga pakar di dalam pengaplikasian teori transportasi ini. Antaranya adalah kajian yang telah dijalankan oleh Fatimah Haji Saidin dan Prof. Madya Dr. Jamilah Haji Ahmad. Dalam penyelidikan mereka bertajuk ‘Kajian Teori Transportasi ke Atas Pembacaan Novel dalam Kalangan Remaja’. Mereka menjelaskan bahawa:

“Transportasi adalah kenikmatan yang menyumbang kepada keseronokan menggunakan media…”

 

Media yang dimaksudkan adalah termasuk buku-buku, televisyen, pengiklanan, perbahasan lisan, hebahan radio, surat khabar, media berbentuk audio, video, mahupun penulisan dan sebagainya.

Namun dalam kajian ini, pengkaji lebih memberikan penumpuan yang spesifik, iaitu melalui pembacaan buku-buku novel di kalangan remaja.

Menurut mereka lagi, tatkala bahan bacaan yang mereka baca menarik (sama ada faktor jalan cerita ataupun penggunaan bahasa retorik), transportasi akan berlaku di mana pembaca akan diserap atau dibawa ke alam cerita. Maklumat yang diperoleh melalui pembacaan akan memberi kesan terhadap kepercayaan individu di dunia sebenar. Fatimah dan Dr. Jamilah juga menyatakan kesan teori transportasi ini terhadap individu, iaitu:

“Apabila melalui proses transportasi, seseorang itu akan menjadi terpukau dengan cerita, seluruh perhatian, bayangan dan perasaan akan termasuk ke dalam cerita yang sedang dibacanya. Apabila seluruh sistem kognitif pembaca digunakan untuk meneroka dunia penceritaan, pembaca akan hilang kesedaran mengenai apa yang berlaku dalam dunia realiti.”

Ternyata pengalaman merasai ‘fenomena’ ini sudah tidak asing lagi bagi pencinta buku. Sebagai bukti, gaya pengolahan dan input cerita yang menakjubkan, yang dikarang oleh Ramlee Awang Murshid lewat novel-novel beliau ternyata telah memikat para peminat novelis tersebut.

Aspek jalan cerita yang mengagumkan, yang disaduri dengan imaginasi yang mengujakan serta fantasi yang memukau, terbukti mampu membuatkan para pembaca seolah-olah keluar dari dunia realiti mereka dan mengembara masuk ke dalam alam novel tersebut. Hal inilah yang menjadi perbahasan dan tumpuan oleh pakar-pakar berkaitan teori transportasi.

Fenomena ini juga serupa tatkala para peminat penulis dan ulama, sekali gus pengarang prolifik nusantara, iaitu Prof. Dr. Hamka, lewat karya-karya buku penulisannya. Bagi yang meminati novel cinta tragis agung Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, pembaca seolah-olah terpukau dan memasuki dunia psikologi watak sama ada Zainuddin mahupun Hayati. Kepelbagaian emosi dan ketajaman nukilan beliau membuatkan para pembaca tertransportasi memasuki dunia novel tersebut.

Tidak sekadar itu, terdapat juga kajian lain yang turut mengkaji teori ini. Mereka juga turut memberikan perincian akan konsep pemahaman terhadap Teori Transportasi. P. Matthijs Bal dan Martijn Veltkamp telah menjalankan kajian mereka bertajuk ‘How Does Fiction Reading Influence Emphaty? An Experimental Investigation on the Role of Emotional Transportation’. Bal dan Veltkamp telah memberikan gambaran konsep dan kesan terhadap teori ini, iaitu:

While reading, people become transported into his narrative world, which often has been referred to a ‘being lost in a book’ … Many studies has shown that when readers become transported into a narrative, personal change is more likely to occur.

Menurut perbahasan teori dalam kajian mereka, bahan-bahan bacaan kegemaran akan mengganggu hal ehwal realiti yang berlaku di sekitar mereka dan berkemungkinan mencetuskan inspirasi intelektual terhadap kognitif individu tersebut. Pengalaman membaca penceritaan berkisar fiksyen memungkinkan seseorang itu dipengaruhi dan memberi kesan terhadap emosi dan perilaku terhadap interaksi sekitar.

Hipotesis lainnya, mereka juga menjangkakan bahawa individu yang menggemari dan membaca banyak buku-buku fiksyen akan cenderung untuk lebih memiliki perasaan empati.

Hal ini demikian kerana, bacaan bergenre fiksyen ialah simulasi terhadap kehidupan sebenar di dalam interaksi sosial. Kesannya, melalui buku tersebut, pembaca dapat membina skil interpersonal mereka dengan lebih baik. Pun begitu, mereka juga tidak menafikan, terdapatnya kelemahan dalam pernyataan uji kaji ini dan eksperimentasi yang lebih rapi perlu dijalankan supaya kenyataan tersebut dapat disokong dengan lebih kukuh.

 

Dapatan daripada kajian

Setelah proses kajian dilaksanakan, Fatimah dan Dr. Jamilah, yang mewakili Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia, telah membuat kesimpulan yang agak mengejutkan, tetapi dalam masa yang sama seolah-olah seperti sudah diduga.

Mereka menyimpulkan bahawa, sememangnya novel mampu memberi kesan dalam pembangunan diri remaja; sekali gus menafikan bahawa medium hiburan berbentuk bacaan ini tidak mampu mempengaruhi pemikiran dan tanggapan mereka terhadap sesuatu perkara.

