Najibah Abu Bakar

Penulis dan penterjemah bebas. Menjadi pustakawan sejak 2010 demi buku-buku.

HISTOIRE du livre’ atau bidang sejarah buku ialah sebuah bidang interdisiplin yang muncul pada pertengahan abad ke-20 di Perancis. Bidang ini dikenali di Jerman sebagai Geschichte des Buchwesens, dan di negara-negara berbahasa Inggeris sebagai history of books atau history of the book.

Pada 1950-an, seorang sarjana sejarah bernama Lucien Febvre yang usianya sudah mencecah tujuh puluhan, merancang penyusunan dan penerbitan sebuah karya penting yang kini telah diterjemahkan oleh David Gerard dengan judul The Coming of the Book: the Impact of Printing, 1450-1800.

Apabila kesihatan Febvre kian merosot, beliau memberi kepercayaan kepada seorang sejarawan muda yang sedang meningkat naik, Henri-Jean Martin untuk membantunya dalam usaha penyusunan buku tersebut. Martin ketika itu merupakan seorang sarjana unggul dalam bidang sejarah perdagangan buku di negara Perancis. Karya itu akhirnya disempurnakan oleh Martin setahun selepas kematian Febvre.

 

Bermulanya bidang sejarah buku

Dari satu segi, The Coming of the Book tidak pun menghidangkan fakta-fakta baharu tentang dunia penerbitan dan percetakan, akan tetapi keistimewaannya adalah berpunca daripada keupayaan buku itu mewujudkan perkaitan bernas antara pelbagai fakta sedia ada sehingga meletakkan batu asas kepada sebuah bidang baharu.

Pendekatan sejarah Febvre yang berasas luas menyumbang kepada kejayaan ini. Dalam The Coming of the Book pembaca dihidangkan sejarah teknologi percetakan dan proses pembuatan kertas; juga sejarah sosial melibatkan pencetak, penerbit, penjual buku dan pengarang.

Tidak ketinggalan dihuraikan sejarah ekonomi perdagangan buku moden pada awal kemunculannya serta institusi-institusi yang memainkan peranan. Pada sisi yang lain, Febvre mengupas sejarah buku daripada sudut budaya dengan melihat kesan kewujudan buku bercetak terhadap kehidupan dan pemikiran orang-orang Eropah.

Selain itu, aspek-aspek lain perdagangan buku yang turut disentuh ialah pameran buku, pendanaan, pemasaran dan penjualan buku, hubungan antara pengarang dan penerbit, isu berkaitan tenaga kerja dalam perdagangan buku, penjilidan, masalah penapisan dan pelanggaran hak cipta.

Meskipun sebahagian besar penyelidikan yang terkandung dalam buku susunan Febvre dan Martin bertumpu kepada perkembangan dan kegiatan penerbitan dan pengedaran buku di sekitar Eropah Barat seperti Perancis, Jerman, Itali Utara, Negeri-Negeri Pamah (Low Countries), dan Switzerland, ada diselitkan pengetahuan tentang dunia  buku di Eropah Timur, Timur Tengah dan Timur Jauh, serta Amerika Utara dan Selatan.

 

Berkembang sejak era Gutenberg

Jelas sekali, tujuan bidang ini diwujudkan adalah untuk memahami cara idea disampaikan menerusi bahan bercetak dan kesan pendedahan bahan bercetak pada pemikiran dan sikap manusia dalam tempoh 500 tahun yang lepas.

Menurut Robert Darnton, bidang kesarjanaan ini boleh juga disebut sebagai “sejarah sosial dan budaya komunikasi dalam bentuk bercetak,” merujuk perkembangannya sejak era Gutenberg. Pada 1454, Johannes Gutenberg menerbitkan buku bercetak pertama yang dilengkapi tahun penerbitan di Mainz, sebuah kota yang terletak di pinggir Sungai Rhine.

Walau bagaimanapun, Darnton tidak menafikan kemungkinan berkembangnya bidang sejarah buku, sehingga merangkumi skrip atau bahan bertulis seperti yang berlaku pada hari ini. Kini, penyelidikan dalam bidang sejarah buku turut mengkaji bahan bertulis, jurutulis dan seni pembuatan buku dengan tangan.

Di Amerika, bersandarkan penerbitan penting Febvre dan Martin, pensejarahan atau historiografinya mula menghala ke arah bidang sejarah buku pada tahun 1979. Penerbitan karya Elizabeth Eisenstein, The Printing Press as an Agent for Change dan karya Robert Darnton, The Business of Enlightenment: A Publishing History of the Encyclopédie menjadi pemula bertapaknya bidang ini di benua Amerika.

Pada tahun 1998 pula, sebuah jurnal diterbitkan dengan judul Book History oleh The Johns Hopkins University Press dan “mengkhususkan penerbitannya untuk semua aspek sejarah buku, yang ditakrifkan secara meluas sebagai sejarah penciptaan, pengedaran, penerimaan bahan bertulis dan bahan bercetak.”

Antara penyelidikan yang mendapat tempat dalam jurnal tersebut adalah sejarah sosial, ekonomi dan kebudayaan yang berkaitan dengan kepengarangan, penyuntingan, percetakan, seni pembuatan buku, penerbitan, perdagangan buku, bahan bersiri, surat khabar, efemera, hak cipta, penapisan, perpustakaan, kritikan sastera, pembentukan kanun, tabiat membaca, literasi, pendidikan kesusasteraan dan maklum balas pembaca.

Jurnal ini ialah lidah rasmi bagi Persatuan Sejarah Kepengarangan, Pembacaan dan Penerbitan (Society for the History of Authorship, Reading and Publishing) atau lebih dikenali sebagai SHARP. Keanggotaan SHARP melibatkan sarjana daripada pelbagai bidang di seluruh dunia termasuk sarjana sejarah, ekonomi, penerbitan, kepustakawanan dan lain-lain lagi, terutama sekali daripada Amerika Syarikat dan Eropah. Persatuan ini malah mengalu-alukan para pelajar dan pencinta buku amatur untuk menyertai mereka.

 

Masih baru di Malaysia

Dunia akademik di Malaysia, walaupun belum lagi menyediakan pengajian khusus dalam bidang sejarah buku, memberi peluang kepada penyelidik atau pelajar untuk meneroka sejarah buku negara ini melalui bidang pengajian media terutama di universiti-universiti awam.

 

Antara sarjana yang pernah menulis seputar sejarah buku di Malaysia ialah Profesor Md. Sidin Ahmad Ishak dengan karyanya Penerbitan dan Percetakan Buku Melayu 1807-1960, Dr. Hamedi Mohd Adnan (Penerbitan Majalah di Malaysia: Isu-isu dan Cabaran, 100 Akhbar di Melayu dan lain-lain) dan Dr. Roosfa Hashim (Pembangunan Jurnal Ilmiah Malaysia 1847-2007 dan beberapa buah lagi).

Di negara-negara lain, telah banyak hasil penyelidikan diterbitkan dalam bentuk jilid-jilid yang tebal mendedahkan pelbagai aspek bidang sejarah buku. Bagi pemula yang ingin berjinak-jinak dengan sejarah buku, A Companion to the History of the Book atau The Book History Reader sangat sesuai untuk memberi gambaran tentang bidang ini.

Mutakhir, penyelidikan dalam bidang ini terus berkembang pesat menjangkau era pascacetak. Darnton sebelum ini pernah meramalkan, kepesatan perkembangan bidang ini akan membolehkannya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bidang sejarah sains dan juga sejarah seni. ##

Comments

comments