Maka, pembangunan sahsiah remaja akan lebih berketerampilan sekiranya mereka meminati dan memilih buku-buku novel yang mampu membina karisma dalam diri. Begitu juga sebaliknya.

Pengkaji juga menimbulkan rasa gusar dan khuatir terhadap kesimpulan kajian yang telah mereka perolehi. Dapatan dari kajian menunjukkan remaja yang terlibat dalam eksperimen ini memberi tanggapan bahawa mereka tidak mampu untuk menimbang sesuatu isu dengan rasional di dalam kehidupan realiti.

Sampel remaja-remaja yang berkaitan telah menunjukkan bahawa pengaruh transportasi dari novel yang telah mereka baca membuatkan mereka takut untuk berumah tangga kerana elemen kepercayaan negatif dalam novel tersebut telah terbina dalam minda mereka.

Hal ini ditambah lagi dengan sogokan bahawa lelaki tidak boleh dipercayai, sudah pasti akan mengganggu pembinaan sahsiah diri remaja yang perlu berkembang matang dan pintar. Sekalipun hal ini kelihatan kecil di dalam skop pengaruh dan kemampuan menimbang sesuatu perkara, Fatimah dan Dr. Jamilah telah menyarankan supaya diwujudkan pemantauan terhadap hiburan-hiburan berbentuk bacaan seperti yang mereka khuatirkan. Di samping itu, mereka juga menyarankan agar garis panduan sesuatu karya itu harus diterbitkan dan diperkasa.

Namun begitu, satu hal yang positif dan tidak sepatutnya dipandang sebelah mata ialah, remaja-remaja (terlibat dalam ujikaji) yang meminati hiburan bermediumkan bacaan ini, tatkala pengkaji berinteraksi dengan mereka, terbukti mempunyai ketajaman pemikiran, gaya percakapan, interaksi sosial, pemahaman sosial dan kemasyarakatan yang jauh lebih tinggi dari kalangan rakan sebaya mereka. Hal ini dilanjutkan lagi melalui pernyataan pengkaji:

“Mereka berfikir seperti orang dewasa … kematangan yang ditunjukkan ini berpunca daripada sogokan bahan bacaan seperti novel dari kalangan penulis kesusasteraan yang berpemikiran kritis dan jauh…”

Manakala Bal dan Veltkamp pula menyimpulkan hasil kajian mereka dengan lebih halus terhadap pengaruh Teori Transportasi melalui bahan bacaan fiksyen dan non-fiksyen dalam kalangan siswa dan siswi berbangsa Belanda. Dapatan ini lebih tertumpu kepada pemerhatian corak psikologi yang tercipta tatkala sampel uji kaji berinteraksi dengan buku bacaan kedua-dua genre tersebut.

Mereka menyatakan bahawa terdapat perbezaan implikasi tatkala seseorang membaca buku bergenre fiksyen dan non-fiksyen.

Apabila buku non-fiksyen dibaca, psikologi dan tanggapan pembaca akan menangguhkan dalam mempersoalkan unsur-unsur kebenaran di dalam naratif yang telah dinukilkan. Sebaliknya, apabila seseorang membaca buku bergenre fiksyen, mereka tidak perlu mempersoal atau pun mempertikai akan kebenaran sesuatu maklumat kerana pembaca berkemungkinan menerima maklumat daripada fiksyen tanpa bertanya sama ada maklumat adalah benar ataupun sebaliknya.

Selain itu, kesan psikologi yang diterima oleh individu adalah berbeza tatkala mereka membaca buku-buku fiksyen ataupun non-fiksyen; pengalaman transportasi mereka adalah berbeza. Tatkala transportasi terhadap pembacaan fiksyen berlaku, secara psikologinya mewujudkan perasaan simpati terhadap orang lain; melalui perasaan emosi yang terbina melalui keterlibatan tinggi dalam bersimpati, sekali gus membentuk empati dalam diri yang lebih baik.

Manakala, membaca buku bergenre non-fiksyen pula membentuk suatu tanggungjawab untuk melaksanakan sesuatu, akan tetapi terbatas; jauh dari realiti dan situasi diri yang sekali gus membentuk empati yang rendah. Hal ini berlaku kerana pemahaman dalam fikiran sudah sedia maklum akan kebenaran maklumat yang disampaikan lalu minda memproses dan melabelnya lebih sebagai fakta daripada emosi.

Akhirnya, mereka menyimpulkan bahawa naratif berbentuk fiksyen mempunyai kesan lebih kuat terhadap kemahiran diri seseorang, sebagai contoh, empati. Pun begitu bergantung kepada tahap dan darjah kecenderungan individu mengalami transportasi tatkala pembacaan berlaku.

Ini membuktikan bahawa, sama ada secara sedar mahupun tidak, Teori Transportasi telah pun berlaku setiap kali seseorang itu berinteraksi dengan media hiburan yang terdiri dari pelbagai kategori, antaranya adalah melalui pembacaan buku-buku variasi genre.

Hal ini mampu memberikan kesan psikologi dalam pembinaan sahsiah dan keterampilan diri seseorang, dan medium pembacaan adalah salah satu daripadanya.

Tidakkah dapat dilihat bahawa peranan buku adalah signifikan dan relevan dalam menambah nilai hidup melalui ilmu dan maklumat yang diperolehi? #

Comments

comments